Dalam artikel kali ini, saya ingin mengajak anda semua melihat - TopicsExpress



          

Dalam artikel kali ini, saya ingin mengajak anda semua melihat sepintas lalu kaedah mengenal Allah mengikut pandangan tasawuf dari mata-hati para ulama tasawuf serta cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pejuang ilmu tasawuf merentasi zaman yang selalu dipandang sepi dan negatif usaha mereka,malah ada yang menuduh mereka ini sebagai mulhid,sesat dan menyesatkan.Perbezaan pendapat antara ulama feqah dan ulama sufi ini mencapai kemuncaknya bila ulama feqah yang bukan ahli sufi cuba membahaskan ayat-ayat berunsur “syathahiyat” seperti “Ana al-Haq” menggunakan aqal mereka tanpa melalui sendiri pengalaman perjalanan kesufian yang penuh misteri dan rahsia itu. Para Ulama Sufi tidak dapat dinafikan lagi memainkan peranan yang besar dalam penyebaran dakwah islam ke Nusantara.Sejarah islam mencatatkan bahawa seorang ulama besar sufi iaitu Sheikh ‘Abdullah ‘Arif pernah menyebarkan dakwahnya ke Aceh pada abad ke-12 M lagi .Beliau yang merupakan seorang Wali Allah adalah murid kepada Sultan Para Wali yang terkenal iaitu Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani.Sebuah kitab tasawuf yang masyhur karangan Sheikh ‘Abdullah ‘Arif iaitu Bahrul Lahut itu mencerminkan aliran sufi pegangannya.Didalamnya ada membicarakan kejadian Nur Muhammad secara terperinci dan mendalam sekali.Tulis Hj W. Mohd Saghir dalam bukunya Al-Makrifah jld- I ,m/s 7 … “uraian kitab Bahrul Lahut itu sangat jauh dan dalam pengambilannya tak ubahnya seperti berbicara dengan rumuz yang bersumber dari Abu Manshur al-Hallaj dan Syeikh Muhyiddin Ibnu ‘Arabi layaknya”. Pada Abad ke-18,kebanyakan para ulama nusantara telah kembali ke tasawuf Sunni Al-Ghazali.Sebagai contohnya Sheikh Abdus-Samad Al-Palimbani telah menterjemahkan dua buah kitab Al-Ghazali iaitu Lubab Ihya ‘Ulumiddin kepada Sairus-Salikin dan Bidayatul Hidayah kepada Hidayatul-Hidayah.Dalam karyanya yang terbesar iaitu Sairus Salikin,beliau ada menyebutkan nama-nama Syamsuddin As-Sumatrani dan Ibnul ‘Arabi dan menganjurkan kitab kitab mereka itu hanyalah boleh dibaca oleh penuntut-penuntut tasawuf yang sudah mencapai peringkat muntahi sahaja.Beliau juga menyebutkan ajaran Al-Arabi dengan menggunakan nama Al-Ghazali menunjukkan beliau telah merumuskan atau memahami inti kepada ajaran Al-Arabi itu lalu membuat penyesuaian mengikut Tasawuf Sunni Al-Ghazali pula. Ibnul ‘Arabi (561H/1165M – 638H/1240M) adalah orang pertama yang memperkenalkan ajaran Wahdatul-Wujud(Keesaan Wujud) yang memandang alam semesta ini adalah sebagai penampakan lahir (Tajalli) dari nama-nama dan sifat-sifat Tuhan yang sebenarnya ialah esensi-Nya yang mutlak itu hanya satu saja,walaupun penampakannanya berbeza-beza.Dari ajaran Al-ghazali ,yang selanjutnya sangat terkenal dalam tasawuf seperti Hakikat Muhammad (al-haqiqat al-muhammadiah).Hakikat Insan(al-haqiqat al-insaniyyah),Prototaip-prototaip atau kenyataan mantap ( al-a’yaan as sabithah),yang diertikan sebagai stadium-stadium antara dalam proses penampakkan yang Qadim dan abadi itu.Istilah yang lebih penting ialah Insan kamil (al-insannul-kamil)-yang dianggap sebagai penampakkan lahir yang paling sempurna dari nama-nama dan sifat-sifat Tuhan itu.