NGO Kluster Pembinaan Melayu bantah TPPA Harakahdaily, 23 Jul - TopicsExpress



          

NGO Kluster Pembinaan Melayu bantah TPPA Harakahdaily, 23 Jul 2013 KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan NGO-NGO Kluster Pembinaan Melayu berpandangan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) bukanlah satu keperluan yang mustahak buat masa ini memandangkan Malaysia telahpun menandatangani perjanjian perdagangan dua hala dengan banyak negara ahli TPPA. Gabungan itu menyatakan Malaysia pernah menolak FTA dengan Amerika pada tahun 2007, namun sehingga kini Amerika masih tetap merupakan rakan dagang terbesar Malaysia. “TPPA tidak terbukti boleh menjana pendapatan yang lebih baik buat Malaysia, tetapi perjanjian ini sudah hampir pasti akan mengekang peluang serta kebebasan yang sedang dikecapi,” ujar Gabungan Persatuan NGO-NGO Kluster Pembinaan Melayu dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah. Kami selaku Gabungan Persatuan NGO-NGO Kluster Pembinaan Melayu; dengan ini bersepakat bahawa penyertaan Malaysia di dalam Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) harus diberhentikan serta-merta berdasarkan resolusi yang telah dipersetujui bersama seperti berikut: 1. TPPA tidak akan dapat menguntungkan kontraktor, pembekal, pengilang dan kumpulan profesional pembinaan Melayu terutamanya dan Malaysia amnya. Senario semasa telah menunjukkan betapa sengitnya persaingan sesama kontraktor dan pembekal tempatan, apatah lagi sekiranya peluang-peluang ini dibuka pula kepada syarikat asing. Manakala peluang untuk berniaga di negara-negara anggota TPPA hampir tidak pernah wujud lantaran pelbagai syarat dan terma ketat yang dikenakan. Sekiranya TPPA benar-benar berpotensi, data-data mengenainya tidak pernah diumumkan, bahkan intipati TPPA yang penuh berahsia ini dilihat terlalu memihak kepada pelabur dan syarikat asing. Tanpa maklumat yang lebih terperinci daripada MITI, kami lebih percaya bahawa TPPA mahu menutup terus pintu rezeki syarikat tempatan, sebaliknya akan membuka seluas-luasnya akses perniagaan kepada entiti asing yang mempunyai keupayaan modal dan sokongan lebih baik. Tidak ada data dan keyakinan bahawa pasaran untuk syarikat pembinaan di Malaysia dapat terbuka kepada negara-negara TPPA khususnya US, Singapura, Canada, New Zealand dan sebagainya malahan pasaran tempatan boleh dikuasai mereka. 2. Kami berpandangan bahawa TPPA bukanlah semata-mata berkaitan perdagangan bebas atau pembukaan pasaran, tetapi satu bentuk penjajahan baru yang cuba mengawal akses, mengaut untung dan menghukum Malaysia sekiranya enggan bekerjasama. 29 bab yang sedang dirundingkan bukan lagi bersangkut paut dengan perdagangan, tetapi turut cuba merombak perundangan negara agar lebih ‘pro-syarikat multinasional’. Kesan-kesan buruk perjanjian multilateral seperti kemasukan bahan binaan pada harga yang terlalu murah bakal mengancam kedudukan pembekal tempatan. Kontrak-kontrak kerajaan akan membenarkan penyertaan terus syarikat asing, tertutupnya peluang pekerjaan kepada kumpulan pengurusan dan profesional (penggunaan tenaga buruh tempatan sudah lama tertutup), kenaikan nilai hartanah yang tidak mampu dimiliki rakyat tempatan lantas memaksa mereka berhijrah ke luar bandar, pemilikan ekuiti asing tanpa had, tiadanya kawalan terhadap aliran keluar-masuk tunai oleh syarikat asing serta ancaman berterusan negara kepada tindakan undang-undang, hanya kerana cuba mahu menjaga nasib kontraktor tempatan. 