NAHDHAH FIKRIYYAH EDISI 11 SIRI 2, RAMADHAN 1434H / JULAI - TopicsExpress



          

NAHDHAH FIKRIYYAH EDISI 11 SIRI 2, RAMADHAN 1434H / JULAI 2013 FENOMENA DAN REALITI DI BULAN RAMADHAN Ramadhan sebagai bulan yang diwajibkan berpuasa merupakan bulan yang penuh rahmat, dibuka pintu keampunan dan terdapat padanya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sebelum tibanya Ramadhan lagi, sebahagian umat Islam sudah sibuk mempersiapkan diri untuk menyambut bulan yang penuh berkat ini, setidak-tidaknya dengan mengqadha puasa bagi hari-hari yang ditinggalkan pada Ramadhan yang lepas. Fenomena Ramadhan di Malaysia Apa yang kita dapat lihat hari ini, sudah menjadi satu fenomena apabila tibanya bulan Ramadhan, akan wujud satu suasana yang berbeza daripada bulan-bulan lain. Ramai orang sibuk mencari keuntungan dan menambah pendapatan, khususnya para peniaga yang saban hari bertungkus-lumus menyediakan bahan makanan dan minuman yang kebiasaannya dijual dengan harga yang agak mahal di bulan ini. Dalam masa yang sama, harga barang di pasar juga turut melonjak dan sering menjadi isu hangat di bulan Ramadhan dan menjelang hari raya. Bank-bank juga tidak ketinggalan untuk mengaut keuntungan dengan menawarkan promosi pinjaman peribadi dengan kadar riba yang dapat menarik pelanggan, tanpa mengira dosa dan pahala. Di bulan ini juga, hotel-hotel biasanya mendapat keuntungan tambahan kerana banyak majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh pelbagai syarikat dan organisasi. Sememangnya amalan memberi makan kepada orang berpuasa itu satu galakan dalam Islam untuk merebut gandaan pahala, namun, agak menyedihkan apabila majlis tersebut bercampur dengan kemaksiatan seperti ikhtilat (percampuran lelaki perempuan) yang tidak syar’ie. Begitulah secara ringkasnya fenomena Ramadhan di Malaysia. Realiti umat Islam seluruh dunia Apabila kita menoleh ke satu sisi yang lain, realiti di sebahagian negeri umat Islam lain sangatlah kontra. Ada yang sedang berdepan dengan kemelut kemanusiaan, ekonomi dan politik yang sangat getir. Lihat sahaja kaum Muslimin Rohingya yang masih lagi dinafikan kerakyatannya malah diseksa dan dibunuh oleh puak kuffar Mynmar. Umat Islam di Syria masih bertarung nyawa dengan kezaliman rejim Bashar al-Assad. Umat Islam di Mesir pula baru dihidangkan dengan drama rampasan kuasa yang berakhir dengan persengketaan dan pembunuhan sesama Muslim. Belum ditambah lagi dengan kisah penindasan yang tidak berkesudahan yang dihadapi oleh etnik Muslim Uighur kerana dilarang daripada berpuasa di bulan Ramadhan. Kaum Muslim di Xin Jiang menderita di bawah penerapan undang-undang kerajaan China. Laporan dari pemantau HAM menyebut, ”...pelajar sekolah dan universiti negeri secara rasmi dilarang beribadah, berpuasa selama Ramadhan atau berperilaku soleh...” [1] Tidak cukup dengan itu, di benua Afrika masih ramai umat yang kebuluran. Dalam satu kajian yang dikeluarkan oleh majalah Scientific American menyatakan bahawa terdapat kira-kira satu bilion penduduk dunia yang masih kebuluran [2]. Jiran terdekat kita Indonesia masih belum dapat keluar dari nasib yang sama. Menurut sumber Biro Pusat Statistik (BPS) dan data Bank Dunia (World Bank), dilaporkan bahawa Indonesia adalah salah satu dari 5 negara Muslim termiskin di dunia [3]. Sedangkan mereka antara pengeksport makanan terbesar setiap tahun. Sedangkan Hal ini cukup berbeza dengan suasana hidup di zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz (717-720H) di mana umat Islam hidup dalam keadaan yang cukup baik sehinggakan tiada seorang