( mengenal Allah - pengantar m/s XV ) Ajaran Wahdatul Wujud ini sering dianggap Pantheisme,tetapi pantheisme Al-arabi ialah yang bertolak dari asumi bahawa Tuhan itu adalah suatu wujud mutlak,tiada terbatas,Qadim dan abadi,yang merupakan sumber dan dasar dari semua yang ada, yang pernah ada dan yang akan ada,lalu secara beransur-ansur mengambil bentuk akosisme ,yang menganggap alam fenomena ini hanya bayang-bayang dari realiti yang berada disebaliknya.(ibid.,hlm.54) Namun bagi Al-Ghazali(450H/1058M – 505H/1111M) pula,pandangan “bahawa yang ada hanya Allah” itu adalah pandangan batin atau musyahadah orang-orang arif tingkat tertinggi(as-siddiqin)yang telah mencapai suatu peringkat kesedaran yang disebut “fana dalam tauhid”,yakni terpusatnya seluruh kesedaran batin seseorang kepada Allah,sehingga ia “tidak menyedari lagi wujud dirinya dan wujud semua makhluk”(Wahdatusy-syuhud).Pandangan batin ini menurut Al-ghazali adalah sekilas saja,seperti kilat dan jarang bertahan lama,dalam kata lain pernyataan “bahawa yang ada hanya Allah” itu bagi Al-Ghazali adalah perasaan orang arif yang dialami dalam masa masa tertentu sahaja,bukan suatu ungkapan atau gagasan yang berterusan mengenai hubungan-Nya dengan alam semesta ini seperti yang diperkatakan Al-Arabi itu.Malah bagi Al-Ghazali apa yang disebut oleh Al-Arabi sebagai prototaip-prototaip Mantap atau al-a’yan as-sabitah itu tidak ada tempatnya. Ajaran Al-Arabi berkembang dalam kurun ke-17 di Acheh Melalui Hamzah Fansuri dan anak murid nya Syamsudin As-Sumatrani.fahaman ini pernah dikecam Oleh Sheikh Nuruddin Ar-Raniri yang menganggap penganut ajaran ini sebagai Wujudiyyah yang mulhid (Wahdatul Wujud yang sesat).Dalam masa yang sama Sheikh Nuruddin memperkenalkan pula suatu ajaran yang disebutnya Wujudiyyah yang Muwahhid. Dalam artikel ini saya tidak mahu menyebut tentang ajaran Sheikh Nuruddin,kerana bagi saya Sheikh Nuruddin adalah seorang ulama yang perlu dipersalahkan… bila mengetahui siapa sebenarnya ulama yang datang dari Ranir India ini.Beliau datang setelah ketiadaan Hamzah Fansuri dan Syamsuddin As-Sumatra-i untuk membela diri dan ajaran tasawuf peringkat tinggi atau muntahi ini,iaitu semasa Sultan Iskandar Thani(1636-1641), yakni selepas era kegemilangan islam Aceh pada waktu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam.Beliau yang berasal dari Gujerat ini,dengan pangkat Mufti serta Qadi malikul Adil Aceh berjaya menghasut Sultan supaya membakar seluruh karya-karya agung Tasawuf yang bernilai Hamzah Fansuri dan muridnya Syamsudin As-Sumatrani,iaitu semua kitab atau catatan ilmu tasawuf yang tidak sealiran dengannya didepan masjid Baitul Rahman.Mungkin dia adalah ulama upahan Belanda untuk menghancurkan Islam khususnya di Aceh dan secara amnya di Nusantara,saya tidak pasti tetapi fatwanya yang menyatakan ajaran mereka adalah sesat dan pengikutnya halal dibunuh adalah satu konspirasi yang paling besar dalam sejarah umat islam Nusantara. Yang menjadikan saya hairan ialah mengapa didalam kitab karangannya iaitu Bustanus Salatin(Taman Raja-Raja),Nuruddin tanpa sedar amat mengkagumi dan memuji Sheik Syamsudin seperti berikut : “Pada masa itu wafatlah Syeikh Syamsuddin bin ‘Abdullah as-Sumatra-i yaitu pada malam isnin 12 hari bulan rajab pada hijrah 1039 tahun.bahawa Sheikh itu ‘alim pada segala ilmu dan ialah yang termasyhur pengetahuannya pada ilmu tasawuf dan beberapa kitab yang dita’lifkannya”.