Menilai Perniagaan Dari Rumah Anda Orang yang bijak akan - TopicsExpress



          

Menilai Perniagaan Dari Rumah Anda Orang yang bijak akan menilai diri sendiri. Ia adalah cara hidup dan tabiat yang timbul daripada kesedaran bahawa setiap orang perlu melihat kembali di mana kita berada, ke mana hala tuju kita dan bagaimana kita hendak sampai ke destinasi kita. Dalam dunia hari ini, banyak istilah canggih untuk menggambarkan proses ini contohnya titik rujukan (benchmark) atau penilaian (appraisal). Tidak kira apa istilah yang digunakan, tujuannya sama iaitu untuk menilai pencapaian anda berbanding kriteria-kriteria yang telah anda takrifkan. Kita akan melihat bagaimana proses ini boleh diaplikasikan dalam perniagaan dari rumah anda. Berikut ialah beberapa soalan-soalan penting yang harus anda tanya kepada diri sendiri apabila anda menilai perniagaan anda: 1. Adakah anda telah mencapai matlamat yang ditetapkan? Adakah anda telah berjaya sebagai seorang usahawan? Adakah anda sedang dalam perjalanan mencapai sasaran anda? Adakah pencapaian anda seperti yang diharapkan? Soalan-soalan ini harus dijawab berdasarkan hakikat samada anda telah mencapai matlamat peribadi anda sebagai seorang usahawan dari rumah. Ini bermakna anda telahpun menetapkan matlamat peribadi anda sejak awal lagi, dan anda boleh menyemak semula samada anda telah mencapainya atau tidak. Contohnya, jika matlamat anda ialah untuk menubuhkan satu perniagaan pusat penjagaan kanak-kanak dengan jumlah kanak-kanak yang tertinggi di kawasan perumahan anda, adakah anda telah mencapainya? Jika matlamat anda ialah untuk dikenali sebagai pakar dalam penjagaan kanak-kanak dengan mempunyai nisbah kanak-kanak dan guru/penjaga yang terkecil, adakah anda telah mencapainya? Seperti yang anda boleh lihat, anda perlu membandingkan kedudukan anda sekarang dengan matlamat sebenar yang telah anda tetapkan. 2. Adakah anda berupaya menyara diri sendiri? Adakah anda berupaya membayar bil melalui keuntungan perniagaan dari rumah anda? Adakah pendapatan dari perniagaan anda dapat menampung perbelanjaan yang terlibat dan masih adakah wang lebih selepas ditolak perbelanjaan? Jika ya, anda boleh berkata bahawa anda berada di jalan yang betul. Jika tidak, anda mungkin perlu bertanya diri sendiri mengapa ini terjadi. Mungkin anda perlu mengiklankan (sekurang-kurangnya secara lisan, dari mulut ke mulut) mengenai perkhidmatan yang anda tawarkan, atau anda mungkin perlu lebih bertegas dalam meminta bayaran dari pelanggan yang masih berhutang. 3. Adakah pendapatan anda sekarang lebih banyak berbanding semasa anda bekerja untuk orang lain? Ini ialah soalan yang baik untuk ditanya kepada mereka yang telah berhenti kerja makan gaji untuk memulakan perniagaan dari rumah. Kini setelah anda melepaskan pekerjaan tetap anda demi meletakkan diri anda sebagai seorang usahawan, adakah ia berbaloi dari segi kewangan? Jangan hanya menilai berapa banyak pendapatan anda sekarang berbanding sebelum ini, tetapi pertimbangkan juga berapakah kadar pasaran terkini bagi seseorang yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan seperti anda. Jika selepas fasa “permulaan” berakhir anda masih lagi memperoleh pendapatan yang kurang daripada sebelum ini, DAN anda telah bekerja lebih keras, maka anda perlu menilai semula keadaan anda. 4. Di manakah kedudukan anda berbanding pesaing anda? Anda mungkin mahukan ciri-ciri perniagaan yang unik dan berbeza dari para pesaing anda, tetapi anda perlu juga tahu di mana kedudukan anda berbanding mereka. Bagaimanakah prestasi anda berbanding mereka? Adakah anda hampir menyamai kedudukan pesaing di depan anda dari segi pengiktirafan dan kedudukan di pasaran? Adakah terdapat pesaing baru di tempat anda yang harus anda perhatikan? Mengetahui tentang para pesaing dan ciri-ciri mereka akan memberikan anda pengetahuan yang bernilai yang boleh diaplikasikan pada perniagaan anda. Jangan hanya membuat perbandingan berdasarkan pasaran. Anda harus juga melihat samada terdapat peraturan baru dikeluarkan oleh kerajaan yang harus anda turuti, atau adakah mana-mana peluang baru yang boleh anda rebut. 