3 sifat reda perlu ada dalam diri Mukmin Mengakui Allah - TopicsExpress



          

3 sifat reda perlu ada dalam diri Mukmin Mengakui Allah pencipta, Islam agama, beriman kepada Rasul dan sunnah Nikmat dikurniakan Allah SWT tidak mampu dihitung banyaknya dan antara nikmat terbesar ialah perjalanan kehidupan iaitu satu perjalanan panjang yang perlu dilalui setiap hamba. Namun, kehidupan ini juga adalah ujian Allah SWT untuk menilai hamba-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu semua mengira nikmat Allah SWT ke atas kamu sudah tentu kamu tidak mampu menghitung-Nya”. (Surah al-Nahl ayat 18) Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya seseorang itu telah merasai kelazatan iman setelah mana dia reda Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai cara hidupnya dan Muhammad sebagai Nabi dan rasul-Nya.” (Riwayat Muslim) Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dialah (Allah) yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah di kalangan kamu yang terbaik amalannya.” (Surah al-Mulk, ayat 2) Kehidupan manusia di dunia ini tidak selama-lamanya indah kerana ada kala diuji pelbagai dugaan. Oleh itu, sudah tentu ada rasa suka dan dukanya. Ada kala seseorang manusia itu gembira dan ada kalanya dia diuji oleh Allah SWT dengan perasaan sedih. Inilah realiti kehidupan yang perlu dilalui setiap manusia. Sesungguhnya kehidupan manusia itu ibarat pusingan roda, ada masa kita berbangga apabila berada di atas puncak dunia dan ada masa kita rebah jatuh ke lembah sengsara. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan begitulah hari-hari yang Kami gilirkan (padanya kesenangan dan kesengsaraan) di kalangan manusia untuk Allah menilai siapakah mereka yang beriman kepada-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 140) Tabah hadapi realiti kehidupan Kita perlu menghadapi realiti kehidupan dengan rasa tabah dan reda atas setiap ketentuan Allah SWT. Martabat reda yang tertinggi ialah apabila seseorang itu ikhlas memperhambakan diri kepada Allah SWT. Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya seseorang itu telah merasai kelazatan iman setelah mana dia reda Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai cara hidupnya dan Muhammad sebagai Nabi dan rasul-Nya.” (Riwayat Muslim) Tiga perkara yang berkait dengan sifat reda dan perlu ada dalam jiwa seseorang Mukmin ialah mengakui Allah, Tuhan yang mencipta serta mentadbir alam ini. Kedua, reda mengambil Islam sebagai agama dan cara hidup dan menolak ideologi bertentangan dengan syariat Islam. Reda yang ketiga ialah beriman dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir dan menzahirkan rasa cinta kepadanya, mengikuti sunnah Baginda termasuk mengajak manusia kepada kebaikan serta menegah daripada kemungkaran. Sesungguhnya sifat reda berkait rapat dengan perasaan sabar dan syukur kepada Allah SWT. Manusia yang kuat imannya akan sentiasa reda dengan ketentuan Allah SWT sama ada gembira mahupun duka. Jiwa-jiwa yang beriman akan sentiasa yakin dengan ketentuan telah Allah SWT tetapkan dalam kehidupan mereka. Bagi mereka, setiap ketentuan itu pasti ada hikmah yang tidak mampu dijangkau oleh akal pemikiran manusia. Hikmah itu bukanlah hak mereka untuk menentukannya, tetapi hak Allah SWT yang lebih tahu keperluan serta kehendak manusia. Sabda Nabi SAW: “Sungguh mengagumkan kehidupan seseorang Mukmin itu kerana segala urusan hidupnya semuanya adalah baik dan perkara ini tidak berlaku kecuali ke atas orang mukmin. Apabila beliau diuji dengan perkara yang menggembirakan maka beliau akan bersyukur kerana itu adalah yang terbaik baginya, manakala apabila beliau diuji dengan perkara yang menyakitkan (jiwa dan hatinya) maka beliau akan sabar kerana perkara tersebut juga adalah yang terbaik baginya.” (Riwayat Muslim) Sifat reda dengan ketentuan Allah SWT juga melahirkan rasa ‘husnu al-zhan’ iaitu berbaik sangka dalam setiap takdir daripada Pencipta. Manusia yang beriman akan merasai bahawa semakin dia diuji oleh Allah SWT maka semakin hampir Allah SWT dengannya. Ujian Tuhan tanda kasih sayang Ujian daripada Allah SWT ini juga melambangkan tanda kasih sayang-Nya kepada hamba yang bertakwa. Ujian daripada Allah SWT boleh jadi jalan untuk manusia kembali kepada-Nya setelah mereka leka dengan perbuatan dosa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Aku sentiasa bersama setiap hamba yang selalu mengharapkan sesuatu daripada-Ku. Apabila dia mengingati-Ku maka aku akan sentiasa bersamanya. Apabila dia mengingati-Ku di dalam jiwanya nescaya Aku turut sama mengingatinya. Apabila dia mengingati-Ku secara beramai-ramai bersama kumpulannya nescaya Aku akan mengingatinya bersama-sama himpunan malaikat yang sudah tentu lebih hebat daripada mereka. Ketika mana dia mendekati-Ku dengan jarak sejengkal maka Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta dan apabila dia mendekatiku sehasta maka aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan maka aku akan pergi kepadanya dalam keadaan berlari.” (Riwayat Muttafaqun ‘Alaih) Imam al-Nawawi menghuraikan hadis ini dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim, menyatakan inilah rahmat Allah SWT kepada hamba yang sentiasa mengingati dan mendekatkan diri kepada-Nya. Setiap perkara yang diharapkan oleh hamba pasti Allah SWT akan mengurniakan yang lebih baik. Sifat reda juga berkait rapat dengan perasaan al-Qana‘ah iaitu berasa cukup dengan pemberian Allah SWT. Manusia yang tidak mempunyai sifat al-Qana’ah ialah manusia yang tidak bersyukur dan juga tidak berasa reda akan nikmat dikurniakan kepadanya. Malah lebih membimbangkan, apabila jiwa seseorang itu dicemari dengan sifat hasad terhadap nikmat dan kesenangan yang Allah SWT berikan kepada manusia lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sucikanlah nama Tuhanmu yang Maha Tinggi. Dialah yang menciptakan kehidupan dan menjadikannya secara adil dan baik kejadiannya. Dialah juga yang telah menetapkan sesuatu (rezeki) dan memberi petunjuk (kepada manusia).” (Surah al-A’la, ayat 1-3)
Posted on: Fri, 25 Oct 2013 11:37:45 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015