2 WANITA WARGA ASING DITAHAN SALAH GUNA PAS LAWATAN SOSIAL - TopicsExpress



          

2 WANITA WARGA ASING DITAHAN SALAH GUNA PAS LAWATAN SOSIAL Kuantan, 7 Sept - Dua wanita asing yang dipercayai menyalah guna pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) ditahan di sebuah premis dalam Ops Hiburan di sini malam tadi. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Mohd Haris Daud berkata turut ditahan dipremis yang sama ialah dua lelaki yang berumur sekitar 20-an kerana disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit. Operasi tersebut bermula 11 malam dan berakhir 2 pagi melibatkan 117 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang yang memeriksa 12 premis hiburan. "Kita turut memeriksa enam premis siber kafe yang disyaki menjalankan aktiviti mesin perjudian secara haram di sekitar bandar ini. "Hasil pemeriksaan mendapati sebuah daripada premis terbabit beroperasi tanpa lesen dan kita menahan dua penjaga premis yang berumur sekitar 20-an untuk siasatan lanjut," katanya di sini hari ini. Mohd Haris berkata polis juga merampas 52 buah komputer yang dianggar bernilai RM52,000 yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian, selain empat modem. Katanya wanita asing yang ditahan itu disiasat di bawah Peraturan 17(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas lawatan sosial dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa pas dan permit yang sah. Beliau berkata premis mesin judi terbabit kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 manakala pemilik lesen perniagaan dan penjaga atau pekerjanya juga boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 4 B (a) ARJT 1953 atau di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BERNAMA
Posted on: Sun, 08 Sep 2013 07:23:34 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015