5. Bagaimana prestasi jualan anda? Perniagaan dari rumah anda mungkin telah dimulakan sebagai cara untuk menjual produk-produk atau perkhidmatan tertentu. Oleh itu satu cara untuk menilai perniagaan anda ialah dengan melihat pada prestasi jualan anda. Jika anda dapat terus menarik pelanggan dengan produk dan perkhidmatan yang anda tawarkan dan anda dapati ada pusing ganti yang malar dalam inventori anda, anda boleh berkata bahawa anda membuat sesuatu yang betul! Sebagai panduan, jangan hanya melihat kepada jumlah jualan sebagai nombor-nombor sahaja. sebaliknya, bandingkan jumlah ini mengikut bulan dan yang lebih penting, rekodkannya. Kenalpasti aliran semasa dalam bentuk peratusan menaik (atau menurun). Jumlah jualan anda harus dibandingkan dengan purata am dalam industri dan dengan pesaing anda. Jika aliran semasa menaik sedangkan peratusan anda menurun, ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena. Jumlah jualan juga menggambarkan usaha pemasaran dan harus digunakan untuk menilai mekanisme pemasaran anda. 6. Adakah anda mendapat keuntungan yang konsisten dari perniagaan dari rumah anda? Baguslah jika jualan anda meningkat, tetapi bagaimana jika perbelanjaan anda pula bertambah pada kadar yang lebih tinggi? Jelas sekali anda tidak berada di kedudukan yang baik. Sebagai seorang ahli perniagaan, anda perlu meraih keuntungan, tetapi sedang kita seronok melihat kemajuan jualan, kita terlalai untuk membandingkan antara apa yang masuk dan apa yang keluar. Oleh itu, periksalah wang anda dengan teliti. Adakah anda sekadar pulang modal atau rugi? Adakah anda mendapat keuntungan dengan konsisten? Jika tidak, bolehkah anda meneruskan operasi dalam keadaan ini? Baik juga jika anda menilai keuntungan setiap perkhidmatan atau produk yang anda tawarkan secara berasingan. Anda mungkin mendapati sesetengah produk atau perkhidmatan lebih menguntungkan daripada yang lain. Nilaikan pelanggan tetap anda dengan cara yang sama juga – adakah anda meluangkan lebih masa dan tenaga mengeluarkan produk atau perkhidmatan yang betul untuk pasaran yang betul? Jawapan kepada soalan-soalan ini akan memberikan klu mengenai bagaimana hendak mengubah gabungan produk atau perkhidmatan anda atau masa yang anda luangkan kepada seseorang pelanggan. 7. Adakah laporan kewangan anda kelihatan baik? Soalan ini berkaitan dengan dua kriteria penilaian yang telah disebutkan tadi, tetapi ia menjangkau lebih jauh lagi. Ada beberapa nisbah kewangan mudah yang boleh digunakan untuk menilai perniagaan dari rumah anda dan memastikan ia sentiasa berjalan lancar. Nisbah kewangan yang akan kita teliti ialah: nisbah terkini (current ratio), ujian nisbah pantas (quick ratio test) dan nisbah hutang-kepada-ekuiti (debt-to-equity ratio). Marilah kita perhatikan satu persatu: a. Nisbah terkini merujuk kepada nisbah aset terkini (iaitu apa yang anda miliki sekarang) kepada liabiliti terkini (iaitu hutang anda). Nisbah ini harus berada pada sekurang-kurangnya 2 kepada 1. Jika tidak anda mungkin terlalu banyak berhutang, dan anda perlu menyelesaikan sesetengah daripadanya dengan segera. b. Ujian nisbah pantas ialah nisbah yang diperolehi dengan membahagikan jumlah aset dengan liabiliti terkini. Jumlah aset ialah jumlah kesemua aset anda, termasuk wang tunai dalam tangan dan bil pelanggan yang belum dibayar. Nisbah ini ialah ukuran kepada kecairan (liquidity) perniagaan anda. Kadar yang boleh diterima ialah 2.0 atau lebih tinggi. c. Nisbah hutang-kepada-ekuiti membandingkan jumlah keseluruhan hutang dengan nilai perniagaan anda. Ini tidak bermakna kesemua jenis hutang tidak baik untuk perniagaan, tetapi yang idealnya jumlah hutang haruslah kurang daripada nilai perniagaan, iaitu nisbah hutang kepada ekuiti harus berada pada 1 atau kurang. 8. Apakah perasaan anda terhadap perniagaan dari rumah anda? Kesemua objektif data yang telah kita teliti di atas menyediakan asas bagi menilai kedudukan perniagaan anda pada masa ini, tetapi ia tidak memberitahu anda keseluruhan cerita. Anda tidak boleh mengabaikan intuisi anda sebagai seorang pekerja dari rumah apabila menilai prestasi perniagaan anda secara keseluruhannya. Jelasnya, selain daripada sebab kewangan, anda mungkin telah memulakan perniagaan supaya anda boleh meluangkan lebih masa dengan keluarga, supaya anda mempunyai lebih masa untuk beristirahat dan menikmati kehidupan yang lebih seimbang. Dalam kes ini, anda mungkin perlu menilai samada anda masih bersemangat dan gembira dengan apa yang anda lakukan sekarang.
Posted on: Tue, 22 Oct 2013 17:09:28 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015