Hulu Bernam terpinggir? #SHSEL HULU BERNAM - Tidak hairan jika - TopicsExpress



          

Hulu Bernam terpinggir? #SHSEL HULU BERNAM - Tidak hairan jika orang luar lebih mengenali Tanjung Malim berbanding Hulu Bernam kerana sejak dahulu lagi daerah ini kurang dikenali berbanding dengan daerah bersempadan dengan Hulu Selangor itu. Dari aspek pembangunan dan infrastrukturnya pula, kawasan Hulu Bernam jauh ketinggalan berbanding kawasan lain di daerah ini, bahkan Lembah Beringin lebih dikenali walaupun sebahagian besar kawasannya dipenuhi projek terbengkalai. Sungguhpun Hulu Bernam terletak di luar bandar, namun usaha menaiktarafkan infrastruktur dan pembangunan harus digiatkan agar segala pembangunan di kawasan ini seiring dengan pembangunan kawasan lain. Mungkin hanya satu yang boleh dibanggakan dengan kerancakkan pembangunan di Bernam Jaya melibatkan pembangunan hartanah, projek perumahan dan sebagainya. Malah boleh dikatakan Bernam Jaya bakal menjadi nadi pembangunan utama di kawasan Hulu Bernam sesuai dengan kedudukannya ketika ini sebagai Gerbang Utara Selangor. Usaha memperkenalkan Hulu Bernam Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor, S Suntaresan berkata, sememangnya ramai yang masih tidak mengenali Hulu Bernam dan oleh kerana itu perlunya usaha ke arah memperkenalkan kawasan ini kepada seluruh masyarakat. Menurutnya, sebagai usaha memperkenalkan Hulu Bernam kepada orang luar, dicadangkan agar pihak berwajib mempertimbangkan supaya nama Plaza Tol Tanjung Malim ditukarkan kepada Plaza Tol Hulu Bernam memandangkan kedudukannya berada di dalam kawasan itu. Suntaresan berkata, kawasan Hulu Bernam hanya mempunyai pekan yang terdiri dari beberapa kedai atau premis berstruktur papan seperti kedai makan dan runcit yang sudah usang. Pekan ini juga boleh dikategorikan sebagai pekan tradisi kerana tidak menyediakan semua kemudahan dan keperluan penduduk setempat berbanding di Tanjung Malim,” katanya. Katanya, pengindahan sesuatu kawasan setempat merupakan salah satu aspek yang perlu diberi penekanan dalam pengurusan perbandaran yang mampan. Namun dalam aspek pengindahan bandar dan landskap, kawasan Hulu Bernam masih ketinggalan dan kurang ceria,” katanya. Penggunaan tanah bercanggah syarat asal Penduduk, S Sarojani berkata, difahamkan pada masa sekarang, penggunaan tanah beberapa kawasan di Hulu Bernam bercanggah dengan syarat asal tanah. Menurutnya, masih terdapat tanah berstatus pertanian di mana syaratnya adalah sawah padi dan juga tanaman kopi, tetapi apabila semakan serta tinjauan dibuat di lokasi, tanah berkaitan didirikan dengan deretan kedai, rumah dan lain-lain. “Keadaan ini bukan baru berlaku tetapi sudah wujud bertahun-tahun dulu lagi dan kadang kala pemilik tanah sendiri tak sedar perkara ini. “Mungkin tiada masalah waktu ini tapi akan merumitkan proses permohonan jika ada sebarang cadangan pembangunan di atas tanah berkaitan pada masa akan datang,” katanya. Infrastruktur daif Sementara itu, berdasarkan tinjauan Sinar Harian mendapati, keadaan infrastruktur di Hulu Bernam berada dalam keadaan yang daif dan perlu dinaiktarafkan terutama di Jalan Besar Hulu Bernam hingga ke Tanjung Malim iaitu sepanjang hampir empat kilometer. Selain itu, sistem perparitan sepanjang jalan tersebut terutamanya di kawasan pekan Hulu Bernam sangat kecil dan sempit serta tidak diselenggarakan secara berkala selain lampu jalan yang tidak mencukupi. Difahamkan, Jambatan Sungai Bernam yang menghubungkan pekan Hulu Bernam dengan bandar Tanjung Malim yang dibina pada awal tahun 1960-an kini sudah berusia hampir 50 tahun. Mengikut keadaan semasa, jambatan tersebut mungkin perlu dinaiktarafkan memandangkan tahap penggunaannya kian meningkat terutamanya melibatkan kenderaan berat. Senaraikan dalam RKK Dalam pada itu, Suntaresan mencadangkan agar Hulu Bernam disenaraikan dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) yang merupakan satu rancangan tindakan khusus untuk sesebuah kawasan yang sudah dikenal pasti oleh Pihak Berkuasa Negeri atau Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT). Menurutnya, penyediaan RKK ini bertujuan memajukan segera, semula dan memperelok lagi serta memulihara atau untuk tujuan pengurusan kawasan Hulu Bernam. “Rancangan ini merupakan rancangan terperinci bercorak tempatan yang disediakan khusus untuk kawasan yang mempunyai kepentingan khusus kepada PBPT, katanya.
Posted on: Sat, 23 Nov 2013 01:38:02 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015