Azab Dan Nikmat Kubur Dalam al-Quran dan al-Hadis Ustaz Dr. - TopicsExpress



          

Azab Dan Nikmat Kubur Dalam al-Quran dan al-Hadis Ustaz Dr. Abdullah Yasin[1] Mukaddimah Persoalan akidah merupakan perkara yang paling asas di dalam Islam. Kalau Islam diibaratkan bangunan maka kedudukan akidah adalah bagaikan asas atau tapak binaan tersebut. Jika akidah seseorang rosak maka akan musnah semua amalan yang dibina di atasnya. Atas dasar itulah Rasulullah shallallahu alaihi wasallam memulai dakwahnya dengan akidah sebelum mengajar syari‘at. Walaupun Islam menganjurkan penggunaan akal fikiran namun dalam pembahasan akidah peranan akal wajib dibatasi. Apalagi persoalan akidah banyak berkaitan dengan perkara ghaib yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia yang sangat terbatas. [1] Beliau ialah salah seorang tokoh ilmuan dan pendakwah terkenal di Malaysia, termasuk salah seorang guru saya sendiri (Hafiz Firdaus). Semoga Allah memelihara beliau dan mempermudahkannya untuk terus mendalami ilmu dan menyampaikannya kepada umat Islam seluruhnya. Artikel ini pada asalnya ialah sebuah kertas kerja seminar yang dibentangkan di UIAM. Dalam edisi ini dilakukan beberapa penambahan agar lebih sesuai untuk terbitan dalam bentuk buku. Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah Rasulullah shallallahu alaihi wasallam mengakui bahawa umatnya kelak akan berpuak-puak menjadi 73 puak dan puak yang akan selamat dari azab neraka hanya satu puak, iaitu puak Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Baginda bersabda: وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقَن أُمَّتِي عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً فَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ , قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ ؟ قَالَ : الْجَمَاعَةُ. Demi Allah, yang jiwa Muhammad di Tangan-Nya , sesungguhnya umatku akan terpecah menjadi 73 golongan. Yang satu masuk Syurga, sedangkan yang 72 masuk Neraka. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, siapakah mereka (yang masuk Syurga itu)? Beliau menjawab: Al-Jama’ah. (Hadis riwayat Ibnu Majah, Ibn Abi ‘Ashim dan al-Lalaka‘i dengan sanad yang baik sebagaimana nilai al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, no: 1492) Ketika baginda shallallahu alaihi wasallam ditanya tentang siapakah golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah tersebut maka baginda hanya menjawab: “Mereka yang mengikuti aku dan sahabat-sahabatku. Lebih terperinci hadis tersebut berbunyi: وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلاَّ مِلَّةً وَاحِدَةً. قَالُوا وَمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي. Dan akan terpecah umatku menjadi 73 aliran, semua mereka masuk Neraka kecuali satu aliran. Para sahabat bertanya: Siapakah aliran itu yang Rasulullah? Baginda menjawab: Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan jalan para sahabatku. (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani. Rujuk Shahih Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Iman, hadis no: 2641) Sebelum wafat baginda shallallahu alaihi wasallam telah berwasiat: فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيرًا. فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ. فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ. Sesungguhnya orang yang hidup sepeninggalan aku akan melihat banyak perselisihan, maka hendaklah kamu memegang sunnah aku dan sunnah para khalifah yang mendapat petunjuk lagi bijaksana. Berpegang teguhlah kepadanya, gigitlah dengan geraham dan hati-hati jangan sampai mengada-adakan urusan yang baru. Ini kerana setiap urusan yang baru adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah kesesatan. (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih