KUALA TERENGGANU - Hanya dalam tempoh dua minit, dua penyamun - TopicsExpress



          

KUALA TERENGGANU - Hanya dalam tempoh dua minit, dua penyamun bersenjatakan pistol dan parang berjaya melarikan wang tunai RM4,500 dan kad prabayar berjumlah RM600, dalam satu kejadian samun bersenjata di sebuah stesen minyak di Rantau Abang, Dungun, malam kelmarin. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, semasa kejadian iaitu kira-kira jam 7.45 petang, hanya dua pekerja wanita bertugas di kaunter, manakala stesen minyak berkenaan agak lengang tanpa pelanggan lain. “Kedua-dua suspek yang menutup muka dengan kain menghampiri dua pekerja berusia 20-an itu di kaunter, sebelum masing-masing mengeluarkan senjata, sebilah parang serta sepucuk pistol lalu diacukan kepada mangsa. “Suspek meminta kedua-dua pekerja itu duduk sementara mereka menyelongkar laci kaunter dan mengambil wang tunai dan sejumlah kad prabayar sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Viva,” katanya. Manoharan berkata, siasatan awal mendapati kamera litar tertutup (cctv) yang sedia ada tidak berfungsi dengan baik kerana stesen minyak berkenaan sedang dalam proses pengubahsuaian. “Jadi, pihak polis terpaksa menggunakan kemudahan cctv yang dipasang di mesin juruwang automatik (atm) milik sebuah bank di dalam premis itu untuk mengenal pasti suspek,” katanya. Beliau turut menjelaskan insiden samun ini tidak ada kena mengena dengan insiden samun sebelum ini yang meragut nyawa seorang tauke nasi kukus di Paka, Dungun. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dengan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Posted on: Wed, 21 Aug 2013 04:35:05 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015