(Al-makrifah –jld 1,m/s 52),padahal dalam kitabnya yang lain iaitu Tibyan fi Ma’rifatil Adyan ,Nuruddin ada menyebut “Maka tatkala zhahirlah kaum wujudiyah yang zindiq Mulhid,lagi sesat,daripada murid Sumatra-i yang sesat maka berbahaslah mereka itu dengan kami beberapa hari di hadapan hadhrat Sulthan Iskandar Tsani ‘Aliuddin Mughayat Syah bergelar Marhum Darus salam,ialah mendirikan agama Allah dengan keteguhan yang amat ajaib”.(Al-Makrifah-jld I, m/s 152).Dalam ayatnya itu, disamping beliau mengecam Syamsuddin dan pengikutnya,beliau juga membodek raja dan mengangkat dirinya sebagai pendiri agama Allah dengan keteguhan yang ajaib! Menurut banyak catatan sejarah,beliau mula tiba di Aceh pada tahun 1637M/1047H, yang pada waktu itu Sultan Iskandar Thani baru berumur 1 tahun.Bukankah waktu kelahiran Nuruddin, Gejerat sedang ditakluk oleh Portugis?Goa menjadi markas utama percaturan kafir untuk menakluki Nusantara.Bukankah kitab sejarah melayu kita pernah dibawa ke London,diambil oleh portugis dan disimpan di Goa dan siapakah pula yang membawa kitab sejarah melayu atau hikayat melayu itu dari Goa ke Aceh sedangkan waktu itu Aceh dalam era pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam(1607 – 1636M).Bukankah Sultan iskandar Muda Mahkota Alam pernah cuba untuk membebaskan Melaka setelah jatuh ke tangan Portugis 1511,maksudnya Aceh juga amat memusuhi Portugis. Professor Naquib Al-Attas dalam bukunya “The Mysticism of Hamzah Fansuri” pun melihat ada sesuatu yang tidak kena dengan tindakan Nuruddin mengeluarkan fatwa tersebut.Ulamak ini pernah mengarang lebih kurang 25 buah kitab tasawuf semata-mata untuk membantai ajaran tasawuf Hamzah Fansuri..dia juga telah diangkat dan dijulang oleh pengikutnya sebagai penyelamat akidah terulung Aceh dan kitabnya bertebaran di alam nusantara selepas menghapuskan semua kitab dan catatan tasawuf Al-fansuri.Beliau juga mengarang kitab Bustanus Salatin atau Taman Raja-raja yang penuh dengan ayat-ayat bodekan untuk raja.Penulis buku Berpetualang ke Aceh ,Radzi Sapiee juga percaya yang Nuruddin pernah bertemu dan berkenal-kenalan dengan Bendahara Johor Tun Sri Lanang,penulis kitab Sejarah Melayu dalam tahun 1612 – 1615,dimana waktu itu Tun Sri lanang menjadi tahanan Aceh bersama beberapa pembesar melayu yang lain.Ada kemungkinan Sejarah Melayu yang ditulis itu berdasarkan maklumat dari Nuruddin.(BKA-siri-sirih pulang ke gagang,m/s 84).kalau begitu,ada kemungkinannya Sejarah Melayu yang kita baca hari ini telah diubahsuai oleh Orientalis lalu jadilah ia versi Raffles atau Shellabear. Bagi saya misi Nuruddin sangat jelas dan lebih fokus iaitu ; untuk menghancurkan ajaran tasawuf peringkat tinggi atau Muntahi fahaman Hamzah Fansuri dan muridnya Syamduddin as-Sumatra-i atau ingin melumpuhkan rahsia atau alter rahsia tersembunyi bangsa melayu-islam nusantara iaitu amalan tasawuf peringkat tinggi yang juga menjadi penyebab kepada keagungan dan kegemilangan