Mesir Haramkan Kumpulan "Vigilante", Protes Berterusan Kerajaan - TopicsExpress



          

Mesir Haramkan Kumpulan "Vigilante", Protes Berterusan Kerajaan yang disokong oleh tentera Mesir pada hari Ahad telah mengharamkan kumpulan "vigilante" serta mengeluarkan amaran baru yang ia tidak akan bertolak ansur dengan keganasan yang dilakukan oleh orang awam. Pengharaman ini dikeluarkan tatkala ia berusaha keras untuk mengelakkan krisis yang berpunca dari penggulingan pemimpin Islam pada 3 Julai lalu dari terus bergolak di luar kawalan. "Jawatankuasa rakyat" yang bersenjatakan tongkol, kayu dan senjata api telah muncul di jalan-jalan Mesir sejak beberapa hari kebelakangan ini, selepas berlakunya peristiwa berdarah yang telah meragut ratusan nyawa setakat ini. Lebih daripada 800 orang awam dan 70 anggota pasukan keselamatan telah terbunuh dalam keganasan yang meletus sejak tindakan keras diambil ke atas penyokong Mursi bermula Rabu lalu. Akhbar kerajaan, Middle East News Agency, melaporkan yang 79 telah terbunuh pada hari Sabtu. Walaupun pihak berkuasa nampaknya seolah-olah cuba untuk mengekang keganasan, sebuah pakatan yang mewakili penyokong Mursi berkata pada hari Ahad yang 52 tahanan yang ditahan dalam demonstrasi baru-baru ini telah dibunuh oleh pihak polis semasa mereka dipindahkan ke sebuah penjara di Qalyubia, utara Kaherah. Manakala pihak kerajaan pula menyatakan yang jumlah kematian dalam kejadian berkenaan berada dalam lingkungan 36 orang. Dan dalam ketegangan yang kian menggelegak di antara kerajaan dan kumpulan Islam yang terbesar di Mesir, Ikhwan Muslimin, beribu-ribu penunjuk perasaan, yang menuntut perlantikan semula Mursi, memenuhi jalan-jalan pada hari Ahad untuk hari ketiga berturut-turut. Pasukan keselamatan, bagaimanapun, menutup jalanraya dan mengerah unit kereta kebal untuk mengekang sebarang tindakan protes di Kaherah. "Tentera ada di merata tempat. Hanya dengan berjalan-jalan di sekitar bandar awal hari ini saja anda dapat melihat kehadiran mereka yang kian meningkat," kata Abdelrahman Mohammed, seorang sukarelawan yang mewakili kempen media anti-rampasan kuasa, dalam menjelaskan kenapa kumpulan tersebut telah membatalkan sebuah demonstrasi utama pada hari itu. Menteri pertahanan Mesir dan pemimpin de facto, Jeneral Abdel Fatah al-Sissi, dalam satu ucapan televisyen pada hari Ahad yang ditujukan kepada penonton dari kalangan tentera beruniform dan pegawai-pegawai keselamatan, berikrar untuk bertindak tegas terhadap mereka-mereka yang terlibat dengan keganasan. Sissi, yang mengetuai rampasan kuasa menggulingkan Mursi, juga berkata yang penyokong rejim yang digulingkan itu akan dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam politik pada masa akan datang, tetapi ia tidak jelas sama ada tawaran yang diberikan itu melibatkan ahli-ahli Ikhwan, yang bersekutu dengan Mursi. Kerajaan sementara yang ditubuhkan oleh Sissi telah membayangkan yang ia sedang mempertimbangkan untuk mengharamkan Ikhwan. "Kami tidak akan berdiam diri dalam menghadapi kemusnahan negara serta rakyat, pembakaran tanahair dan kezaliman terhadap orang yang tidak bersalah," kata Sissi, sambil menambah bahawa penyokong Mursi adalah dialu-alukan "untuk mengambil bahagian dalam pembinaan semula jalan yang demokratik dan untuk melibatkan diri dalam proses politik, menurut peta masa depan dan bukannya melalui jalan konfrontasi dan kemusnahan negara Mesir". Tetapi pakatan penyokong Mursi berkata dalam satu kenyataan hari Ahad bahawa komen jinak Sissi, yang kononnya mengalu-alukan mereka dalam arena politik pada masa akan datang, telah didustakan dengan penyembelihan 52 tahanan oleh pihak berkuasa, yang telah "mengesahkan adanya keganasan sistematik yang diamalkan oleh pihak berkuasa terhadap kelompok yang menentang rampasan kuasa." Sebaliknya, Kementerian Dalam Negeri Mesir pula berkata hanya 36 tahanan mati dalam kejadian itu. Menurutnya 612 ahli Ikhwan telah cuba melarikan diri, dan dalam proses itu sempat menahan seorang pegawai polis sebagai tebusan. Banduan-banduan terbabit meninggal dunia akibat lemas apabila gas pemedih mata dilepaskan ke arah mereka atau akibat rempuhan yang berlaku ketika beberapa orang dari mereka cuba melarikan diri, kementerian itu melaporkan. Pasukan keselamatan telah berjaya menyelamatkan pegawai polis berkaitan, kata kementerian itu lagi.
Posted on: Tue, 20 Aug 2013 01:46:52 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015