Balik dari kelas saya singgah dikedai mamak untuk membeli makanan - TopicsExpress



          

Balik dari kelas saya singgah dikedai mamak untuk membeli makanan tengah hari. Kebiasaannya saya ambil nasi, sedikit sayur dan ayam goreng dan harganya adalah RM5.00. Tetapi pada hari ini, saya ambil lauk yang sama cuma kuantiti nasi yang diambil adalah separuh daripada kebiasaannya dan harganya adalah RM5.50. Saya bertanya kepada mamak yang menjualnya, adakah harga telah naik? Sejak bila? Jawapan mamak itu dengan penuh keyakinan, ia berkuatkuasa apabila harga petrol naik sebanyak 20sen. Harga petrol naik sebanyak 20sen, harga makanan yang saya ambil walaupun kuantitinya adalah sedikit daripada kebiasaannya naik sebanyak 50sen? Sedar ataupun tidak ini adalah implikasi langsung kesan daripada kenaikkan harga petrol. Saya percaya banyak kes yang sama berlaku kepada anda dan ditempat anda. Sama ada anda malu mengakuinya ataupun tidak. Anda ada jawapannya. Saya akui, keputusan kerajaan untuk menaikkan harga petrol adalah untuk menyelamatkan ekonomi Negara yang berada ditahap membimbangkan. Tatkala kita ingin benar mencapai status Negara maju menjelang tahun 2020 dengan kenaikan GDP atau KDNK sebanyak 6% setiap tahun, kerajaan pada hari ini berdepan dengan kemorosotan GDP dengan kadar hanya lebih kurang 4 hinga 4.5% pada suku kedua. Ini merupakan suatu situasi yang membimbangkan bagi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Ramai masyarakat diluar sana yang melatah dek kerana kenaikkan harga minyak. Saya paham dan anda juga paham akan kesannya kepada kehidupan seharian kita. Keputusan kerajaan menaikkan harga minyak disokong dan difahami oleh pakar ekonomi. Kerajaan menggunakan dasarnya atau dalam istilah ekonomi Fiscal Policy untuk mengatasi masalah ini. Ingin diingatkan kepada semua, kenaikkan harga minyak yang diumumkan tempoh hari bukanlah daripada kesan kenaikkan harga minyak dipasaran dunia. Ia adalah pengurangan subsidi yang diberikan oleh kerajaan terhadap bahan mentah tersebut. Saya tidak mempunyai masalah dengan dasar yang dijalankan oleh kerajaan ini. Cuma persoalaannya, mengapa Negara kita berdepan dengan defisit yang keterlaluan? Cuba lihat kembali dasar-dasar kerajaan yang dijalankan dan juga bajet yang telah digunakan. Adakah kerajaan menggunakan duit dengan sebaik mungkin? Sehingga kita berdepan dengan masalah defisit sedemikian rupa? Nilai export jatuh, nilai Ringgit jatuh, beban hutang Negara meningkat. Kesan daripada beban hutang meningkat adalah diterjemahkan dengan pengurangan tempoh kelayakkan pembelian rumah oleh Bank Negara kepada rakyat. Dengan harga rumah atau hartanah yang terlalu tinggi, siapa yang terbeban dek kerana tatacara tadbir Negara yang lemah? Jawapannya rakyat. Secara teorinya benar kerajaan harus meningkatkan perbelanjaannya untuk meningkatkan GDP ketahap yang dikehendaki. Namun kita perlu lihat, perbelanjaan yang bagaimanakah akhirnya akan memberi impak positif kepada kelangsungan ekonomi Negara. Adakah pemberian BR1M kepada rakyat? Pengunaan duit untuk majlis majlis keraian seperti Hari Belia, Citrawarna Malaysia yang kosnya mencecah jutaan ringgit? Bagi mereka yang berkerja dibahagian pentadbiran disektor awam, anda tahu bagaimana peruntukkan yang diberikan oleh kerajaan harus dibelanjakan secara total. Anda tanya diri anda, adakah kerajaan mengamalkan sikap berjimat cermat? Benar pemberian BR1M akan dapat dikembalikan kepada eknomi apabila rakyat berbelanja lantas meningkatkan ekonomi Negara. Itu adalah secara teori, dimana dalam terma ekonomi , kita perlu lihat faktor faktor lain tidak berubah atau ‘Ceteris Peribus’. Namun dalam dunia relaliti ianya tidak berlaku. Benar kata Tun, kerajaan harus berjimat dan tidak boros. Gunakan duit yang telah diamanahkan oleh rakyat ke jalan yang sewajarnya. Pembelian petrol sendiri oleh menteri yang dicadangkan oleh Saudara Rafizi dikatakan ‘bodoh’ bagi sesetengah menteri. Pengurangan elaun elaun menteri juga banyak dibantah oleh pak menteri. Ada yang sanggup, ada yang bantah dan ada yang berdiam diri. Dimana letaknya slogan ‘Rakyat didahulukan’? Anda jawab. Secara konklusi, kenaikkan harga petrol yang diumumkan tidak boleh dielakkan dan ia harus dilakukan untuk memulihkan ekonomi Negara yang nazak dek kerana tatacara tadbir Negara yang lemah. Kerajaan harus lihat kesan disebalik kenaikkan harga petrol khususnya kepada golongan miskin dan sederhana. Bagi mereka yang kaya raya dengan rezeki Allah, kenaikkan harga petrol ini tidak memberi impak, malah ada yang ‘menganjingkan’ masyarakat diluar sana yang terkesan akibat kenaikkan harga petrol ini. Ada yang kata, “Cepat sangat melatah, semua masalah ada solution, so typical” ada juga yang kata “harga rokok naik tak bising pulak”. Argument untuk harga rokok naik tu telah banyak diperjelaskan. Saya harap anda tidak memperbodohkan diri dengan kenyataan sedemikian rupa. Anda fikirlah. Maafkan saya sekiranya tulisan ini mengguris hati mana mana pihak. Ini adalah apa yang terdetik dihati saya tatkala membeli makannan yang harganya telah naik sebanyak 50sen. Saya percaya ada yang bersetuju dan paham apa yang hendak disampaikan. Bukan menentang kenaikkan harga petrol, tetapi mempersoalkan tatacara tadbir yang lemah oleh kerajaan sehinggakan kita mengalami masalah defisit dan beban hutang negara yang meningkat dan kesannya adalah kepada rakyat. Saya tahu, saya bukanlah pakar ekonomi, tetapi ilmu ekonomi yang tuhan berikan tu adalah serba sedikit yang boleh saya kongsi bersama anda. Ikmal Hisham Mohamad Rom
Posted on: Sun, 08 Sep 2013 06:41:51 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015