Inventec buka semula kilang di Malaysia 2013/09/16 Sasar kuasai - TopicsExpress



          

Inventec buka semula kilang di Malaysia 2013/09/16 Sasar kuasai sektor perisian, perkomputeran awan global Taipei: Negara akan menerima satu lagi pelaburan berdaya maju apabila firma pengeluar reka bentuk tulen (ODM) terbesar Taiwan, Inventec Corporation akan kembali membuka kemudahannya di Malaysia. Inventec yang menghasilkan rekaan untuk komputer riba, pelayan serta pelbagai peralatan mudah alih pernah mempunyai kilang pengeluarannya di Malaysia pada 1987 hingga 1994, sebelum firma itu membuat keputusan memindahkan kemudahan itu ke China. Pengerusinya, Richard Lee, berkata rancangan membuka kembali kemudahan pengeluaran di Malaysia adalah bertepatan dengan matlamat jangka panjangnya untuk menguasai pula sektor perisian serta perkomputeran awan global. Sasar 3,000 jurutera baru Katanya, bagi mencapai matlamat itu, Inventec menyasar untuk melahirkan hingga 3,000 jurutera berkemahiran tinggi dari rantau Asia dalam bidang pertumbuhan baru syarikat. “Malaysia didapati adalah lokasi yang paling ideal bagi rancangan berkenaan. Penubuhan kemudahan di Malaysia membantu syarikat berkembang ke pasaran Asia Selatan seperti India dan Bangladesh. “Kami lebih daripada sanggup untuk berbuat demikian memandangkan potensinya besar,” katanya kepada media antarabangsa dan negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dalam lawatan ke ibu pejabat Inventec di Taipei. Inventec ditubuhkan pada 1975 untuk membangun dan mengeluarkan mesin kira sebelum berkembang kukuh menjadi antara ODM komputer utama dunia. Pelanggan utama firma itu antara lain ialah Hewlett-Packard, Toshiba, Acer dan Fujitsu. Ia kini muncul firma bernilai AS$15 bilion dengan jumlah pekerja di seluruh dunia mencecah 50,000 orang, yang mana 8,000 daripadanya terdiri daripada jurutera berkemahiran tinggi. Lee berkata, rancangan membuka kembali kemudahan di Malaysia akan diperincikan lebih mendalam awal tahun depan malah firma itu telah mengambil langkah awal dengan mengadakan pertemuan bersama Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) dua bulan lalu. Pelaburan RM98.6 juta Katanya, pembukaan kemudahan baru yang menawarkan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada kakitangan tempatan dijangka membabitkan pelaburan antara AS$20 juta hingga AS$30 juta (RM98.6 juta). “Itu adalah jumlah awal yang minimum dan ia akan bertambah besar pada jangka masa panjang,” katanya. Inventec memperuntukkan 1.5 peratus pendapatannya setiap tahun untuk bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D). “Peruntukan akan ditambah kerana kami berhasrat mengusai bidang pertumbuhan baru,” katanya. Inventec kini mempunyai enam kemudahan R&D di seluruh Taiwan. Rangkaian kilang pengeluaran utamanya terletak di China dengan kekuatan 35,000 pekerja. Ia mempunyai kemudahan di Republik Czech untuk pasaran Eropah serta El Paso di Mexico, bagi pasaran Amerika Utara dan Amerika Selatan. Inventec membuka pejabat serantaunya di Tokyo, Silicon Valley serta Houston. Antara produk terkenalnya di Malaysia ialah kamus elektronik pelbagai bahasa BESTA yang dikeluarkan anak syarikatnya, InventecBESTA.BH
Posted on: Mon, 16 Sep 2013 05:09:07 +0000

Recently Viewed Topics




© 2015