Baca petikan ini, best tak? KHAIRIL melekapkan mukanya ke - TopicsExpress



          

Baca petikan ini, best tak? KHAIRIL melekapkan mukanya ke jeriji besi, sambil matanya memerhati ke arah dinding yang mengepung tempat itu. Di hadapannya terdapat dua buah jel yang mengurung orang-orang yang disyaki bersalah dan akan dihadapkan ke mahkamah. Nasib mereka yang terkurung di situ sama sahaja, menanti perbicaraan dijalankan. Selepas perbicaraan hukuman bakal dijatuhkan. Terus terkurung ataupun mendapat kebebasan, hanya takdir yang akan menentukan. Di situ dia terkurung bersama dengan konco-konconya. Ah Seng, Man Galah, Tam dan Judin. Mereka juga seperti dirinya, termenung panjang dengan muka muram. Dari kejauhan terdengar bunyi tapak kasut di lantai simen dikuti dengan bunyi gril besi dibuka. Khairil melonjak di kala terlihat wajah ayahnya yang hadir bersama dengan seorang lelaki. Lelaki itu dikenalinya. Dia adalah peguam ayahnya, Rajasegaran. “Ayah!” seru Khairil gembira. Mendengar Khairil menyeru ayahnya dengan nada bersemangat, keempat-empat konconya yang sedang termenung segera bangun dan mendekati jeriji besi. “Khairil! Jangan bimbang. Kau akan keluar dari sini. Berapa lama dia orang nak tahan kau. Paling lama pun cuma tiga hari,” kata ayah Khairil seorang lelaki berpangkat dato’. “Mr. Raja, you tolong tangani kes anak saya. Pastikan dia dikeluarkan dari sini dengan segera.” “Ya, sudah tentu. Awak akan diikat jamin, Encik Khairil. Jangan takut! Lagipun pihak pendakwa tidak ada cukup bukti,” kata Peguam Rajasegaran. “Bos! Macam mana dengan kami! Tolong ikat jamin kami sekali,” kata konco-konco Khairil serentak. “Ya, Mr Raja. Tolong dia orang sekali,” kata Khairil tidak sanggup hendak meninggalkan anak-anak buahnya. Dia masih memerlukan mereka sekiranya dapat keluar dari situ kelak. “Sudah tentu! Jangan takut, petang ni kau orang semua sudah boleh diikat jamin. Tunggu hari bicara,” kata Peguam Rajasegaran. Khairil dan konco-konconya ketawa serentak. Mereka yakin akan dapat memboloskan diri. Benar juga segala jenayah yang mereka lakukan tanpa sebarang bukti. Biarpun Laura Jane membuat laporan dan pihak berkuasa melakukan pendakwaan, jika tiada sebarang bukti kukuh mereka akan dilepaskan. Negara ini ibarat tidak mempunyai undang-undang. Tidak kira siapa yang benar ataupun yang bersalah, tanpa bukti tiada sebarang kes dapat disabitkan. Begitulah, undang-undang boleh dimanipulasi oleh mereka yang bijaksana. Dato’ Mulia menghulur tangan dari celah jeriji besi, lalu memegang bahu anaknya. “Sabarlah. Tak lama lagi kau akan keluar dari sini. Kita akan ajar pelakon tu! Berani dia mencemarkan nama kau dengan membuat tuduhan yang bukan-bukan! Nama aku jugak tercemar.” “Ya ayah!” Khairil mengangguk dan tersengih panjang. Dia mendapat sokongan padu daripada ayahnya. Siapa yang tidak kenal Dato’ Mulia? Kau mengajak aku bermusuhan, Laura! Bisik hati Khairil. Tiada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan aku! Biarpun sekarang aku terkurung, tetapi aku akan keluar dari sini. Aku akan balas dendam yang lebih hebat lagi! Tunggu saja... Khairil memasang tekad dalam hati. Dia yakin pada ‘kekebalan’ Dato’ Mulia. DUA HARI KEMUDIAN. DI hadapan pekarangan mahkamah, penuh dengan wartawan dan orang ramai. Mereka ingin melihat wajah Laura Jane yang akan hadir sebagai saksi dalam satu kes perbicaraan antaranya dengan Khairil Dato’ Mulia. Dato’ Mulia dan Khairil, serta peguamnya, Rajasegaran telah tiba lebih awal. Wartawan sempat bertanya berkenaan dengan kes itu tetapi tidak mendapatkan sebarang jawapan. Hanya jawapan ‘no komen’ diberikan. Wartawan tidak berpuas hati. Kemudian muncul sebuah kereta, berhenti di hadapan mahkamah. Wartawan menyerbu ke arah Laura Jane yang baru keluar dari kereta. Sejak akhir-akhir ini wajah wanita itu mulai muncul kembali memberi