“Adalah dikatakan bahawa syariat ialah anda memperhambakan diri - TopicsExpress



          

“Adalah dikatakan bahawa syariat ialah anda memperhambakan diri kepada Allah, tariqah ialah anda menghadirkan Allah di hati (sentiasa ingatkan Allah) dan hakikat ialah anda saksikan (hakikat Allah) dengan mata hati.” Dari kata-kata Shaikh Najm al-Din Kubra di atas dapat kita lihat bagaimana tariqah itu menjadi wasilah atau jalan atau jambatan yang menghubungkan antara syariat dengan hakikat. Ini bermakna tanpa tariqah, maka syariat tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Syariat yang dilakukan tanpa hakikat/akidah ibarat tubuh badan manusia tanpa roh atau nyawa. Mengenai hal ini Ibn ‘Ata‘illah menegaskan dengan kata hikmahnya: “Amalan-amalan (ibadah) itu sebagai kerangka yang tegak sedangkan rohnya ialah adanya rahsia ikhlas (zikrullah) dalam amalan-amalan itu sendiri.” Al-Imam Shaikh Abu Qasim Junaid al-Baghdadi menegaskan bahawa sumber ilmu dalam tasawwuf/tariqah hanya dua sahaja, Al-Quran dan sunnah. Beliau menegaskan perkara ini dengan katanya: “Bahawa sesungguhnya ilmu kami (tasawwuf/tariqah) adalah terikat kuat dengan kitab Al-Quran dan sunnah. Orang yang mencela bahawa ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah tidak berasal dari syariat sebenarnya mereka itu memang kurang mendalam ilmu syariatnya. Ini bukti menunjukkan dustanya orang yang mengira ilmu kami itu terkeluar daripada batas syariat, baik pada masa sekarang atau yang lain.” Shaikh Abdul Wahab al-Sya’rani seorang tokoh besar tasawwuf terkenal di kurun ke 10 menjelaskan bahawa jalan tarbiyah golongan ini lebih menumpukan pada ibadah yang berbentuk fardu dan sunnah dengan katanya: “Ilmu tasawwuf adalah asas pengisian hati para wali Allah dan mereka sebagai wadah sinarannya kerana pengamalan terhadap Al-Quran dan sunnah. Siapa saja yang mengamalkan keduanya, maka hatinya akan tertuang ilmu-ilmu, etika-etika, misteri-misteri dan hakikat-hakikat yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Tasawwuf tidak lain merupakan intisari pengamalan seorang hamba terhadap hukum-hukum syariat.” 2. Keutamaan Ilmu dan Amalan Tasawwuf/Tariqah Ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah merupakan kepasrahan terus menerus untuk beribadah. Kepasrahan ritual ini menjadi- kan golongan tasawwuf mampu menggali jenis-jenis etika yang memperindahkan jiwa mereka. Mereka terus melaksanakan peribadahan itu dengan memperbanyakkan berzikrullah bagi mencapai maqam-maqam kerohanian di dalam amalan bersuluk (beruzlah) untuk mencapai darjat yang tertinggi (darjat ihsan). Semua itu telah terbiasa dalam diri mereka, sehingga terasa cinta atau sudah mendarah daging dengan memperbanyakkan zikrullah dan istiqamah berqiyamullail di dalam kehidupan seharian mereka. Mereka juga mewajibkan diri mereka sendiri kezuhudan khusus yang menjadikan mereka memiliki rasa yang memancar atau rasa rohani (zawq) yang memunculkan ilham di dalam jalan-jalan peribadahan. Ini adalah kerana mereka mahukan kesempurnaan dalam peribadahan (syariat dan batin/akidah). Mereka berkeyakinan bahawa hal (darjat ihsan) itu merupakan sasaran hidup yang tertinggi. Shaikh Abdul Qadir al-Jailani, seorang tokoh tasawwuf yang terkenal di kota Baghdad (w. 565 H.) menjelaskan betapa sukarnya untuk mencapai kesempurnaan hati/akidah dengan katanya: “Akidah adalah suatu ungkapan yang sederhana. Tetapi pengamalan (tarbiyah) itu adalah suatu kerja yang amat kompleks.” Allah SWT menjanjikan perubahan kepada mana-mana kaum yang terlebih dulu mengubah apa yang ada dalam diri kaum itu iaitu hati (akidah). Allah SWT menjanjikan kejayaan dan keagungan umat Islam apabila bersungguh-sungguh membuat perubahan pada hati seperti yang Allah SWT nyatakan dalam firman-Nya. Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu sehingga kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri mereka.” ( Surah Ar-Ra’d: Ayat 11) Maka perubahan yang terpokok, utama dan yang terpenting ialah membaiki diri iaitu roh (hati). Membaiki diri iaitu hati supaya mampu berzikrullah terus menerus supaya hijab hati dibukakan oleh Allah SWT, melalui jalan bermujahadah memerangi nafsu atau memusnahkan segala kekejian (mazmumah) diri hingga benar-benar terbakar hangus dan musnah hingga tiada lagi saki bakinya yang tinggal pada diri seseorang. Jalan tarbiyah yang dilaksanakan Nabi SAW ke atas para sahabat r.a adalah dengan menumpukan perhatian terhadap usaha memperbetul dan memperbaiki hati mereka berasaskan kepada amalan zikrullah dan bermujahadah memerangi nafsu (bersuluk (beruzlah)). Baginda juga menjelaskan bahawa baiknya seseorang manusia itu bergantung kepada baik hatinya dan jahat hatinya dari berbagai-bagai penyakit batin yang tersembunyi itu. Baginda bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya ada segumpal daging di dalam jasad (manusia) itu, apabila ia itu baik maka baiklah seluruh jasad, bila ia rosak maka rosaklah jasad keseluruhan. Ketahuilah, itulah hati.” Seterusnya baginda menjelaskan bahawa tempat tumpuan dan tilikan Allah SWT terhadap hamba-hambaNya ialah hati. Baginda SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad kamu, tidak pula kepada rupa (zahir) kamu tetapi Allah memandang terhadap hati-hati kamu.”
Posted on: Mon, 08 Jul 2013 12:57:11 +0000

© 2015