islam sebagaimana kita pun tahu Sultan Malikus Salih atau Merah Silu sendiri adalah raja lagi wali yang mengamalkan tasawuf peringkat tinggi ini dan sejarah keagungan kerajaan islam Aceh di zaman Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam adalah kerana baginda juga adalah pengamal ajaran tasawuf peringkat Muntahi ini. Misi dan fokus beliau ini dapat kita lihat dalam Kitabnya Fathul Mubin,beliau menulis… “Ya Tuhanku!,ku hadiahkan kiranya kitab ini semata-mata demi Hadrat-Mu jua,dan sesuatu pun tiada hamba menghendaki balasan,hanya memandang wajahMu Yang maha Tinggi dalam syurga.Inilah haluanku,kiriman kepada segala saudaraku yang di Pulau Aceh,yang di negeri Kedah,dan yang Pulau Banten,dan yang di Pulau Makasar,dan di negeri Johor,dan yang di negeri Pahang,dan yang di negeri Patani,dan yang di negeri Sanggora dan kepada segala daerah negeri yang di bawah angin.Dipeliharakan Allah kiranya mereka itu dari segala bahaya dari dunia,serta diteguhkan dan ditetapkan Allah kiranya mereka itu dalam agama islam,dijauhkan dari beri’tiqad salah dan sesat.” (Al-makrifah-jld 1,m/s 199) Kecelaruan pemahaman tasawuf mengikut aqal Nuruddin terserlah bila beliau menghentam karya Hamzah Fansuri dalam fathul Mubin tetapi tanpa disedarinya,dia telah mengambil atau tercedok tulisan Al-Fansuri pula untuk melawan atau membahaskan karya al-Fansuri sendiri.Ini jelas tertulis begini…pada kurasy kesepuluh,halaman 9,juga berasal dari Ruba’i… “Kata Manshur yang Saiyidil ‘Asyiq, Mengatakan dirinya itulah Khaliq, Mengatakan Anal haq janganlah takut, Itulah ombak menjadi laut”…[karya Hamzah fansuri….] Lalu Nuruddin ,dalam halaman yang sama,tersilap salin tulisan Hamzah Fansuri dalam kitabnya Zinatul Muwahhidin….sebagai ulasan kepada syair diatas berbunyi… “Adapun Ahlul ‘Asyiq,tiada dapat ia menyembunyikan rahsianya,jikalau dikatanya perkataan yang bersalahan dengan syari’at sekalipun maka tiadalah dosa.Seperti kata maula rum yakni “akulah Allah,akulah Allah”.Ini menunjukkan dia juga bersetuju dengan al-Fansuri sebenarnya tetapi tidak mahu mengakui kehebatan dan ketinggian ilmu al-fansuri! Jika dia tahu itu adalah tulisan al-Fansuri atau muridnya Syamsuddin as-Sumatra-i,nescaya dia akan mengecam habis-habisan tulisan itu.Inilah tahap yang membezakan antara dua orang ulama itu,satunya menulis dengan kekuatan aqal dan seorang lagi menulis setelah beroleh makrifatullah. Kata Hamzah Fansuri : “Kita ini bandingan cermin, Itulah pandang sekalian mursalin, Lengkap kepada kafir dan mu’min, Nyatalah sifat Rabbil’Alamin” Katanya lagi dalam syairnya yang lain: “Ma’rifat itu terlalu ‘ajib, akan pakaian wali yang beroleh nasib, Barang siapa mendapat ia menjadi jaib, Kepada rabbil’Alamin manzalnya qarib” Melihat kepada keseluruhan isi kitabnya yang banyak bertaburan itu,tujuan Nuruddin adalah satu, iaitu hanyalah untuk menyanggah ilmu Al-Fansuri dan Syamsuddin as-Sumatra-i sahaja,tetapi dalam masa yang sama beliau juga ada merujuk isi atau fakta penulisan kitabnya dari al-Hallaj dan Al-Arabi tanpa sedikitpun mengecam atau membantah ajaran al-Arabi dan al-Hallaj padahal isi dan intipati ajaran al-Fansuri adalah sefahaman dengan al-Arabi.Ini dikuatkan lagi dengan pujiannya pada al-Hallaj dalam kitabnya Fathul Mubin dengan membenarkan pula “syathahiyat” al-Hallaj dan Sheikh Yazid al-Bistami malah katanya merujuk kepada al-Hallaj : “dan Hallaj itu pun syahid fi sabilillah jua”(ibid,kurasy 11,hlm 17),malah beliau memuji al-Hallaj dalam perenggan lainnya dengan menyebut al-Hallaj melakukan sembahyang sunat sebanyak seribu rakaat setiap malam dan pada malam sebelum dia disula itu ,al-Hallaj sempat sembahyang solat sunat sebanyak 500 rakaat.