Kedah turunkan barisan terbaik untuk benam LionsXII ALOR SETAR - - TopicsExpress



          

Kedah turunkan barisan terbaik untuk benam LionsXII ALOR SETAR - Menyedari hanya kemenangan yang dapat memastikan Kedah melangkah ke suku akhir, skuad Kenari enggan menoleh ke belakang dalam misinya untuk membenam LionsXII pada perlawanan terakhir saingan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam ini. Kesebelasan utama bakal diturunkan oleh jurulatih Datuk Ahmad Shafie menanam tekad tidak akan mensia-siakan kelebihan bermain di tempat sendiri dengan sokongan moral peminat meskipun mengetahui bakal bertemu dengan lawan yang mempunyai misi serupa. Rekod menyaksikan Kedah mampu mengikat pasukan itu dalam beberapa perlawanan terdahulu termasuk seri 2-2 pada aksi sulung saingan Piala Malaysia di Stadium Jalan Besar hujung bulan lalu, sekali gus memberi harapan bahawa tidak mustahil Hijau Kuning dapat meraih kemenangan berharga ke atas Juara Liga Super berkenaan. Berikutan itu, Ahmad meminta para pemain Kedah supaya kekal fokus, memberikan sepenuh komitmen dan mengikut arahan taktikal semasa beraksi di atas padang sepanjang perlawanan penting itu. "Kita faham tekanan dihadapi selain harapan besar penyokong Kedah yang mahu melihat Sang Kenari melangkah ke pusingan seterusnya. "Saya yakin pemain akan berusaha memberi persembahan terbaik tetapi pada masa sama mereka jangan hilang fokus, memberi komitmen kepada perlawanan dan tidak mendengar cakap orang luar selain daripada pegawai pasukan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. Dengan berbaki satu perlawanan, saingan empat pasukan dalam Kumpulan D Piala Malaysia dilihat seimbang apabila LionsXII, Perak dan Sarawak berkongsi tujuh mata manakala Kedah enam mata. Justeru, pasukan yang berjaya meraih tiga mata penuh pada aksi terakhir berkenaan akan mara ke pusingan suku akhir. Menurut Ahmad, beliau mempunyai pilihan untuk menurunkan mana-mana pemain malam ini namun pemilihan kesebelasan utama dibuat berdasarkan kepada strategi dan taktikal pasukan. "Kita mahu menurunkan kesebelasan terbaik yang mampu memikul tanggungjawab mengikut strategi dilakar," katanya.
Posted on: Sat, 21 Sep 2013 02:40:11 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015