GERAKAN KEMPEN MENGGULINGKAN PRESIDEN MESIR PADA 30 JUN - TopicsExpress



          

GERAKAN KEMPEN MENGGULINGKAN PRESIDEN MESIR PADA 30 JUN 2013 Kempen membantah pemerintahan Presiden Dr Mohamed Morsi telahpun dilancarkan oleh sebuah gerakan yang dikenali sebagai Tamarrud (Rebel) yang mengumpul tandatangan rakyat Mesir. Dibantu dengan propaganda oleh media masa, kempen menentang Presiden ini dilaporkan telah menjana sokongan yang meluas dengan menjadikan tarikh 30 Jun 2013 sebagai satu perhimpunan besar-besaran di beberapa lokasi utama khususnya di Istana Presiden Ittihadiah bagi menyatakan penentangan terhadap Presiden Morsi dan pengaruh Ikhwanul Muslim dalam pemerintahan negara Mesir. Sementara itu, terdapat satu puak lain yang dikenali sebagai Tajarrod (Impartiality) yang menyokong pemerintahan Presiden Morsi. Golongan ini yang juga dikatakan meraihkan sokongan yang besar daripada rakyat Mesir, turut mengumumkan untuk berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Presiden Morsi. Sementara itu, gerakkan menghimpunkan para penyokong tamarrud akan bermula pada Jumaat 28 Jun 2013 bagi menghasilkan momentum perhimpunan besar-besaran pada 30 Jun 2013. Sehubungan itu, bagi mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku, pihak Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Kedah Timur Tengah menyarankan kepada seluruh pelajar Kedah di Mesir agar mematuhi nasihat-nasihat dan garis panduan berikut: 1. Menghindari kawasan tumpuan perhimpunan dan tunjuk perasaan seperti: Kaherah Istana Presiden Intihadia di Heliopolis, Dataran Tahrir, sekitar Masjid Rabiatul Adawiyah di Nasr City, kampus utama Cairo University, Masjid Nour di Abbasiah, premis Kerajaan strategik seperti Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Penerangan di Maspero, Kementerian Dalam Negeri, bangunan Syura Council di Qasr el Aini, kediaman Menteri Dalam Negeri di Nasr City, pejabat-pejabat parti politik khususnya Freedom and Justice Party (FJP) dan Ikhawan Muslimin, balai-balai polis dan lain-lain. Bandar-bandar lain Pejabat-pejabat Gabenor (Muhaffiz), pejabat-pejabat parti politik khususnya Freedom and Justice Party (FJP) dan Ikhawan Muslimin, balai-balai polis, Masjid Qaid Ibrahim di Iskandariah dan lain-lain. 2. Tidak melibatkan diri dalam sebarang jenis perhimpunan atau petisyen yang dianjurkan oleh masyarakat tempatan sama ada di tempat terbuka atau tertutup atau dalam ataupun luar kampus universiti; 3. Menangguhkan semua pergerakan ke tempat (venue) dan aktiviti mulai 28 Jun sehingga 1 Julai 2013 yang tidak berkaitan dengan pengajian ataupun tugas pekerjaan termasuklah ceramah politik Mesir dan rapat umum. Menangguhkan aktiviti rehlah buat sementara waktu bermula tarikh 28 hingga 1 Julai. 4. Mengelak dari berjalan-jalan / bersiar-siar di waktu malam ataupun berjalan berseorangan terutamanya bagi para mahasiswi; 5. Mengelakkan daripada mewujudkan suasana yang tidak tenteram dengan mempercayai dan menyebarkan khabar-khabar angin (hearsay / rumours) melalui sistem pesanan ringkas (SMS), laman sesawang seperti facebook twitter, yahoo messenger, blog dan email. 6. Sila layari laman web Pejabat Education Malaysia Egypt untuk membuat pendaftaran di educationmalaysiaegypt.net. Pejabat Education Malaysia Egypt juga boleh dihubungi di alamat emel: educationmalaysiaegypt@gmail. 7. Mematuhi sebarang arahan keselamatan termasuk perintah berkurung, sekiranya ada, yang dikeluarkan oleh Kerajaan Mesir dan arahan-arahan lain yang disampaikan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah; 8. Mengutamakan keselamatan diri dan menyimpan dokumen-dokumen penting seperti pasport, kad pengenalan Malaysia dan sebagainya serta barang berharga di tempat yang selamat; 9. Menyimpan bekalan makanan dan minuman untuk tempoh sekurang-kurangnya empat (4) hari sepanjang tempoh protes mulai 28 Jun 2013. Selain itu, kad tambah nilai prabayar telefon, lilin dan wang saku tambahan disediakan dengan sewajarnya; 10. Dengan mengambil kira kadar jenayah pecah rumah yang semakin meningkat, semua warganegara adalah dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sewaktu bekalan elektrik di kediaman terputus; 11. Tidak keluar rumah / kediaman atau tempat tinggal khususnya pada 30 Jun 2013. Namun demikan, dinasihatkan supaya tidak keluar rumah / kediaman mulai 28 Jun hingga 1 Julai 2013, melainkan perlu untuk menghadiri kuliah, menduduki peperiksaan dan sebagainya. 12. Mematuhi segala arahan dan pekeliling dari masa ke semasa yang dikeluarkan oleh pihak pejabat PHEPKTT dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. 13. Yang teramat penting adalah, cuba elakkan dari mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan suasana PANIK kepada rakan-rakan pelajar di Mesir serta keluarga di Malaysia. 14. Segala permasalahan sila rujuk atau laporkan kepada pihak pejabat PHEPKTT atau pihak Majlis Kebajikan Keluarga Kedah melalui talian berikut: a. Pejabat PHEPKTT: 02-26714267 b. Pegawai Hal Ehwal Pelajar Kedah Timur Tengah: 011-14455916 c. Yang diPertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah : 011-46568848 d. Pengarah Bilik Gerakkan Kedah: 011-19853515 Sekian, harap maklum. Pejabat Hal Ehwal Pelajar Kedah Timur Tengah Kaherah, 26 Jun 2013
Posted on: Wed, 26 Jun 2013 20:09:29 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015