( Al-makrifah-jld 1, m/s 199) Jika diteliti kebanyakan kitabnya,Nuruddin hanya membahaskan ajaran al-Fansuri ataupun Syamsuddin secara perbandingan istilah-istilah tasawuf atau bahasa sufi saja.Untuk membahaskan ajaran al-fansuri,beliau banyak merujuk kepada kitab-kitab dan hujah ulama lain orang .Walaupun begitu beliau diakui mempunyai akal dan ingatan yang sangat baik untuk berhujah sedangkan beliau sendiri adalah lebih cenderung kepada ulama feqah dan dipersetujui ramai ulama yang beliau tidak mengamalkan apa-apa tariqat. Bila kita renungi kisah konspirasi keatas Hamzah fansuri ini,teringat pula kepada konspirasi kejam peristiwa pembunuhan Al-Hallaj.Ketika itu beliau tenang menghadapi hukuman bunuh dengan kejam secara disula dan kemudian dibakar,yang kemudian abunya dibuang ke Sungai Tigris.Sejarah dan cabaran telah berulang terhadap perjuangan tasawuf namun Allah SWT tidak akan menghapuskan ilmu tasawuf ini dari hati-hati hambanya yang terpilih,sebagaimana Firman Allah di dalam Surah Yunus,ayat ke-62 yang bermaksud: “Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah itu tiada kekhuathiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati iaitu orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa.Untuk mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan akhirat,tiada perubahan di dalam kalimah-kalimah Allah(janji-janji).Yang demikian itulah kemenangan yang besar” Apa yang menjadi persoalan saya lagi ialah mengapa Nuruddin begitu tergesa-gesa meninggalkan Aceh pada tahun 1054H/1654M dan kembali ke Ranir India,sehinggakan tidak sempat menghabiskan kitabnya yang terakhir iaitu Jawahirul ‘Ulum iaitu “Manikam Segala Ilmu Pada menyatakan Maklum” sehinggakan beliau menyuruh anak muridnya menyudahkan tulisan kitab itu.Mungkin misinya sebagai “orang suruhan Belanda” sudah tamat atau telah ditamatkan biarpun hanya tinggal di Aceh selama 7 tahun sahaja!!!Nuruddin meninggal dunia di Ranir India,kampung halamannya pada 10.9.1659,kitabnya yang terakhir ketika di sana juga tidak sempat dihabiskan bertajuk “Minuman Syurga bagi umat Muhammad pada jalan tasawuf” lalu disudahkan oleh muridnya Salah-ad-Din Ibrahim bin ‘Abdullah dengan jalan memasukkan khutbah( Al-Makrifah,jld I, m/s 222). Kembali kita kepada perbincangan asal artikel ini iaitu mengenal Allah,dalam buku “Mengenal Allah” Dr M.Chatib Quzwani,dalam tesis phdnya,pada m/s 66 telah membuat satu kesimpulan yang menarik tentang konsep aliran tasawuf Al-Palimbani dengan menulis “ Menurut Al-palimbani,sumber terakhir ini menjelaskan 7 peringkat nafs al-ammarah,al-lawwamah,al-muthma’innah,ar-radhiah,al-mardiyyah dan al-kamilah.Setiap peringkat nafs tersebut mempunyai perjalanan,alam,tempat,keadaan(hal),lintasan batin(warid) dan