DPPM MENGUTUK PROVOKASI AGAMA DI PENANG DAN MENCADANGKAN DIALOG - TopicsExpress



          

DPPM MENGUTUK PROVOKASI AGAMA DI PENANG DAN MENCADANGKAN DIALOG PAKAR SEBAGAI LANGKAH PENYELESAIAN KEPADA RAKYAT DAN KERAJAAN. Isu kalimah Allah tidak sahaja terhenti setakat polemik sama ada boleh atau tidak boleh digunakan oleh non-muslim. Isu ini dihangatkan oleh kenyataan pemimpin-pemimpin dan terakhir ialah kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Muhammad yang mempersoalkan niat di sebalik penggunaan kalimah Allah oleh gereja Herald. Lebih parah apabila berlaku penggantungan banner provokasi tertera “Allah is great, Jesus is the son of Allah” di beberapa gereja Pulau Pinang termasuk Gereja Assumption. Terkini, lebih parah apabila gereja Lebuh Farquhar dilontar dengan molotov cocktail atau bom botol, awal pagi ini. Pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal di atas insiden ini dan mengutuk keras perbuatan provokasi ini kerana ia boleh mencetuskan suasana tidak harmoni antara agama di negara yang tercinta ini di samping ia juga bertentangan dengan ajaran Islam. Walau bagaimanapun, pihak DPPM memandang serius punca kepada ketidak harmonian ini yang lahir akibat sentimen yang tidak berasaskan kepada Ilmu. Boleh dikatakan, sentimen ini berlaku akibat cetusan media arus perdana dan juga kenyataan golongan yang berpengaruh di dalam negara khususnya dari pihak pemimpin UMNO yang sering kali dilihat di dalam media cetak dan media elektronik. CADANGAN: Oleh itu, pihak DPPM menyatakan bahawa isu ini perlu diselesaikan menurut saranan Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw sebagaimana berikut: 1. Hentikan Polemik: Kerajaan perlu mengeluarkan arahan kepada semua media arus perdana daripada menyiarkan kenyataan-kenyataan dan pandangan-pandangan daripada individu-individu yang tidak mempunyai kepakaran dalam isu kalimah Allah daripada semua pihak. Sebagai alternatif, media mestilah menyiarkan dialog di kalangan pakar agama berkenaan perkara ini. Ini bukan bermaksud menghalang kebebasan bersuara, tetapi bagi tujuan mencegah ‘silap bercakap’ akibat tiada kepakaran dan maklumat yang mendalam mengenai isu ini yang memberikan kesan ketidak harmonian kaum dan agama. Saranan ini berasaskan kepada gesaan Al-Quran mengelakkan sentimen dan sifat dan semangat memusuhi antara satu sama lain akibat jahil. Mari kita perhatikan bagaimana Allah melarang Muslim mencerca tuhan yang disembah selain daripada Allah swt di dalam firmannya di dalam surah Al-Anaam ayat ke108 bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan”. 2. Perlaksanaan dialog pakar: Isu ini adalah isu agama berkaitan kalimah Allah swt dan penggunaannya oleh golongan Gereja dan Kristian di Malaysia. Maka mereka yang berkepakaran adalah ulama dan pihak paderi bukan ahli politik, bukan journalist, bukan pemikir. Sebagaimana Al-Quran menyarankan supaya bertanya kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahuinya. Sememangnya DPPM rasa cukup kesal kerana dialog agama ini bukan sahaja tidak berlaku, bahkan disekat daripada berkembang subur. Perkara ini cukup jelas apabila dahulunya Al-Marhum Ahmad Deedat pernah disekat untuk berdialog agama di Malaysia. Padahal, dialog adalah disarankan oleh Islam dan ianya adalah bersesuaian dengan anjuran Al-Quran di dalam surah An-Nahl ayat ke 125 bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah (berdialog) dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” Pihak DPPM merasa kesal kerana mereka yang bercakap, bertindak dalam isu ini adalah terdiri daripada orang yang bukan sahaja tidak berkepakaran, bahkan langsung tiada asas terhadap apa yang mereka perkatakan. - Ustaz Zaharudin Muhammad. Ketua Penerangan DPPM. 27 Januari 2014.
Posted on: Mon, 27 Jan 2014 23:55:06 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015