BISNES FBM KLCI dijangka diniaga rendah minggu depan 14 - TopicsExpress



          

BISNES FBM KLCI dijangka diniaga rendah minggu depan 14 September 2013 * INDEKS FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan rendah minggu depan di celah-celah situasi belian berlebihan global, bimbang dengan kenyataan Rizab Persekutuan mengurangkan suntikan modalnya serta jumlah dagangan yang tipis dalam sesi mingguan sebelum cuti sambutan Hari Malaysia. Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan berkata dalam bergerak ke hadapan, pasaran yang lebih lemah telah dijangkakan selepas saham global mencecah paras tinggi lima tahun minggu lepas. Minggu lepas, MSCI All World, FTSE All World & FBM KLCI, masing-masing meningkat 12.5 peratus, 12.1 peratus dan 5.6 peratus, kata beliau. "Walaupun, kita percaya saham-saham itu seharusnya stabil buat seketika, tanda-tanda positif daripada kekurangan ketegangan geopolitik Syria dan ekonomi China yang lebih baik mungkin menunjukkan sebarang kelemahan adalah satu peluang membeli yang baik," kata beliau kepada Bernama di sini. Nazri berkata kejutan menaik dilihat dalam data ekonomi China seharusnya mengukuhkan jangkaan China telah berjaya mengatasi kelembapan dalam aktiviti dan akan mendapat manfaat daripada kebanyakan rakan dagang Asia. Beliau berkata kehendak risiko secara meluas seharusnya kembali dan melonjakkan saham global dengan kerajaan AS menyarankan ia mungkin menangguhkan serangan militari terhadap Syria bagi membolehkan para diplomat Rusia menekan Syria menyerahkan senjata kimianya. Di bahagian teknikal pula, Nazri berkata halangan serta-merta dilihat di kedua-dua bulan Julai dan Ogos, masing-masing pada 1,780 dan 1,800 sementara sokongan serta-merta ialah pada paras rendah Julai dan purata 50 hari pergerakan menghampiri paras-paras 1,760 dan 1,730. Sementara itu, di pasaran domestik, Nazri berkata pembentangan Belanjawan 2014 dan jangkaan pemilihan Umno seharusnya menjadi penyokong kepada pasaran untuk sentimen tempatan. "Dari segi strategi, pelabur agresif sepatutnya menjual niaga hadapan indeks buat sementara dan pelabur konservatif pula membeli ketika harga lemah untuk saham-saham berkaitan Belanjawan 2014 dan UMNO, termasuklah saham kewangan, pengguna dan pembinaan," kata beliau. Untuk minggu baru berakhir, saham-saham bergerak rancak, bermula Isnin dan berterusan untuk empat hari berturut-turut sebelum turun pada Jumaat. Para pembeli seberang laut begitu aktif berurus niaga minggu ini dengan belian bersih asing dari hari Jumaat sehingga Khamis berjumlah sehingga RM670 juta, menurut ketua Penyelidikan Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew. Setakat 12 September, penyertaan asing di bursa tempatan ialah 22.29 peratus, institusi tempatan 54.59 peratus dan runcit tempatan 23.12 peratus. Berdasarkan perbandingan Jumaat-Jumaat, FBM KLCI meningkat 47 mata kepada 1,770.8, Indeks Kewangan melonjak 404.67 mata kepada 16,587.4, Indeks Perladangan naik 177.05 mata kepada 8,330.75 dan Indeks Perindustrian melonjak 104.68 mata kepada 3,005.75. Indeks FBM Emas lebih tinggi 317.23 mata kepada 12,274.59, Indeks FBMT100 pula 311.17 mata lebih tinggi pada 12,028.2, Indeks FBM 70 menokok 326.61 mata kepada 13,907.72 dan Indeks FBM ACE meningkat 118.54 mata kepada 5,094.39. Jumlah dagangan mingguan menambah kepada 7.77 bilion saham bernilai RM9.367 bilion berbanding 6.6 bilion saham bernilai RM7.62 bilion minggu lepas. Jumlah dagangan di pasaran utama, meningkat kepada 6.266 bilion saham bernilai RM9.063 bilion berbanding 4.81 bilion unit bernilai RM7.3 bilion minggu lepas. Waran bagaimanapun merosot kepada 283.384 juta saham bernilai RM42.446 juta daripada 313.36 juta saham bernilai RM44.02 juta minggu lepas. Jumlah dagangan di pasaran ACE pula mengembang kepada 1.218 bilion unit bernilai RM260.001 juta daripada 1.168 bilion unit bernilai RM264.57 juta Jumaat lepas. - Bernama S.H
Posted on: Sat, 14 Sep 2013 14:55:46 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015