DOA IBU KU............. Alhamdulillah petang tadi aku dapat - TopicsExpress



          

DOA IBU KU............. Alhamdulillah petang tadi aku dapat menziarahi pusara ibu dan ayah ku di Tanah Perkuburan Islam Cheras Baru. Hujan turun renyai-renyai ........seakan-akan faham dengan keheningan di pusara... Ayah ku Hi.AbuBakar bin Itam Abdullah ( bekas bilal Masjid Alam Shah , Pudu, K.L. ) meninggal pada 11.10.2002 ( sudah 11 tahun ) selepas diserang sakit jantung manakala ibu ku Hjh Rosiah bt Mohd Gamat meninggal pada 17.03.2011 ( baru 2 tahun ) akibat dari komplikasi setelah pembedahan di bahagian kepalanya. Kedua-duanya meninggal dunia di HUKM, Cheras. Alhamdulillah kami adik beradik berada di sisi mereka sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir mereka. Setelah ayah ku meninggal dunia pada 2002, aku selaku abang sulung dari lima beradik memain peranan sebagai ketua keluarga Hj Abu Bakar. Ibu ku akan merujuk hampir semua perkara kepada ku sebelum sesuatu keputusan di ambil yang melibatkan keluarga. Walaupun begitu, aku sering berbincang dengan adik-adikku untuk menerima pandangan dan keputusan bersama. Alhamdulillah kami lima beradik "ngam " antara satu sama lain. Syukur alhamdulillah , itulah kesan daripada asuhan ibu ayah kami yang berteraskan agama . Ibu ku memang tidak pernah berenggang dengan ayah ku.....mana ayah ku pergi dia akan ikut. Ingat masa zaman ayahku memiliki " lambretta ", ibu kulah pembonceng tetapnya.....Lepas tu naik kereta " Mini Cooper" , pun sama......sit penumpang kekal untuk ibu ku.......Masa itu kami tinggal di kuarters Telekom - No " PWD 2041 Jalan Cheras, Kuala Lumpur. Sekarang dah didirikan flat, sebelum berpindah ke Bandar Tun Razak. Semasa hayat ibu ku setelah pemergian ayah ku, apabila ke Bandar Tun Razak, Cheras ( rumah ibu ku ) dia akan mengajak aku ke pusara suaminya bersama-sama ku. Di pusara, lazimnya kami akan membaca Yaasin dan bertahlil ringkas . Ibu ku akan sentiasa disisiku apabila aku membaca Yaasin dan bertahlil....... Pada kebiasaannya ibu ku akan berdoa ( bercakap di pusara ) ...... DOA IBU KU.... " Cik Bakar .......( panggilan ibu ku kepada ayah ku ) Siah ( membahasakan dirinya kepada ayah ku ) Siah dah tinggal sorang ni ......nanti Siah akan ikut Cik Bakar juga ......biarlah Siah dekat dengan Cik Bakar nanti ya ...." ( doanya supaya apabila dia meninggal dunia dikebumikan berdekatan dengan suaminya . Aku kerap memujuk ibu ku apabila hendak pulang dari pusara suaminya dan mengingatkannya bahawa dia masih lagi ada anak-anak dan cucu-cucu yang menyayanginya. Pernah satu ketika aku berdua sahaja dengan ibu ku dipusara.....dia benar-benar sedih dan menangis.....dan doa / ungkapan yang sama seperti di atas di ulang-ulangnya.....jenuh juga aku memujuk petang itu...... Sebelum meninggal dunia, ibu ku disahkan mempunyai ketumbuhan di hadapan otaknya. Ibu ku sering mengadu makin hari makin tak nampak. Rupanya ketumbuhan itu telah menyempitkan urat matanya hari demi hari. Doktor menasihatkan supaya pembedahan dilakukan.....Kami lima beradik telah berbincang dengan doktor dan sepakat bersetuju pembedahan dilakukan. Semasa di HUKM, cucu kesayangannya Solihin sanggup berhenti kerja semata-mata menjaga opahnya di Hospital.Kami amat terhutang budi dengan pengorbanannya......semoga Allah balas dengan rahmat kasih sayangNYA.......amin.....Kami lima beradik akan berulang ke hospital. Masih aku ingat lagi sebelum masuk bilik pembedahan ibu ku tersenyum kepada kami lima beradik, menantu dan cucunya , tidak menunjukkan sebarang rasa gementarnya. Aku telah berpesan kepada ibu ku supaya jangan lekang di bibir dan di hati kalimah " ALLAH ". Ibu ku selamat menjalani pembedahan dan di masukkan ke dalam wad jagaan rapi sebelum dipindahkan ke wad biasa...... Apabila kesihatannya beransur pulih....ibu ku dibenarkan pulang ke Bandar Tun Razak.Cuma baru beberapa hari di rumah ibu ku mengalami komplikasi yang tidak di duga. Dia seolah-olah kekejangan dan tidak sedarkan diri...mujur kami adik beradik berada disisinya...ambulan dipanggil segera untuk membawa ibu ku ke HUKM semula. Mulai saat itu ibu ku koma hinggalah ibu ku menghembuskan nafas terakhirnya di hadapan anak-anak dan cucunya pada 17.03.2011. Satu perkara yang tidak akan aku lupa hingga akhir hayat ku, ialah beberapa hari sebelum pembedahan dilakukan...... Aku ke rumah ibu ku bersaorangan, selepas solat Maghrib untuk menziarahinya dan bercadang akan pulang lewat malam kerana esoknya nak kerja.Perkara ini aku tidakpernah bercerita kepada