percikan warna di celah-celah berita hitam putih dada akhbar. Surat khabar laris kerana masyarakat ingin mengetahui perkembangan hidup artis berkenaan. Bermula dengan dimasukkan ke wad kerana sakit selepas dikatakan cubaan membunuh dilakukan ke atasnya oleh Khairil Dato’ Mulia. Hari ini perbicaraan kes itu akan dijalankan tepat jam 9.00 pagi. Laura Jane tambah berseri dengan selendang putih dipadankan dengan sepasang kurung biru lembut. Dia mengenakan cermin mata hitam. Wajahnya disolek tipis. Ben, bakal suami wanita itu setia di sisi. Anak gadis wanita itu, Hawa Fatihah turut hadir. Gambar mereka segera dirakam. Wartawan bertanya beberapa soalan tetapi dijawab dengan ringkas oleh Ben. Laura Jane tidak bersuara walaupun sepatah hanya tersenyum dan sempat melambai ke arah kamera. Mereka masuk ke mahkamah untuk menghadiri perbicaraan itu. Wartawan terus menunggu di luar untuk perkembangan lanjut. Perbicaraan berehat sebentar untuk makan tengah hari kemudian bersambung lagi pada jam 2.00 petang. Akhirnya pada pukul 5.00 petang, segalanya berakhir. Khairil dibebaskan kerana tidak cukup bukti untuk menyabitkan dirinya dengan sebarang kes cubaan bunuh. Sebaliknya Laura Jane dikatakan menghadapi kemurungan dan depresi, yang membuatkan dia membayangkan sesuatu yang tidak wujud. Doktor yang merawatnya mengesahkan dia mengalami halusinasi. Khairil dan Dato’ Mulia tertawa besar di hadapan kamera. Dan Laura Jane melarikan diri dari wartawan yang mahu menemuramahnya. Hari yang panjang itu berakhir dengan kelelahan dan kekecewaan bagi Laura Jane tetapi satu kemenangan besar buat Khairil. Aku akan kembali Laura! Bisik Khairil. Dia memandang sahaja Laura Jane dan Hawa Fatihah yang berlalu pergi meninggalkan kawasan mahkamah dengan kereta yang dipandu Ben. “I frust! Betul-betul frust,” luah Laura Jane semasa mereka sudah tiba di rumah. “Sabar dan bertenanglah Laura! Segala yang berlaku ini memberikan kita semua satu pengajaran. Semoga peristiwa ni takkan berulang lagi. Percayalah, I akan melindungi you dan Hawa.” “Thank you, Ben,” ucap Laura Jane sambil merenung Ben. “Argh! Banyaknya dugaan yang terpaksa I tempoh dalam hidup ni. Rasanya I macam tak berdaya nak teruskan hidup. Mujurlah you kembali. Kalau you tak ada I pun tak tahu dapatkah I bertahan menghadapi semua ni,” keluh Laura Jane. “Jangan bimbang, sayang. I akan sentiasa di samping you.” “Ehem!” Hawa Fatihah berdehem kuat, sambil menuruni tangga. “Baby! Baby nak pergi mana dah bersiap-siap cantik ni!” “Ibu ni...cepat betul lupa. Kan ibu jugak yang kata tadi, kita semua nak pergi dinner. Ibu tu yang belum siap lagi.” “Oh ya!” Laura Jane tersenyum sambil memandang jam dinding. “Ibu bersiap sekejap,” kata Laura Jane lalu terus naik ke tingkat atas. Hawa Fatihah duduk di sofa sementara menanti ibunya bersiap. Ben memandang Hawa Fatihah. “Kalau tak ada aral, kami dah pilih tarikh 24 Oktober sebagai tarikh perkahwinan kami, Hawa.” “Maknanya ada lebih kurang dua bulan dari sekarang.” “Ya, kau bolehlah mula design kad kahwin kami. Bincang dengan Kak Ecah uruskan katering.” “Boleh, no problem. Hawa akan buat apa saja untuk Hawa dan ibu, Ben,” balas Hawa Fatihah. “Ha...tu lagi I tak best dengar.” “Apa dia?” tanya Hawa Fatihah tidak mengerti. “You panggil I, Ben. Patut tukar panggilan tu!” “Oh, ya tak ya. Nak panggil apa ya? Hawa pun tak tahu. Memang Hawa rasa tak sedap hati panggil nama saja. Macam kurang ajar pulak.” “Panggil aje Papa Ben.” “Aduh, sebenarnya Hawa dah ada papa. Ayah abang Pian, Hawa panggil papa dan mak dia Hawa panggil mama. So, Hawa rasa macam dah ada papa dan mama. Kalau Hawa panggil ‘ayah’ macam mana?” “Okey jugak,” jawab Ben sambil tersenyum. “Ibu dan ayah. Keluarga ni dah lengkap,” kata Hawa Fatihah sambil berbalas senyuman dengan Ben. Laura Jane turun dari tingkat bawah dan terdengar perbualan