5: DOSA, KEBAIKAN DAN YANG HAK Aku kumpulkan sekalian dosa-dosa - TopicsExpress



          

5: DOSA, KEBAIKAN DAN YANG HAK Aku kumpulkan sekalian dosa-dosa ku yang menghimpit jiwaku aku melihat seluruh dunia adalah dosa izinkan daku meletakkan segala dosa di bawah tapak kaki ku. Aku hadapkan pandangan kepada kebaikan bila daku melihat diriku yang baik berdatangan diri-diri lain menghijab izinkan daku meletakkan segala kebaikan di bawah dosa- dosa. Aku berhadapan dengan keinginan-keinginan tanpa dosa jiwa belum tenang keinginan-keinginan mengheret kepada kegelisahan tidak sabar. Wajah keinginan memperlihatkan ego diri takutkan kesusahan dan kehinaan. Keinginan adalah dosa sebenar dosa-dosa lain adalah anak-anaknya walaupun anak-anak dikuburkan ibu akan terus melahirkan anak-anak baharu. Bagaimana menghapuskan keinginan bukankah ia adalah diriku sendiri. Aku melihat kepada diriku terasa kesamaran di sebalik diri yang berkeinginan dalam kesamaran itu wujud diri yang suci murni tanpa keinginan. Ia tidak dikurung oleh jasad tiada ruang tiada zaman. Ia sentiasa damai dan tenteram namun ia tidak diberi kesempatan untuk memperlihatkan wajahnya. Kuburkan diri yang berkeinginan! begitulah ucapan Mu yang ku dengar. Bila daku mendengar ucapan Mu aku melihat diri ku berada di tengah-tengah di antara Engkau dan diri yang berkeinginan aku melihat diri yang berkeinginan itu bukanlah diriku yang sejati ia hanyalah bayang-bayang yang muncul dari pancaran cahaya Mu kepadaku yang terhijab mengapa kepada bayang penglihatan ku tertuju sedangkan Engkau adalah cahaya dan aku yang menerima cahaya bayang adalah kegelapan mengapa terpesona dengan kegelapan. Engkau terangi daku dengan cahaya Mu untuk ku kenali diriku agar pengenalan itu membuatku melihat cahaya Mu dan mengetahui bahawa cahaya Mu yang paling nyata sedangkan aku dan lain-lainnya adalah zarah-zarah yang terapung-apung di dalam angkasa raya cahaya Mu. Cahaya Mu yang tanpa warna tanpa rupa adalah kebijaksanaan tanpa tara dengannya segala menjadi nyata. Sekalian wajah-wajah adalah cermin wajah Mu cermin itu adalah keindahan keindahan adalah bayangan wajah Mu keindahan adalah rasa hati bukan bentuk bukan rupa apabila hati mesra di dalam keindahan Mu itulah penatapan wajah Mu bulat, leper, atau panjang putih, kuning atau hijau kelmarin, hari ini atau esok semuanya tidak menjadi soal pada hati yang melihat keindahan wajah Mu. Hati itulah rahsia besar. Pandanglah Tuhan tanpa menggunakan mata Dia tidak pernah bersembunyi dengarlah ucapan tanpa menggunakan telinga Dia tidak pernah berhenti berkata-kata. 6: KERAGUAN Engkau ajukan pertanyaan: mengapa fikiranmu bersimpang siur mengapa dukacita tidak terlepas daripadamu. Wahai Pelindung diriku apabila aku mendatangi Mu dengan diriku aku kecundang fikiranku tidak bisa menjurus jiwaku tidak bias tenang keraguan tidak terpisah dari diriku. Pengalaman ini membuatku mengerti mengenali Mu bukanlah dengan diriku pengenalan Mu adalah dengan Diri Mu. Cahaya Mu yang menyatukan segala fikiran cahaya Mu yang membakar segala kerisauan. Daku bukakan hatiku sambil memohon: wahai ar-Rahman! penuhilah hatiku dengan cahaya Mu tanpa cahaya Mu mana mungkin daku melihat Mu. 7: RAHSIA Bagaimana hendak ku serahkan zat rahsiaku kepada-Mu? ini adalah persoalan besar. Engkau ucapkan: katakanlah: Roh adalah urusan Tuhanku. Rahsia adalah rahsia mana boleh diterka hanya daku perlu meyakini ia adalah urusan Tuhanku mengapa aku cuba memikul urusan Tuhan serahkan hak Tuhan kepada Tuhan.. Wahai Tuhanku Engkau mengetahui zat rahsiaku daku sendiri tidak mengetahuinya tanpa pengetahuanku tentangnya daku serahkannya kepada Mu terimalah, terimalah, terimalah daku tidak hairan bagaimana Engkau menerima zat rahsiaku kerana Engkau yang paling rahsia Pemilik segala rahsia.
Posted on: Mon, 30 Sep 2013 17:43:43 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015