LELAKI MENGHINA SAIDINA BILAL MENJADI MUAZZIN MAKKAH Di dalam - TopicsExpress



          

LELAKI MENGHINA SAIDINA BILAL MENJADI MUAZZIN MAKKAH Di dalam sebuah perjalanan, maka berehatlah Baginda Rasulullah, dan para tentera. Dalam kalangan tentera itu terdapat ramai lelaki Quraisy yang baharu memeluk Islam. Apabila sampai waktu solat, maka Saidina Bilal bangun lalu melaungkan azan. Ketika azan dilaungkan, kedengaran beberapa suara mengejek Saidina Bilal, mereka merupakan pemuda-pemuda Quraisy. Khabar mengenai penghinaan terhadap Saidina Bilal segera sampai ke pengetahuan Rasulullah, lalu Rasulullah mengarahkan pemuda-pemuda tadi datang menghadap Baginda. Bergetarlah hati, dan anggota badan para pemuda tadi. Tiada yang lain difikirkan melainkan bakal berdepan dengan hukuman yang amat berat, kemungkinan akan dibunuh. Hendak melarikan diri sudah mustahil kerana dikepung para tentera. Dalam ketakutan, digagahkan juga langkah menghadap Rasulullah yang sedang berehat di dalam khemah. Sampai di dalam khemah, Rasulullah bertanya "antara kalian ini, siapakah yang telah menghina Saidina Bilal?" Tiada penipuan boleh dilakukan kerana akan tetap dikesan oleh Rasulullah, maka tiada pilihan melainkan menyatakan kebenaran. "Ya Rasulullah, sayalah yang menghina mengejek Saidina Bilal." Suara pemuda tadi terketar-ketar, membayangkan hukuman yang bakal dikenakan. Rasulullah lalu menghampiri pemuda tadi. "Wahai pemuda, mahukah dikau saya ajarkan azan." Rasulullah bersabda menyantuni pemuda tadi selembut bayu menyapa wajah. "Benarkah Rasulullah? Tuan akan mengajar saya?" Terkejut pemuda tadi dengan pelawaan Rasulullah, berlawanan dengan sangkaan awal. "Ya, benar. Sudikah dikau?" "Wahai Rasulullah, ajarkan saya azan" "Ulanglah apa yang saya sebut, Allahu Akbar.. Allahu Akbar.." Pemuda tadi mengulang. "Ash hadu annlailaha illa Allah." Pemuda tadi mengulang. "Ash hadu anna muhammad rasulullah" Pemuda tadi mengulang. "Hayya alas solah" Pemuda tadi mengulang. "Hayya alal falah" Pemuda tadi mengulang. "Allahu akbar.. Allahu akbar" Pemuda tadi mengulang. "La ila ha illa allah" Pemuda tadi mengulang. Usai diajarkan, pemuda tadi berkata pada Rasulullah "wahai Rasulullah, Tuan telah melantik Saidina Bilal sebagai muazzin di Madinah, maka benarkanlah saya menjadi muazzin di Makkah" Diriwayatkan pemuda tadi hidup sehingga usianya 99 tahun, dan beliau tidak pernah walau sehari tidak melaungkan azan. Saban hari, setiap kali waktu solat, beliau akan hadir lalu melakukan tawaf pada Kaabah, menunaikan solat sunat, dan kemudian melaungkan azan. **Adakah kita juga akan melakukan sedemian pada mereka yang menghina Islam? Adakah kita akan luangkan masa mendidik mereka yang menghina Islam? Kita kata kita sayang Rasulullah, tapi kita tak buat macam Rasulullah. Bila ada orang hina Islam, kita hina mereka, kita bogelkan mereka, lalu apa kita dapat? Makin muliakah kita, makin muliakah Islam dengan tindakan kita? Saya menulis tanpa menidakkan perlunya tindakan terhadap orang yang menghina Islam, namun saya persoalkan adakah tindakan kita menguntungkan Islam atau merugikan Islam?
Posted on: Wed, 17 Jul 2013 04:16:33 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015