Bisnes Khidmat patuh syariah Tabung Haji (TH) menerusi - TopicsExpress



          

Bisnes Khidmat patuh syariah Tabung Haji (TH) menerusi perkhidmatan hospitalitinya TH Hotel & Residence mula melaksanakan pematuhan syariah membabitkan kemudahan, makanan dan perkhidmatan sejak April lalu membabitkan lima hotel di bawah kendaliannya di Malaysia. Hotel berkenaan ialah TH Hotel Kelana Jaya, Selangor, TH Hotel Penang, Bayan Lepas, TH Hotel Kota Kinabalu, Kota Kinabalu, TH Hotel & Convention Centre, Alor Setar, Kedah dan TH Hotel & Convention Centre, Terengganu. Ketua Pegawai Operasi TH Global Services Sdn Bhd Adly Mohamad berkata, kemudahan disediakan berciri syariah termasuk penyediaan makanan dengan sijil halal, sejadah dan al-Quran di setiap bilik penginapan manakala ruang kolam mandi diasingkan antara lelaki dan wanita. Beliau berkata, makanan yang disediakan juga memperoleh sijil halal dari pihak berkuasa negeri dan tiada penggunaan bahan asas seperti arak atau bahan tidak halal yang meragukan kepada orang ramai yang menginap di rangkaian hotel TH. “Meskipun hotel TH bertaraf tiga bintang, namun perkhidmatan yang diberikan adalah bertaraf empat bintang dan kami kini dalam proses menjenamakan hotel ini secara komersial supaya lebih dikenali ramai. “TH mahu menjadi perintis kepada hotel lain di Malaysia yang mematuhi amalan syariah dan sejak beroperasi, hotel ini bukan saja menjadi pilihan pengguna Islam, tetapi pengguna bukan Islam termasuk pelancong asing yang mahukan tempat penginapan selesa pada kadar bayaran berpatutan,” katanya ketika ditemui Bisnes Metro di Makkah. TH Hotel & Residence menyediakan penyediaan makanan dengan sijil halal dan tiada penggunaan bahan asas seperti arak atau bahan tidak halal. TH Global Services Sdn Bhd ketika ini menyediakan perkhidmatan katering dan turut membuka kafeteria bercitarasakan Malaysia di Jeddah, Madinah dan Makkah sempena musim haji 1434H ini. Adly berkata, ketika ini jumlah keseluruhan bilik membabitkan kelima-lima hotel kendalian TH ialah kira-kira 600 bilik dan pihaknya merancang membina beberapa lagi hotel baru di lokasi strategik pada masa depan. TH kini dalam proses membina sebuah hotel baru di Sepang, Selangor yang ditempatkan berhampiran Kompleks Tabung Haji di Sepang bagi menggantikan kompleks lama di Kelana Jaya. Akhbar sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dengan peruntukan RM303 juta, kompleks baru itu akan dibina berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.HM
Posted on: Sat, 28 Sep 2013 00:28:58 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015