Keadilan Salahuddin Al-Ayubi, pembebas Masjidil Aqsa... "Jurnal | - TopicsExpress



          

Keadilan Salahuddin Al-Ayubi, pembebas Masjidil Aqsa... "Jurnal | Dr. Mohd Roslan Mohd Nor Pencerobohan Palestin oleh Tentera Salib benar-benar mencabar Salahuddin al-Ayubi, apatah lagi setelah khabar mengenai kekejaman Tentera Salib terhadap Muslim telah tersebar. Ia membakar semangat jihad Salahuddin untuk membebaskan bumi Palestin daripada tangan Tentera Salib. Pembebasan bumi Palestin daripada kuasa penjajahan menjadi keutamaan kepadanya memandangkan bumi tersebut sebagai salah satu daripada tempat suci bagi umat Islam. Baha’ al-Din ibn Shaddad, seorang penulis biografi mencatatkan kata-kata Salahuddin bahawa, “Ketika Tuhan mengizinkan saya untuk menakluki Mesir, saya menyedari bahawa Dia juga menginginkan saya menakluki kawasan pantai Syria, kerana Dia telah meletakkan ilham ini dalam fikiran saya.” Realitinya, ungkapan tersebut bukanlah suatu perkara yang baru, kerana kebanyakan Muslim berhasrat sama seperti beliau. Namun dalam keadaan ini Salahuddin kelihatan lebih bertanggungjawab berbanding Muslim lain dalam membebaskan Palestin dan kawasan sekitarnya. Matlamat beliau akhirnya dapat direalisasikan setelah beliau berpeluang menjadi pengganti kepada Nur al-Din Zangi yang telah meninggal dunia di Damsyik pada 569H/1174. Penggantian itu berlaku setelah beliau mendapat banyak persetujuan daripada para panglima, pemimpin agama dan juga para pemikir Islam. Misi Salahuddin dan tenteranya melawan Perang Salib dalam membebaskan Palestin daripada cengkaman pihak musuh telah menghasilkan satu kemenangan yang besar. Sebelum menakluki Palestin, Salahuddin telah berjaya membebaskan pelbagai wilayah sekitarnya. Perang Hittin jelas mencerminkan budi pekerti Salahuddin yang mulia terhadap para panglima Tentera Salib yang berjaya ditangkapnya. Antaranya ialah Raja Guy dari Lusignan. Suatu ketika, Salahuddin meminta Raja Guy dan Raynald dari Chatillon, kedua- duanya di bawa ke khemah menghadapnya dan meminta Raja Guy duduk di sebelahnya. Melihat tetamunya yang kehausan, Salahuddin menghulurkan minuman kepada Raja Guy. Serentak itu, Salahuddin berkata, “Kami tidak memberikan kepadanya air untuk menyelamatkannya.” Walaupun begitu, mengikut tradisi Arab, sikap ramah kepada tetamu dengan memberikan minuman kepada mereka adalah sebagai tanda nyawanya dalam keadaan selamat. Salahuddin kemudian bergerak ke arah Raynald lalu membunuhnya dengan pedang bagi memenuhi janjinya disebabkan oleh tindakan Raynald yang bertindak menyerang kumpulan kafilah yang tidak bersenjata sewaktu dalam tempoh gencatan senjata. Lebih buruk lagi, penghinaan Raynald terhadap Nabi Muhammad s.a.w. benar-benar menguji kesabaran Salahuddin, menyebabkan dia berjanji tidak akan memaafkan serta akan membunuh Raynald jika berjaya ditangkap. Guy yang menyaksikan kejadian tersebut berasa gementar kerana merasakan saat pembunuhannya bakal tiba selepas Raynald dibunuh Salahuddin, namun ditenangkan oleh Salahuddin dengan berkata, “Bukan suatu kebiasaan bagi raja-raja membunuh raja-raja yang lain, tetapi dia telah melampaui batas.” Salahuddin akhirnya mengeluarkan perintah kepada para tenteranya supaya melayan para tetamunya dengan baik, malah Raja Guy dihantar pulang ke Damsyik dengan rasa hormat. Layanan yang berbeza antara Raja Guy dan Raynald secara tidak langsung telah membentuk pola yang berbeza dalam mengurus berdasarkan kepada keadaan. Hanya yang melampaui batas sahaja akan diambil tindakan, sebaliknya musuh yang tidak melampaui batas akan dimaafkan oleh Salahuddin dan layak menerima layanan yang mulia daripada beliau. Ini boleh dikatakan sama dengan tindakan Umar al-Khattab ketika beliau memberikan jaminan kepada non- Muslim di Islamicjerusalem, melalui perjanjian yang dikenali sebagai al-‘Uhdah al-‘Umariyyah. Dalam misi menakluki Palestin, Salahuddin tidak menyerang Tentera Salib secara membabi buta bagi menjaga hubungan kedua- dua belah pihak, lebih-lebih lagi bagi memelihara kesucian al-Aqsa. Ini juga demi mengelak daripada mana-mana bahagian bangunan rosak. Beliau mengambil inisiatif mencontohi cara Umar al-Khattab ketika beliau berusaha menakluki kawasan tersebut pada zaman awal Islam. Justeru, Salahuddin bertindak menghantar utusan kepada pihak Tentera Salib agar menyerah kalah, namun permintaan Salahuddin ditolak. Setelah dikepung 40 hari oleh tentera Salahuddin, akhirnya kemenangan berpihak kepada Salahuddin. ‘Imad al-Din al-I?fahani melaporkan seramai lebih daripada 100,000 orang Kristian termasuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak telah ditawan oleh tentera Islam. Sikap pemaaf Salahuddin terhadap masyarakat Kristian telah menyebabkan beliau tidak menghukum bunuh mereka berbanding yang dilakukan oleh Tentera Salib terhadap umat Islam sebelum ini. Bahkan mereka semua dibebaskan dengan syarat membayar wang tebusan diri. 10 dinar untuk lelaki, 5 dinar untuk perempuan, dan 2 dinar untuk kanak-kanak. 