Janda Setinggan – A. Samad Said Mac 23, 2009 Hari lahirnya - TopicsExpress



          

Janda Setinggan – A. Samad Said Mac 23, 2009 Hari lahirnya Jumaat lalu lipan menyengat telunjuk kirinya. Dan dalam matanya yang letih berpusar asap dan debu. Dunianya amat sedu. Sesekali angin berang merentap baju di tengkuknya terserlah pulau panau. Derita kembaii menderu. Katanya: Derita itu aku. Dirinya cemas diterjah usia dalam kabus belasungkawa - dia tergigau hampir seminggu diancam lipan, angin dan debu yang sama. Desa bahagia, derita. Katanya: Derita itu aku. Antara jamban dan dapur di sisi parit tohor hari mukanya sabut, tin dan lumpur. Kalut mega direnungi; kenyit kilat tak berbunyi. Memang telinga kirinya kini tuli. Terjulur pegaga segar dan ketip ketam cergas mencakar dalam bakul kenangannya: sanggul-molek-punggung-cantik ulam kehidupan zaman penjajah terlucut colinya suatu pagi dia dicantasi janji lelaki - dirinya bukan perawan lagi. Cinta dan sejarah mencakar langsir dan mencekau pintunya menyembur bara mantera “Aku teringat pandang pertama.”1 Untuk apa? Hingga bila? Dihantar rayu-resah Sanisah Huri diterimanya lesu-lara dendang R. Azmi simfoninya rimba duri disergah arus mimpi. Dia yakin di situ segala tersumpah sebagai batu; menjadi lebih pasti, sesekali disentap semboyan kereta api. Dalam dakapan cubit tak sakit dia tertipu empat kali dia setinggan janda berganda tercemar di belakang kereta. Tapi, mimpi akhirnya pangsapuri taman-mini-kolam-mandi geli hatinya sepagi, kerana dirinya bas mini mendesah ke Dayabumi bersaing rezeki. Dan sejak anak tunggalnya mati hikayatnya gunung ngeri, kehidupannya puisi elegi. Lalu, di larik bibir gincu tak seri; di bawah kenanga bau tak wangi; di sisi lampu bayangtakjadi. Dia diejek usia, diserapah cinta empat kali dia terbelah. Disedari dirinya janda dijerat rindu - perahu sepi diagah sunyi antara Bidong dan Langkawi. Dia belajar bahagia di sisi lilin dan kucing yang lara. Jumaat lalu, di tengah gempa Armenia, dirai hari lahirnya - bertunda rekod R. Azmi, käset Sanisah Huri, berlumba kenangan meracuninya. Dia terbiasa - dalam cahaya malamnya siang, dalam gelita siangnya malam. Dan kini semakin payah dikenalnya bila jantan insan-hewani, bila pula hewani-insani. Lelaki tak dipercaya lagi. Sejak itu bergilir tetangga mengadapnya – sedu dalam ayat syahdu Dan ketika racaunya sampai ke puncak Tujuh kali dia tersentak. Darah, najis dan muntah saling mengasak. Dalam biliknya berdinding akhbar, tingkap berkiut, lantai berlumut dia mengucap semput. Tercungap. Tersentap. Terhenti. Matinya di sisi sisa nasi, Rehal retak, subang pengantin, foto anak. Tak mungkin jantan menipunya lagi! ~ A. Samad Said
Posted on: Fri, 23 Aug 2013 08:39:44 +0000

Recently Viewed Topics




© 2015