3. Kami turut mempertikaikan kelayakan serta integriti para perunding TPPA Malaysia yang telah diamanahkan, terutamanya daripada MITI sebagai ketua perunding. Kealpaan dan sikap tidak profesional mereka amat mengecewakan. Sekiranya benar ada proses konsultasi sebagaimana yang didakwa MITI, ia sudah amat terlewat dan tidak mampu memberi apa-apa kesan signifikan terhadap perjanjian. Lebih memburukkan keadaan apabila jawapan serta alasan yang diberikan amat memihak kepada pelabur asing. Sebagai rakyat Malaysia, kami kecewa kerana wakil perunding kerajaan dilihat lebih cenderung melayan kehendak dan permintaan negara asing khususnya Amerika sepertimana permintaan mereka dalam FTA-FTA US sebelum ini dari mahu melindungi hak serta kepentingan warganegara. Perunding-perunding Malaysia kelihatan tergopoh-gapah mahu mempercepatkan rundingan. Kami mendesak agar pasukan perunding TPPA ditukar dengan individu yang lebih cekap, matang, berkelayakan dan prihatin kepada nasib semua pihak, bukan sesetengah golongan sahaja. 4. Kami berpandangan TPPA bukanlah satu keperluan yang mustahak buat masa ini memandangkan Malaysia telahpun menandatangani perjanjian perdagangan dua hala dengan banyak negara ahli TPPA. Malaysia pernah menolak FTA dengan Amerika pada tahun 2007, namun sehingga kini Amerika masih tetap merupakan rakan dagang terbesar Malaysia. TPPA tidak terbukti boleh menjana pendapatan yang lebih baik buat Malaysia, tetapi perjanjian ini sudah hampir pasti akan mengekang peluang serta kebebasan yang sedang dikecapi. Dengan TPPA, dasar-dasar kerajaan yang mendahulukan rakyat akan terpaksa dirombak berikutan ancaman tindakan saman daripada syarikat-syarikat transnasional yang hanya mementingkan keuntungan. Malaysia juga harus memberi lebih perhatian dan usaha untuk menjayakan ASEAN Single Market yang lebih sejiwa dan dinamik sifatnya. Kami bersetuju bahawa TPPA akan merencatkan kemajuan ASEAN sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Filipina Cesar V. Purisima. 5. Impak yang lebih buruk melalui TPPA secara jangka panjang bukan hanya melibatkan pihak swasta / usahawan sahaja malah pihak kerajaan dan generasi akan datang akan turut terkesan. Kami mendesak Malaysia untuk keluar daripada rundingan TPPA serta-merta sebelum terlambat. Kita tidak akan menanggung apa-apa kerugian tanpa menganggotai TPPA, bahkan kita yakin bahawa peluang-peluang yang lebih besar, saksama dan bermakna masih terbuka luas, tanpa perlu menggadai maruah dan kedaulatan ibupertiwi. Gagasan Persatuan NGO-NGO Pembinaan Melayu yang bernaung di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM): Senarai nama persatuan: 1. Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) 2. Persatuan Pengeluar, Pembekal Dan Pengedar Bahan Binaan Bumiputera Malaysia (PPBM) 3. Persatuan Usahawan Arkitek Melayu Malaysia (ARKIM) 4. Persatuan Pengusaha Kayu Kayan Dan Perabot Bumiputera Malaysia (PEKA) 5. Persatuan Kontraktor-Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) 6. Persatuan Pengilang,Pembekal, Kontraktor Industri Elektrikal, Elektronik, Mekanikal Dan ICT Melayu Dan Bumiputera Malaysia (PERKEM) 7. Gabungan Jurutera Perunding Bumiputra Malaysia (GJPBM) 8. Persatuan Perunding Jurukur Bahan Melayu Malaysia (PPJBMM) 9. Persatuan Pengilang Bahan Binaan Bumiputera Malaysia (PERBINA) 10. Persatuan Kontraktor Penyelenggaraan Dan Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PKPP) 11. Persatuan Kontraktor Jentera Melayu Malaysia (PKJMM) bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/20965-ngo-kluster-pembinaan-melayu-bantah-tppa
Posted on: Tue, 23 Jul 2013 16:31:05 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015