sebagaimana nilai al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Daud, Kitab al-Sunnah – no: 4607). Baginda shallallahu alaihi wasallam juga pernah memuji pegangan Salaf Soleh iaitu mereka yang hidup dalam lingkungan tiga kurun pertama keIslaman. Hal ini diisyaratkan oleh baginda di dalam sabdanya: خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ. Sebaik-baik umat aku adalah pada kurun aku, kemudian pada kurun yang mengikutinya, kemudian pada kurun yang mengikutinya. (Shahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, no: 3650) Ciri-Ciri Akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah Adapun ciri-ciri khas akidah puak Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah ialah: 1. Menyandarkan keyakinan mereka berdasarkan keterangan dari Al-Quran dan Al-Hadis yang sahih serta akal yang sejahtera. 2. Mendahulukan keterangan Al-Quran dan Al-Hadis jika dianggap bercanggah dengan akal fikiran, bukan sebaliknya. 3. Mengutamakan pegangan akidah Salaf Soleh kerana merekalah yang telah mendapat pujian Rasul shallallahu alaihi wasallam Alam Barzakh Sebenarnya istilah alam kubur hanyalah berdasarkan kebiasaan (ghalib) kerana setiap manusia yang wafat biasanya dikuburkan. Malahan menguburkan jenazah menjadi salah satu kewajipan (fardhu kifayah) ke atas orang yang masih hidup. Ini tidak bermakna bagi setiap manusia mesti ada kuburnya apabila mereka mati kerana ada-kalanya atas sebab-sebab tertentu terdapat manusia yang tidak diketahui kuburnya. Sebabnya pelbagai, mungkin kerana ditelan binatang buas, terbakar hangus, berkecai jasadnya kerana kemalangan dan sebagainya. Istilah yang tepat menurut al-Qur’an dan al-Hadis ialah Alam Barzakh. Menurut keyakinan (iktikad) Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, setiap manusia akan berada di dalam satu alam yang dinamakan alam barzakh. Ia berada di antara alam pilihan (dunia) dengan alam akhirat. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam surah Al-Mukminun 23:99-100: Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) - Supaya aku mengerjakan amal-amal yang salih dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (dinding) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada Hari Kiamat). Manusia Di Alam Barzakh Manusia terdiri daripada jasad dan roh sekalipun dengan hubungan antara keduanya yang bersifat sangat relatif (nisbi). Terdapat lima bentuk hubungan antara roh dan jasad, iaitu: 1. Hubungan antara roh dan jasad di dalam rahim ibu (janin). 2. Hubungan keduanya di muka bumi setelah dilahirkan. 3. Hubungan antara keduanya ketika tidur. 4. Hubungan antara keduanya ketika di alam barzakh. 5. Hubungan antara keduanya ketika dibangkitkan dari alam barzakh. Walaupun roh berpisah setelah kematian namun perpisahan antara keduanya bukanlah perpisahan yang mutlak (firaq kulliy). Sungguh banyak dalil yang menjelaskan bahawa roh dikembalikan kepada jasad di dalam kubur ketika disoal oleh malaikat Munkar dan Nakir. Roh juga dikembalikan ketika menjawab salam orang yang menziarahi kubur. Pengembalian roh ini adalah pengembalian khas dan tidak semestinya pengembalian yang dapat menghidupkan jasad melainkan pada hari kebangkitan. Sehubungan dengan hakikat ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menjadikan untuk manusia tiga peringkat kehidupan, iaitu: 1. Kehidupan Dunia. 2. Kehidupan Barzakh. 3. Kehidupan Qarar. Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menjadikan bagi tiap-tiap kehidupan tersebut khas dengan hukum-hakamnya yang tersendiri berbeza dengan kehidupan yang lain. Manusia dijadikannya memiliki jasad dan roh. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menetapkan hukum-hakam di dunia berdasarkan jasad kasar manusia sedangkan roh hanya mengikutinya. Oleh sebab itu Allah menjadikan hukum-hakam syari‘at didasarkan kepada ucapan lisan dan amalan anggota sekalipun rohaninya bercanggah dengan apa yang diucap atau yang diamalkan. Adapun hukum-hakam Barzakh, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menetapkannya berdasarkan roh sedangkan jasad kasarnya hanya mengikutinya. Ini berbeza dengan kehidupan di dunia sebagaimana yang telah diterangkan di atas. Oleh itu di alam Barzakh badan akan turut merasakan kepedihan azab jika rohnya disiksa sebagaimana badan akan turut merasakan nikmat jika roh mendapat nikmat. Ini kerana jasad adalah penyebab untuk mendapat nikmat atau sebaliknya siksaan. Adapun pada Hari Kiamat ketika jasad dibangkitkan dari alam Barzakh untuk menghadap Allah, maka berhimpunlah jasad dan roh secara hakiki untuk menerima nikmat ataupun siksaan. Di alam akhirat inilah pertautan jasad dan roh menjadi yang paling sempurna. Ia melebihi pertautannya di alam yang lain kerana pertautan kali ini tidak akan dicemari oleh kematian, tidur, kerosakan dan sebagainya. Menurut kamus Mukhtar al-Shahhah (مختار الصحاح) oleh Abu Bakr Al-Razi, makna barzakh ialah dinding pembatas antara dua benda. Ia juga membawa makna apa yang terdapat di antara alam dunia dan alam akhirat sejak dari waktu kematian seseorang sehingga dia dibangkitkan. Jadi siapa yang mati maka itu bermakna dia telah masuk ke dalam alam barzakh tanpa mengambil kira bagaimana cara kematiannya. Azab Dan Nikmat Kubur Bukan Suatu Yang Mustahil Sungguh banyak perkara yang tidak dapat disaksikan oleh mata kasar di dalam alam dunia ini tetapi kita yakini akan kewujudannya. Malah bukan saja tentang kewujudannya tetapi apa yang dirasakan oleh rohani juga dapat dirasakan oleh jasmani. Di antara contoh perkara tersebut ialah: 1. Beberapa orang yang tidur nyenyak di atas satu hamparan. Di antara mereka ada yang bermimpi indah. Ketika bangun jasadnya turut merasakan nikmat yang dirasakan oleh rohnya ketika dalam mimpi. Demikian sebaliknya bagi orang yang bermimpi buruk dan mengerikan. Bukan saja rohnya tersiksa tetapi badan juga terasa tersiksa. Mereka yang tidur berhampiran masing-masing tidak mengetahui apa yang dirasakan oleh rakannya. Jika perkara seperti ini tidak dapat kita ingkari hakikat kewujudannya maka demikianlah dengan alam barzakh, malahan kejadian di alam barzakh akan lebih hebat lagi. 2. Malaikat Jibril alaihissalam yang turun membawa wahyu kepada Rasulullah shallallahu alaihi wasallam dalam bentuk seorang lelaki. Baginda dapat melihat dan mendengar ucapannya sedangkan para sahabat yang berada di sekeliling baginda tidak dapat melihat dan mendengarnya. 3. Para Jin bercakap dengan sesama mereka dengan suara yang lantang. Mereka berada ditengah-tengah umat manusia tetapi kita tidak mendengar pertuturan mereka. Jahil, Sesat, Dusta Berdasarkan beberapa contoh di atas nyatalah bahawa azab dan nikmat kubur bukanlah suatu yang mustahil. Bagi mereka yang mempunyai keimanan yang mantap , ilmu pengetahuan agama yang mencukupi dan akur akan kekuasaan Allah yang tiada tandingannya pasti akan yakin tentang kewujudan siksaan dan nikmat kuburan. Hanya orang jahil dan sesat serta suka mendustakan ucapan Rasulullah shallallahu alaihi wasallam dan meragukan kekuasaan Allah sahajalah yang akan mengingkari adanya azab dan nikmat kubur. Mazhab Mutazilah Di antara umat Islam ada yang menganut fahaman Mutazilah. Di antara fahaman Mutazilah yang sangat bercanggah dengan fahaman Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah ialah bahawa Mutazilah tidak percaya akan adanya azab dan nikmat kubur.