Mercun raya RM500,000 Bukit Kayu Hitam: Tanda tanya kehadiran - TopicsExpress



          

Mercun raya RM500,000 Bukit Kayu Hitam: Tanda tanya kehadiran sebuah lori tiga tan yang diparkir di hadapan Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, akhirnya terjawab berikutan penemuan sejumlah 328 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM500,000, awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, lima anggota Batalion 3 PGA membuat pemeriksaan ke atas lori terbabit yang ditutupi kanvas kerana curiga berikutan kenderaan tidak boleh diletakkan di kawasan itu disebabkan pagar sempadan sudah ditutup jam 12 tengah malam. Difahamkan, lokasi lori itu diletakkan hanya kira-kira 150 meter dari sempadan Thailand berhampiran pintu masuk. Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Deputi Superintendan S Sivanganam berkata, hasil pemeriksaan mendapati lori itu ditinggalkan pemandunya dan berkunci manakala bahagian belakangnya ditutup dengan kanvas. Beliau berkata, anggota PGA kemudian membuat pemeriksaan sebelum menemui kira-kira 328 kotak dipercayai mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api termasuk yang berbahaya. “Berikutan itu, anggota kami melakukan intipan di lokasi kejadian sehingga jam 7 pagi tadi (semalam) untuk menunggu pemandunya mengambil semula lori terbabit, tapi tiada individu datang. “Kita mengesyaki lori itu sengaja ditinggalkan di situ dan berkemungkinan mereka mahu membawa barang larangan ke negara ini jika pihak berkuasa tidak menyedarinya. “Kami merampas semua mercun serta bunga api berkenaan sebelum dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk dibuat laporan rampasan dan siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini. Sivanganam berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya percaya mercun dan bunga api itu dibawa masuk dari negara jiran untuk diseludup ke negara ini berikutan Aidilfitri akan menjelang tidak lama lagi. Pihaknya akan menyerahkan kes berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1952. Bagi kesalahan itu, mereka yang terbabit boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tujuh tahun atau kedua-duanya sekali. “Ini rampasan terbesar yang dilakukan anggota PGA Batalion 3 sejak mengambil alih tugas di kawasan sempadan dan kita akan menjalankan pemeriksaan lebih ketat untuk memastikan tidak berlaku sebarang penyeludupan, di sini,” katanya.HM
Posted on: Sun, 07 Jul 2013 03:18:48 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015