sifat-sifatnya. Dalam ajarannya,hati(qalb),roh dan nafs itu,nampaknya tidak dianggap sinonim seperti halnya dalam ajaran Al-Ghazali tadi.Disini,hati dan roh dianggap sebagai tempat bagi nafs,roh adalah lapisan dalam dari hati,yang didalamnya masih ada lagi beberapa lapisan lagi,iaitu sirr,sirrus-sir,khafi dan akhfa.sehingga manusia,dengan tubuh jasmani sebagai lapisan luarnya,terdiri dari 7 lapisan.dalam ajaran ini,nafs itu dianggap berpindah tempat dan berubah alam menurut peringkat kesedaran dan pengetahuan” Disini,saya ringkaskan jalan-jalan yang perlu ditempuh oleh seorang salik mengikut Al-Palimbani iaitu bermula perjalanan dengan ilallah = “kepada Allah” di alam ajsam kepada lillah= “kerana Allah” di alam misal kepada ‘alallah=tiada jatuh tilik mata hatinya itu melainkan atas syuhud(pandangan batin) akan perbuatan Allah Taala yang terbit dari kudrat Allah swt jua di alam arwah kepada ma’allah= “serta Allah” di alam al-haqiqatul-muhammadiyyah,tempatnya di dalam sirr kepada fillah= “dalam Allah” di alam Lahut,tempatnya didalam sirrus-sirr,iaitu keadaan atau halnya ialah fana daripada diri dan fana daripada segala sifatnya yang basyirah(kemanusiaan),tetapi nafs yang berada dalam peringkat ini tidak mempunyai warid kerana yang dikatakan warid itu menurut Al-Palimbani hanya ada “serta dengan iktibar sifat”,sedangkan pada peringkat ini”gugur segala iktibar sifat,asma’ dan af’al” orang yang sedang berada pada peringkat ini sifatnya”zuhd fi ma siwallah,yakni benci akan segala barang yang lain selain Allah,Redha dia dengan tiada it’tiradl(membantah)…serta karam ia di dalam syuhud jamal(keindahan) Allah yang Mutlak. Perjalanan diteruskan dari fillah kepada ‘anillah= “yakni mengambil ilmu dari Allah Taala dan kembali ia kemudian daripada sampaikepada Allah taala itu kepada makhluk kerana memberi irsyad(bimbingan) akan makhluk” di alam asy-syahadah atau ajsam ,tempat letaknya di khafi. Perjalanan terakhir ialah menuju kepada billah= “yakni dengan kudrat Allah Taala dan iradat-Nya dan dengan quwwah(daya) Allah taala dan dengan haul(upaya)-Nya…alamnnya ialah syuhudul-kasrati fil-wahdah dan syuhudul-wahdat fil-kasrah” iaitu memandang keberbilangan di dalam keesaan dan memandang keesaan didalam keberbilangan.tempatnya ialah diam didalam akhfa.Pada persinggahan akhir inilah si salik itu digelar Insan kamil pada martabat kamil(sempurna) mukammil(menyempurnakan),yang khawas(khusus) lagi khawashul-khawash(khusus dari yang khusus). ---------------------------------------------------------------------------------------------- ---------------------------------------------------------------------------------------------- [Perhatian: semoga pembaca dapat berkongsi ilmu dengan penulis/sangtawal dan sekiranya tidak memahami beberapa persoalan dalam artikel ini,hendaklah kiranya bertanya kepada guru mursyid anda dan sekiranya ada apa-apa kesilapan dalam artikel ini atau ada ilmu-ilmu yang dikira baik untuk dikongsi bersama sebagai tambahan,bolehlah memberi komen disini.atau e-mail kepada sangtawal@yahoo .kerjasama anda amat dialu-alu kan.Terima kasih- sangtawal] Wassalam.
Posted on: Sun, 07 Jul 2013 10:13:24 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015