Suami isteri maut nahas jalan raya Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA - TopicsExpress



          

Suami isteri maut nahas jalan raya Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA [email protected] KUALA TERENGGANU 9 Nov. - Sepasang suami isteri maut dalam nahas jalan raya membabitkan beberapa buah kenderaan di Kilometer 26.5, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Ikan dekat sini hari ini.Ketika kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi, Khadi Saari, 53, dan isterinya, Rohani Yusof, 49, dalam perjalanan menaiki kereta Perodua Viva dari rumah mereka di Pasir Puteh, Kelantan untuk menghadiri satu seminar produk kesihatan di Batu Enam dekat sini.Kemalangan berlaku apabila kenderaan dinaiki pasangan itu yang menghala ke arah Kuala Terengganu cuba mengelak sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Storm yang cuba memotong sebuah Honda CRV dari arah bertentangan sebelum terbabas ke bahu jalan.Kereta dinaiki mangsa kemudian bertembung dengan Honda CRV tersebut dan pada masa yang sama sebuah Proton Wira turut merempuh kereta mangsa dari arah belakang.Berikutan rempuhan itu, Khadi yang juga seorang guru tercampak keluar dari keretanya sebelum dihempap keretanya sendiri manakala Rohani pula tercampak sejauh kira-kira 10 meter ke seberang jalan.Kedua-dua mereka yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian.Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Alias Hashim ketika dihubungi memberitahu, jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat.Polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan itu, katanya. Artikel Penuh: utusan.my/utusan/Dalam_Negeri/20131110/dn_17/Suami-isteri-maut-nahas-jalan-raya#ixzz2kBkOwJJm © Utusan Melayu (M) Bhd
Posted on: Sat, 09 Nov 2013 22:04:24 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015