7000 daripada orang-orang miskin juga dibebaskan dengan jumlah pembayaran sebanyak 30,000 dinar sekaligus. Namun, sekiranya ada antara mereka tidak mampu membayar wang tebusan diri tersebut, secara automatik mereka akan terus berada dalam tahanan. Pendekatan Salahuddin tersebut secara tidak langsung dapat mengelak pertentangan di Islamicjerusalem tanpa berlakunya pertempuran atau pertumpahan darah yang lebih dahsyat. Ia sekaligus mencerminkan kebaikan Islam itu sendiri di mata pihak musuh. Sesungguhnya diri Salahuddin itu dihiasi dengan akhlak Islam yang indah. Pada pendapat penulis, cara beliau melayan tawanan Kristian itu sendiri cukup menggambarkan perwatakannya sebagai seorang yang pemaaf dan bersikap belas kasihan, sekalipun dengan musuh Islam itu sendiri. Dari sudut teori dan praktikalnya, layanan yang baik terhadap golongan bukan Islam dan bersikap belas kasihan terhadap mereka adalah semata-mata bagi menunjukkan kebaikan dan sikap pemaaf Islam itu, yang mana kebaikan itu mengatasi segala keburukan dan perkara-perkara negatif yang lain. Matlamatnya adalah untuk menyedarkan masyarakat Kristian khasnya serta penganut agama lain umumnya, mengenai Islam sebagai agama yang mengasihi manusia yang lain serta bersifat kemanusiaan. Maher Y. Abu Munshar dalam bukunya Islamic Jerusalem and Its Christians mengulas bahawa dalam menentukan bentuk layananterhadap masyarakat Kristian, Salahuddin telah membuat pembahagian kepada dua kelompok utama. Pertama, pihak Tentera Salib yang telah membuat pelbagai kekejaman ke atas masyarakat Arab serta Yahudi. Kedua, penduduk peribumi Kristian di Palestin yang terdiri daripada kaum Arab dan bukan Arab yang mengikut aliran gereja Greek Ortodoks. Selaku penduduk peribumi Palestin, mereka meminta hak untuk terus mendiami bumi Palestin. Namun, Salahuddin telah mengenakan syarat supaya mereka membayar wang tebusan diri dulu kemudian barulah dibenarkan untuk tinggal di Palestin dengan menerima pemerintahan Islam serta dikehendaki membayar jizyah. Secara umum, sistem jizyah diwujudkan sebagai pulangan kepada keamanan dan perlindungan yang diberikan kepada golongan bukan Muslim. Sehubungan itu, sistem jizyah bukan satu bebanan kepada bukan Muslim, malah merupakan satu keringanan yang besar berbanding sistem cukai yang dilaksanakan oleh pemerintahan Rom Timur sebelumnya. Walaupun demikian, golongan yang tidak berkemampuan diberi pertimbangan dan mereka boleh dibebaskan tanpa syarat. Justeru, masyarakat bukan Islam, seperti Kristian Ortodoks dan sebagainya, yang mahu tinggal di bawah pemerintahan Islam terus dibiarkan kekal mendiami bumi Palestin. Mereka diberikan ruang pilihan yang bebas untuk mengamalkan ritual keagamaan masing-masing yang selama ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka. Cerminan akhlak mulia Salahuddin itu dapat dibuktikan lagi dengan layanannya terhadap masyarakat Kristian yang telah menebus diri mereka untuk bebas. Ini berlaku apabila beliau telah membekalkan sejumlah wang serta haiwan tunggangan setelah melihat para tebusan membawa ibu bapa dan tetangga mereka yang sudah berumur. Salahuddin juga memerintahkan tenteranya supaya mengiringi mereka bagi memastikan mereka ini selamat tiba ke destinasi yang diingini. Dalam hal ini, Geoffrey Regan mengatakan bahawa, Para pekerja Salahuddin yang tidak mampu melihat penderitaan para pelarian itu telah meminta para pekerja yang lain turun dari haiwan tunggangan, lantas menetapkan bahawa rombongan Kristian yang sudah berumur supayamenaiki tunggangan mereka, malah tentera Salahuddin sendiri yang memegang anak-anak Kristian dengan tangan mereka. Ibn al-Athir dan al-I?fahani adalah dua daripada ahli sejarah yang merekodkan sikap ramah serta belas kasihan Salahuddin terhadap perempuan yang mulia, dengan membenarkan mereka meninggalkan Palestin tanpa sebarang wang tebusan.
Posted on: Sat, 05 Oct 2013 08:06:36 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015