sesiapa lagi..... Ibu ku berkata kepada ku selepas makan malam bersama ku . Kalau ibu ku tahu aku akan datang dia pasti akan masakkan bubur kacang kegemaran ku. Kata ibu ku : " Razak.......tidurlah sini malam ini .....mak nak tidur sebelah kamu malam ini...dah lama tak tidur dengan kamu ." . Aku rasa macam terkedu bila ibu ku berkata begitu......Untuk tidak menghampakan ibu ku, aku menalifon isteri ku bahawa aku tidak balik Shah Alam tapi akan tidur di " Kongo " ( nama Bandar Tun Razak dulu ) . Masih ku ingat lagi ibu ku sendiri membentang tilam kekabu, bantal dan gebar untuk ku pada malam itu. Sebelum tidur kami berborak-borak mengenai keluarga dan ibu ku mula bercerita mengenai ayah ku . Dia mula sebu dan terisak-isak. Aku memujuknya lagi..... Sebelum aku tertidur , aku dapat rasai bahawa muka dan dahiku diusap-usap oleh ibu ku ibarat bayi yang masih kecil yang lama tidak aku rasai....menitik airmataku pada malam itu dan aku dapat rasai pemergian ibu ku tidak lama lagi.Dan aku diselimutkan oleh ibu ku sendiri...... Keesokkan, ibu ku mengejutkan aku yang masih lagi lena...Oleh kerana aku perlu balik awal ke Shah Alam aku mohon izin untuk pulang. Amalan yang sering aku lakukan , aku akan memeluknya dan mencium kedua-dua pipinya yang putih melepak dan gebu sebelum aku pulang. Dan amalan ibu ku pula, dia akan menghantar ku hingga ke pintu kereta dan melambai-lambai tangan kepada ku hingga tidak kelihatan lagi..... Itu semua telah tiada.....cuma tinggal kenangan abadi yang menyusuk jiwa. Semasa jenazah ibu ku dimandikan di Surau Bandar Tun Razak, aku berkesempatan untuk menatap wajah ibu ku sebelum di kafankan....wajahnya amat bersih , pipi putih melepak dan gebunya tidak kelihatan pucat langsung. Tangan dan anggota badannya masih lagi lembut tidak rasa kakunya.....alhamdulillah terdapat cici-ciri wanita solehah, ibu yang mithali dan juga isteri yang solehah.......amin.... Semasa di tanah perkuburan aku sendiri berada di dalam liang lahat ditemani oleh dua adik lelaki ku. Aku berada dikepala ibu ku.....aku buka kain kafan yang menutupi wajahnya dan untuk kali terakhir aku dapat rasai pipi ibu ku yang lembut dan bersih itu dan ku hadapkan ke kiblat dan mukanya ku ciumkan ke tanah sebelum liang lahat di tambus. DOA IBU KU TERMAKBUL..... Pusara ibu ku berada di atas bahagian kepala sebelah kanan pusara ayah ku. Itulah ketentuan Allah dan telah memakbulkan doa seorang ibu mithali dan seorang isteri yang solehah.... Mungkin dalam hati ibu ku semasa hayatnya supaya senang anak-anak dan cucu-cucnya ziarah.....mereka setempat.... Ayah ku meninggal dunia pada tahun 2002. Manakala ibu ku meninggal pada tahun 2011.....perbezaan 9 tahun....Pada logik akal dan difahamkan bahawa tanah perkuburan Cheras Baru telah penuh dan perkuburan baru terletak 2 km dari situ.... Itulah ketentuan Allah......Alhamdulillah DOA IBU KU DIMAKBULKAN...... Al fatihah.....untuk ibu dan ayah ku........ Kepada sahabat-sahabatku yang masih mempunyai ibu dan ayah......hargailah kehadiranya dalam hidup kita. Dapatlah keredhaan ibu ayah dahulu dalam semua perkara , kerana keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa....... Peluk dan ciumlah mereka semasa hayatnya.....jangan apabila mereka telah tiada baru nak peluk batu nisan, tiada gunanya lagi...... Jangan jadi anak durhaka, kerana anak-anak durhaka tidak akan mencium bau syurga....... Berkatalah dengan sopan dan tertib dengan mereka....janganlah kita mengherdik dan menyakitkan hati mereka. Ingat .....balasan Allah kepada anak-anak durhaka tidak akan ditangguhkan oleh Allah. Didunia lagi Allah akan balas.......Hidup tidak tenteram, resah gelisah dan tidak mendapat keberkatan Allah. Sempena Bulan Ramadhan Al Mubarak ini, berbaktilah kepada ibu ayah kerana pahala amat besar di sisi Allah. Kepada sahabat-sahabat yang seperti Pak Ajak......berdoalah, bersedekahlah untuk mereka dan ziarahilah saudara mara dan sahabat handai yang sering dizaiarahi oleh kedua-dua semasa hayat mereka masih ada. INGAT !!!!!!! HARI INI KITA MENZIARAHI PUSARA IBU DAN AYAH..... SATU HARI NANTI KITA PULA DIZIARAHI OLEH WARIS-WARIS KITA..... MOGA-MOGA PERINGATAN BERSAMA INI AKAN MENJADIKAN KITA HAMBA-HAMBA YANG BERTAQWA. Insyaalah Pak Ajak dan isteri akan balik Bota Kiri esok. Jemput mak mertua untuk berpuasa di Shah Alam. Mak mertua mak kita juga, jadi hargailah mereka dan keistimewaannya sama seperti mak kita juga ...... Assalamualaikum......
Posted on: Fri, 05 Jul 2013 20:32:05 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015