antara Ben dan Hawa Fatihah. Dia ikut tersenyum apabila teringatkan rancangan makan malam yang akan berlangsung nanti. Dia turut menjemput Puan Anom sekeluarga. Cuma Hawa Fatihah sahaja yang tidak tahu. Sebenarnya ini semua adalah satu kejutan untuk gadis itu! Mereka bertiga terus keluar menghala ke sebuah restoran eksklusif di PWTC. Tiba di hadapan pintu Hawa Fatihah dapat menangkap wajah Sufian yang tercegat berdiri bagaikan menunggu seseorang. “Ibu! Nampak Abang Pian macam tunggu orang aje.” “Ya,” jawab Laura Jane sambil tersenyum panjang. Apabila Sufian melihat mereka bertiga, dia terus datang menyongsong. “Mama dan papa dah tunggu di dalam,” beritahu Sufian. Laura Jane dan Ben mengangguk serentak. Hawa Fatihah kaku sahaja berdiri di hadapan Sufian. “Hawa! Apa ditunggu lagi...jom!” Mahu tidak mahu Hawa Fatihah terpaksa menurut. Dia tidak tahu bahawa makan malam itu diatur oleh keluarga Sufian. Hawa Fatihah diam tidak bersuara sepanjang pertemuan itu. Perbualan berkisar tentang rancangan perkahwinan antara Laura Jane dan Ben. Encik Anuar, Puan Anom dan Sufian nampak benar-benar teruja melebihi Laura Jane yang akan menjadi ratu dan raja sehari. Hanya Hawa Fatihah yang diam membisu, pura-pura makan dengan tekun. Padahal makanan yang terhidang langsung tidak terasa keenakannya. Hawa Fatihah melepaskan keluhan berat kemudian meminta diri untuk ke bilik air. Selepas itu dia tidak kembali lagi ke meja makan sebaliknya terus keluar. Dia mengatur langkah sendirian, sambil matanya memandang lampu-lampu yang terang menyinari persekitaran. Kompleks beli belah dan Hotel Legend di Jalan Putra berdiri megah bermandi cahaya. Dia melangkah sendiri, mengikut rentak kaki tidak tahu hala tuju yang pasti. Akhirnya dia tiba di Jalan Raja Laut. Barulah dia menoleh ke belakang, sudah jauh dia berjalan. Dia melihat Sufian berjalan longlai dan senyap di belakangnya. Hawa Fatihah mempamer wajah terkejut. “Hawa nak ke mana sebenarnya?” tanya Sufian. “Abang Pian ikut Hawa sejak tadi?” “Abang Pian bimbang Hawa jalan sorang malam-malam macam ni. Takut Hawa kena culik!” Sufian tersengih, cuba bergurau. Hawa Fatihah menggigit bibir. “Tak kelakar langsung!” Sufian hanya mengangkat bahu. “Hawa dah dewasa bang! Hawa tahu jaga diri.” “Abang Pian tahu. Hawa dah besar. Tahun ni Hawa dah dua puluh satu, kan?” Hawa Fatihah mengangguk. Benar dia sudah dewasa, sudah pun mendapat kunci kebebasan. Tapi mengapa dia harus terus mengikut kata orang lain? Jodohnya cuba diatur-atur. Dia tidak rela. Dia mahukan sebuah kebebasan hakiki. Hawa Fatihah membalikkan badannya kembali menghala ke PWTC. Dia tidak mahu Laura Jane bimbang dan tertanya-tanya ke mana dia pergi. Sufian mengikut sahaja. “Abang Pian, Hawa dah putuskan hubungan dengan Azim,” beritahu Hawa Fatihah. Mereka berjalan seiring kini. Sufian mengulum senyuman. Hawa Fatihah sudah membuat keputusan yang bijak, bisik hatinya. “Jadi, semuanya akan kembali kepada asal?” Sufian sengaja meletakkan persoalan. Dia mahukan kepastian. “Ibu dah kembali pada Ben. Itu sudah pasti. Kebahagiaan ibu kini dalam genggaman,” kata Hawa Fatihah. “Hawa akan kembali pada Abang Pian? Kebahagiaan Hawa akan abang julang.” Sufian menabur janji. “Mungkin ya dan mungkin tak!” “Hawa...Abang Pian mahukan jawapan pasti.” “Maafkan Hawa sebab Hawa belum ada jawapan yang pasti, Abang Pian. Lebih baik jangan tunggu Hawa. Kalau ada jodoh, pasti tak ke mana,” kata Hawa Fatihah sambil menoleh pada Sufian di sisinya. Dia memang tiada jawapan pasti untuk Sufian. Hatinya masih berasa begitu dekat dengan Azim. Dan setiap malam dia bermimpikan wajah Azim yang basah dengan air mata. Dia tidak dapat melupakan wajah itu. Pertama kali melihat lelaki menangis, hatinya benar-benar tersentuh.
Posted on: Thu, 28 Nov 2013 05:15:34 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015