Hanya kerajaan Malaysia terlibat keluar sijil halal KUALA LUMPUR - TopicsExpress



          

Hanya kerajaan Malaysia terlibat keluar sijil halal KUALA LUMPUR 17 Julai - Kerajaan Malaysia menjadi satu-satunya kerajaan di dunia yang terlibat secara langsung menguruskan pengeluaran sijil halal kepada pihak industri. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, berbanding negara-negara lain seperti Indonesia, pengeluaran sijil halal di negara itu diuruskan pihak persatuan. "Kerajaan Malaysia merupakan satu-satunya kerajaan yang campur tangan dan menguruskan persijilan halal. Di Indonesia, bukan kerajaan yang menguruskan sijil halal di negara itu tetapi persatuan komuniti Islam," katanya. Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2012) 2013 di Dewan Rakyat hari ini. Sebelum itu, *Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa (Pas-Parit Buntar)* meminta kementerian tersebut menyatakan perkembangan terkini berkenaan industri halal di negara ini. Dalam perkembangan lain, Hamim berkata, eksport produk halal negara tahun lalu mencecah RM32.8 bilion daripada keseluruhan eksport negara. Beliau berkata, produk halal tersebut merangkumi makanan, farmaseutikal, kosmetik dan kandungan asas. "Jumlah eksport produk halal hampir RM33 bilion dan ini merupakan jumlah yang banyak. Kita sebenarnya berjaya membangunkan industri halal dengan memberi sumbangan sebanyak lima peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara," katanya. Mengenai fungsi Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), beliau berkata, mulai 2010 agensi tersebut tidak lagi mengeluarkan sijil halal kerana tugas itu diuruskan sepenuhnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Sebaliknya, tambah beliau, HDC lebih tertumpu kepada usaha memperkasa industri halal di negara ini. Artikel Penuh: utusan.my/utusan/Parlimen/20130718/pa_05/Hanya-kerajaan-Malaysia-terlibat-keluar-sijil-halal#ixzz2ZyGM0L41 © Utusan Melayu (M) Bhd
Posted on: Wed, 24 Jul 2013 14:30:34 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015