[2] Mereka beranggapan kononnya azab dan nikmat kubur itu tidak rasional dan bercanggah dengan akal yang waras. Mereka mendakwa antara lain, bagaimana manusia akan disiksa dan mendapat nikmat di dalam kubur padahal ada manusia yang tidak dikesan kuburnya? Bagaimana dengan mereka yang hancur tubuhnya kerana letupan bom, yang dimakan oleh binatang buas dan hangus terbakar menjadi abu? Semua pertanyaan ini hanya muncul dari orang yang jahil tentang makna alam kubur atau lebih tepat – alam barzakh sebagaimana yang dipaparkan di atas. Pengarang kitab al-Irsyad ila Shahih al-I’tiqad, Dr. Salih Fauzan Al-Fauzan berkata: مَذْهَبُ سَلَفِ اْلأُمَّةِ وَأَئِمَّتِهَا أَنَّ الْمَيِّتَ إِذَا مَاتَ يَكُوْنُ فِى نَعِيْمٍ أَوْ عَذَابٍ. وَأَنَّ ذَلِكَ يَحْصُلُ لِرُوْحِهِ وَبَدَنِهِ وَأَنَّ الرُّوْحَ تَبْقَى بَعْدَ مُفَاَرَقَةِ الْبَدَنِ مُنْعَمَةٌ أَوْمُعَذَّبَةٌ ، وَأَنَّهَا تَتَّصِلُ بِالْبَدَنِ أَحْيَانًا ، وَيَحْصُلُ لَهُ مَعَهَا النَّعِيْمُ أَوْ الْعَذَابُ . Golongan Salaf Soleh dan para imamnya berpendapat bahawa seseorang bila wafat akan merasakan nikmat atau azab. Yang demikian itu akan dialami oleh rohnya dan badannya bersama-sama. Sesungguhnya roh akan kekal untuk merasakan nikmat atau azab walaupun setelah berpisah dengan badan kerana roh kadangkala berhubungan dengan badan agar bersama-sama merasakan nikmat atau siksaan. [2] Perbezaan besar antara Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dan Mazhab Mu’tazilah adalah yang pertama mengutamakan wahyu di atas akal manakala yang kedua mengutamakan akal di atas wahyu. (Hafiz Firdaus). Dalil-Dalil Adanya Azab Dan Nikmat Dalam Kubur Dalil-dalil daripada al-Qur’an. Pertama: Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan sakratul-maut (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya. [al-An‘aam 6:93] Ungkapan …pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina… mengandung makna azab ketika akan mati atau azab di dalam alam Barzakh. Ini kerana seandainya yang dimaksudkan dengan azab pada ayat di atas adalah selepas Hari Kiamat maka sudah tentu ia tidak disebut sebagai …pada hari ini kamu dibalas. Kedua: Dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya. Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!” [al-Mukmin 40:45-46] Allah Subhanahu wa Ta‘ala memperlihatkan (mendedahkan) azab kepada Firaun dan pengikutnya pagi dan petang lalu kemudian menyiksa mereka dengan azab yang keras setelah kiamat. Ini bermakna azab sebelum kiamat itu adalah azab kubur dan bukan azab di akhirat (neraka) mahupun di dunia. Ini kerana: 1. Azab tersebut berlaku sebelum kiamat. 2. Di alam akhirat tidak ada pagi dan petang. 3. Azab tidak diperlihatkan (‘aradh) kepada Fir’aun di dunia. 4. Ayat ini untuk umum tidak hanya khusus untuk Fir’aun dan pengikutnya saja. (Kaedah Ilmu Tafsir) Ketiga: Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan, kemudian dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan). [Nuh 71:25] Ayat ini menyatakan azab yang ditimpakan ke atas orang-orang dari umat Nabi Nuh ‘alaihissalam. Setelah mereka ditenggelamkan kerana kesalahan-kesalahan mereka (مما خطيئاتهم أغرقوا) lalu Allah sambung dengan (فأدخلوا نارا) kemudian dimasukkan ke dalam neraka. Maksud neraka di sini ialah azab di alam Barzakh dan bukan di alam setelah Kiamat sebab kata sambung (‘ataf) yang digunakan dalam ayat di atas adalah huruf (الفاء) = (فأدخلوا). Menurut kaedah bahasa Arab, kegunaan kata sambung (الفاء) mengandung makna tertib yang dekat bukan berselang lama. Kaedah tersebut dalam bahasa Arab disebut: أنَّ الْعَطْفَ بِالْفَاءِ يَقْتَضِى التَّرْتِيْبَ مَعَ التَّعْقِيْبِ مِنْ غَيْرِ تَرَاخٍ Atas dasar kaedah ini maka maksud ayat di atas adalah, umat Nuh yang derhaka itu dimasukkan terus ke dalam neraka setelah mereka ditenggelamkan tanpa menunggu lama. Demikianlah menurut zahir ayat. Ia tidak bermaksud azab api neraka setelah Hari Kiamat kerana azab tersebut masih lama setelah kejadian taufan Nabi Nuh a.s. Keempat: Bermegah-megahan telah melalaikan kamu , sampai kamu masuk ke dalam kubur. [al-Takaathur 102:1-2] Diriwayatkan bahawa Ali radhiallahu anh berkata: Kami masih meragukan akan adanya azab kubur sehingga turunlah ayat ini. (Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Tafsir, no: 3413) Kelima: Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta. [Ta-Ha 20:124] Imam Ibn Katsir ketika menafsirkan ayat di atas mengemukakan sebuah hadis daripada Abi Hurairah radhiallahu anh bahawa Nabi shallallahu alaihi wasallam berkata tentang firman Allah: (فإن له معيشة ضنكا) maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, maksudnya adalah azab kubur. Berkata Imam Ibn Katsir setelah itu: “Isnadnya jayyid (baik).” Dalil-Dalil Adanya Azab Dan Nikmat Dalam Kubur Dalil-dalil Daripada al-Hadis Jika direnung dengan cermat hadis-hadis yang berkaitan dengan azab dan nikmat kubur nescaya kita akan dapati bahawa hadis-hadis tersebut adalah perincian terhadap ayat-ayat Al-Quran yang berhubungan dengannya. Adapun hadis-hadis tersebut, antaranya adalah: Pertama: عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِقَبْرَيْنِ فَقَالَ: إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِى كَبِيْرٍ ، أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَسْتَبْرِئُ مِنَ الْبَوْلِ ، وَأَمَّا اْلآخَرُ فَكَانَ يَمْشِى بِالنَّمِيْمَةِ . ثُمَّ دَعَا بِجَرِيْدَةٍ فَشَقَّهَا نِصْفَيْنِ فَقَالَ : لَعَلَّهُ يُخَفِّفُ عَنْهُمَا مَالمَ ْيَبِسَا . Daripada Ibn Abbas radhiallahu anh: Sesungguhnya Nabi shallallahu alaihi wasallam melalui (melintasi) dua kubur, lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua dua penghuni kubur ini sedang disiksa dan mereka tidaklah disiksa kerana dosa besar, adapun yang seorang disiksa kerana tidak menjaga kebersihan diri ketika buang air kecil, sedangkan yang satu lagi kerana suka menceritakan keburukan orang.” Kemudian baginda shallallahu alaihi wasallam meminta sati pelepah korma lalu dibelahnya menjadi dua lalu bersabda: “Semoga pelepah korma ini akan dapat meringankan siksaan mereka berdua selama ia belum kering.” [Shahih al-Bukhari – no: 218, Shahih Muslim – no: 292] Kedua: عَنْ زَيْدٍ بْنِ ثَابِت رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: بَيْنَمَا رَسُوْلُ اللهِ فِى حَائِطٍ لِبَنِى النَّجَّارِ عَلَى بَغْلَتِهِ وَنَحْنُ مَعَهُ ، إِذْ حَادَتْ بِهِ فَكَادَتْ تَلْقِيهِ فَـإِذَا أَقْبُرٌ سِتَّةٌ أَوْ خَمْسَةٌ أَوْ أَرْبَعَةٌ. فَقَالَ: مَنْ يَعْرِفُ أَصْحَابَ هَذِهِ الْقُبُوْرِ؟ فَقَالَ رَجُلٌ: أَنَـا. قَالَ: فَمَتَى مَاتَ هَؤُلاَءِ؟ قَالَ: مَاتُوا فِى اْلإِشْرَاكِ. فَقَالَ: إِنَّ هَذِهِ اْلأُمَّةَ تُبْتَلَى فِى قُبُوْرِهَا ، فَلَوْ لاَ أَنْ تُدَافَنُوا ، لَدَعَوْتُ اللهَ أَنْ يُسْمِعَكُمْ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ الَّذِى أَسْمَعُ مِنْهُ. Daripada Zaid Bin Tsabit radhiallahu anh, dia berkata: Ketika Rasulullah shallallahu alaihi wasallam berada di kawasan Bani Najjar sambil menunggang keldainya dan kami bersama baginda, tiba-tiba keldainya terkejut dan hampir saja baginda terjatuh. Di kawasan itu terdapat enam atau lima atau empat kuburan, lalu baginda shallallahu alaihi wasallam bertanya: “Siapakah di antara kamu yang mengetahui penghuni-penghuni kubur ini?” Seorang lelaki menjawab: “Saya.” Baginda bertanya lagi : “Bilakah mereka mati?” Lelaki tersebut menjawab: “Mereka mati dalam syirik.” Lalu baginda bersabda : Sesungguhnya umat ini (penghuni-penghuni kubur ini) sedang disiksa di dalam kubur mereka. Andaikata mereka tidak dikuburkan nescaya aku memohon kepada Allah agar Dia memperdengarkan kepada kamu siksaan kubur sebagaimana yang aku mendengarnya.” [Shahih Muslim, Kitab Syurga dan sifatnya dan nikmatnya dan ahlinya, no: 2867] Ketiga: عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ اْلأَخِيْرِ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللهِ مِنْ أَرْبَعٍ: مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيْحِ الدَّجَّـالِ. Daripada Abi Hurairah radhiallahu anh bahawa Nabi shallallahu alaihi wasallam bersabda: “Jika salah seorang dari kamu selesai membaca tasyahhud akhir (dalam solatnya) maka hendaklah ia memohon kepada Allah daripada empat perkara: Daripada azab Jahannam, daripada azab kubur, daripada fitnah hidup serta mati dan daripada fitnah Dajjal.” [Shahih Muslim, Kitab Masjid, no: 588] عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ دَخَلَتْ عَلَيَّ عَجُوزَانِ مِنْ عُجُزِ يَهُودِ الْمَدِينَةِ فَقَالَتَا لِي إِنَّ أَهْلَ الْقُبُورِ يُعَذَّبُونَ فِي قُبُورِهِمْ فَكَذَّبْتُهُمَا وَلَمْ أُنْعِمْ أَنْ أُصَدِّقَهُمَا. فَخَرَجَتَا وَدَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ لَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ عَجُوزَيْنِ وَذَكَرْتُ لَهُ. فَقَالَ صَدَقَتَا إِنَّهُمْ يُعَذَّبُونَ عَذَابًا تَسْمَعُهُ الْبَهَائِمُ كُلُّهَا. فَمَا رَأَيْتُهُ بَعْدُ فِي صَلاَةٍ إِلاَّ تَعَوَّذَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ. Daripada Aisyah radhiallahu anha katanya: Dua orang wanita tua daripada kalangan wanita tua Yahudi Madinah telah masuk menemuiku lalu berkata: “Sesungguhnya penghuni-penghuni kubur disiksa di dalam kubur mereka.” Aisyah berkata: Aku mendustakan mereka dan tidak percaya pada awalnya. Lalu mereka keluar dan masuk pula Rasulullah shallallahu alaihi wasallam menemuiku maka akupun bertanya: “Ya Rasulallah! Dua orang wanita tua Yahudi….” Lalu aku ceritakan apa yang terjadi. Baginda bersabda: “Benar dia (wanita Yahudi tersebut), sesungguhnya mereka disiksa dengan siksaan yang boleh didengar oleh semua binatang.” Aisyah berkata : Setelah peristiwa itu aku tidak pernah melihat baginda solat melainkan setelah itu baginda memohon perlindungan daripada siksaan kubur. [Shahih al-Bukhari, Kitab doa-doa, no: 6366] Ghaib Hakiki dan Ghaib Idhafi Pada asalnya hanya Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang mengetahui akan perkara ghaib. Ini sebagaimana firman-Nya: Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati). [al-Naml 27:65] Namun demikian menurut pandangan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga berkuasa untuk memberitahu Rasul-Nya beberapa perkara ghaib. Ini berdasarkan firman-Nya: Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun - Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redai-Nya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan). [al-Jinn 72:26-27] Atas dasar itulah kita yang bermazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah membahagi perkara ghaib kepada dua jenis, iaitu: 1. Ghaib Hakiki, iaitu perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah. Tidak seorangpun dari kalangan makhluk-Nya yang mengetahui jenis ghaib ini walaupun Malaikat ataupun para Rasul. Contohnya: Bilakah kiamat akan terjadi. 2. Ghaib Idhafi, iaitu beberapa perkara ghaib yang dapat diketahui oleh para Rasul kerana mereka diberitahu oleh Allah melalui wahyu. Contohnya: Nabi shallallahu alaihi wasallam dapat menyatakan beberapa tanda-tanda kiamat yang bakal terjadi seperti matahari akan terbit dari sebelah barat, pengembala miskin akan memiliki bangunan tinggi dan lain-lain. Kewujudan ghaib idhafi diperkuatkan lagi oleh firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat-ayat berikut: Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib. [al-Takwir 81:24] Oleh itu adalah keliru jika ada orang yang mendakwa kononnya Rasulullah shallallahu alaihi wasallam tidak ada authority untuk menyatakan perkara-perkara ghaib. Ini kerana baginda shallallahu alaihi wasallam mempunyai keistimewaan yang tidak dimilki oleh manusia biasa walaupun bergelar bomoh atau dukun. Baginda shallallahu alaihi wasallam mendapat wahyu dan ucapan baginda adalah juga berdasarkan wahyu, bukan berdasarkan hawa nafsu. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjelaskan di dalam Al-Quran: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang manusia seperti kamu yang diwahyukan kepadaku bahawa …” [al-Kahf 18:110] Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. [al-Najm 53:3-4] Al-Qur’an dan al-Hadis Sungguh banyak ayat Al-Quran yang menyuruh kita orang-orang yang beriman agar mematuhi Allah dan Rasul-Nya. Malahan jika terjadi percanggahan pendapat di antara sesama kita tentang sesuatu perkara kita disuruh agar mengembalikan perkara tersebut kepada Allah dan Rasul-Nya iaitu kepada Al-Quran dan Al-Hadis. Ini berdasarkan firman Allah: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [al-Nisa’ 4:59] Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bukan hanya bertugas sebagai “posmen” atau penyampai risalah Allah kepada umatnya sebagaimana dakwaan golongan anti hadis, tetapi baginda juga pada masa yang sama bertugas sebagai penjelas terhadap keumuman atau apa yang tersirat di dalam Al-Quran. Tugas ini diperjelaskan sendiri oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam firman-Nya : Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya. [al-Nahl 16:44] Atas sebab itu walaupun Al-Quran tidak memperincikan secara jelas tentang azab dan nikmat kubur, penjelasan Rasulullah shallallahu alaihi wasallam tentangnya secara terperinci wajib kita imani dan pegangi. Apalagi hadis-hadis yang menerangkan tentang azab dan nikmat kubur sebagaimana yang dipaparkan di atas adalah hadis-hadis yang sahih belaka. Sebab-Sebab Azab Kubur Al-‘Allamah Al-Safaarainiy berkata, sebab-sebab penghuni kuburan disiksa terbagi kepada dua bahagian, iaitu: 1. Mujmal (umum). Mereka disiksa di dalam kubur kerana kejahilan mereka terhadap Allah dan enggan mematuhi suruhan Allah serta melakukan maksiat. Azab kubur dan azab akhirat adalah akibat daripada murka Allah kepada hamba-Nya. Siapa yang dimurkai Allah di dunia ini kerana durhaka kepada-Nya dan tidak segera taubat kepada-Nya lalu mati dalam keadaan demikian maka untuknya azab kubur setimpal dengan kemurkaan Allah kepadanya. 2. Mufassal (Terperinci). Rasulullah shallallahu alaihi wasallam pernah diperlihat dan diperdengarkan azab kubur ketika baginda melalui dua kuburan, yang satu disiksa kerana suka menceritakan keburukan orang sedangkan yang satu lagi kerana tidak menjaga kebersihan ketika buang air kecil. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bermimpi (semua mimpi para rasul adalah wahyu) diperlihatkan oleh Allah kepadanya sebab-sebab manusia disiksa di dalam kubur seperti orang yang solat tanpa bersuci (taharah), orang yang melalui seseorang yang sedang dizalimi lalu enggan menolongnya, orang yang membaca Al-Quran lalu tidur pada malamnya kemudian tidak mengamalkan apa yang dibacanya itu pada waktu siangnya, orang yang berzina, orang yang makan riba, orang yang malas solat Subuh, orang yang enggan mengeluarkan zakat, orang yang gemar menyibar fitnah di dalam masyarakat, orang yang takabbur (sombong), orang yang ria’ dan orang yang suka mencaci orang lain sama ada melalui ucapan atau tindakannya. (Riwayat al-Bukhari) __________________________ Kitab Rujukan 1. Aqidah Al-Wasitiyyah; Ibn Taimiyah. 2. Al-Roh; Ibn Qayyim 3. Al-Irsyad Ilaa Sahih Al-I’tiqad; Dr. Saleh Bin Fauzan Al-Fauzan 4. Al-Hayat Al-Barzakhyyah; Muhammad Al-Zahir Khalifah 5. Tafsir Al-Quran Al-‘Azim; Ibn Kathir. 6. Ahkaam Al-Janaaiz; Nasiruddin Al-Albaaniy. 7. Lum’at Al-I’tiqad Al-Haadi Ilaa Sabil Al-Rasyad; Ibn Qudamah Al-Muqaddasiy; Syarh: Syeikh Muhammad Bin Saleh Al-‘Utsaimin.
Posted on: Tue, 05 Nov 2013 06:25:29 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015