Muslim pun yang layak menerima zakat padahal keluasan Daulah sudah mencakup dua benua pada masa itu. Muhasabah Diri dan Kehidupan Betapa kita melihat tidak seimbangnya umat Islam serata dunia menyambut Ramadhan. Ini semua adalah hasil penerapan sistem sekular yang memisahkan agama dari kehidupan dan memisahkan kesatuan umat Islam dengan sempadan-sempadan nasionalisme. Di saat sebahagian umat Islam menderita di bulan yang mulia ini, namun jika dibuat pertandingan kemeriahan Ramadhan, mungkin Malaysia antara calon juaranya, apatah lagi jika ditambah dengan suasana persiapan Idulfitri. Apa yang mengecewakan kita adalah keselesaan dan kesenangan yang dinikmati oleh sebahagian umat Islam membuatkan mereka tidak mengambil peduli akan masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh saudara sesama Muslim yang lain. Inilah racun sistem kapitalisme yang menjadi punca kepada semakin melenyapnya pemikiran Islam dari benak kaum Muslimin. Sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan) yang lahir dari ideologi Kapitalisme menjadikan Ramadhan sebagai sebuah tradisi dengan menampakkan hanya amalan menahan lapar dan dahaga di siang hari dan ibadah ritual di malam hari. Memanglah kita digalakkan mengejar amalan-amalan sunat untuk mengumpul pahala bagi diri sendiri tetapi mengabaikan amalan-amalan wajib yang lain seperti tidak mengambil berat urusan kaum Muslimin di seluruh dunia dan tidak melakukan usaha mempersatukan umat Islam di bawah satu pemerintahan (Khilafah), hal ini tentunya akan mengundang dosa kepada setiap Muslim. Sedangkan Islam menetapkan kesatuan umat dan negara sebagai qadhiah mashiriyyah (isu utama) [4] sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W, ”Mukmin dengan Mukmin lainnya bagaikan satu bangunan, sebahagian menguatkan sebahagian lainnya” [HR Bukhari, at-Tirmizi, an-Nasa’i dan Ahmad]. Sejarah Islam juga telah membuktikan bahawa bulan Ramadhan ini bukan sahaja bulan untuk menambahkan ibadat mahdhah, tetapi merupakan bulan perang dan jihad. Bukan sekadar kaum lelaki, malah wanita Islam juga turut tidak ketinggalan membantu dalam proses jihad. Dalam Perang Khandaq contohnya (Ramadhan 5H), Fatimah binti Muhammad membantu menyediakan makanan untuk pasukan perang dan Shafiyah binti Abdul Mutalib dengan beraninya telah membunuh seorang Yahudi yang mengancam keselamatan seorang wanita di Madinah. Dalam Perang Tabuk (Ramadhan 9H) pula, ramai Muslimah menginfakkan harta mereka untuk peperangan itu termasuklah Ummu Sanan Al-Islamiyah. Khatimah Tidak diragukan lagi bahawa saat ini, umat Islam seluruh dunia memerlukan satu kesatuan. Kesatuan yang mampu menyatukan seluruh umat Islam untuk beramal seperti mana Rasulullah dan para sahabatnya beramal di bulan Ramadhan. Kesatuan yang suatu ketika dulu pernah menjadi kekuatan dan perisai bagi umat Islam iaitu kehidupan yang dipimpin dan diperintah oleh seorang pemimpin yang digelar Khalifah! Sistem pemerintahannya yang digelar sistem Khilafah akan menaungi seluruh negeri umat Islam di dunia ini dengan menerapkan hukum-hakam yang bersumberkan Al-Qur’an dan as-Sunnah. Khalifah mengatur urusan umat, baik ekonomi, politik, perundangan dan lain-lain sesuai dengan hukum Islam yang akan memberi kesejahteraan kepada seluruh umatnya. Khalifah akan memberi keamanan dalam dan luar negeri hingga anak di dalam perut pun akan dijamin kecukupannya. Daulah Islamiyyah akan membuatkan keadilan merata hingga manusia akan menyambut Ramadhan sebagaimana makna dan tujuannya, bukan sekadar fenomena tahunan semata-mata dan Insya Allah segala masalah yang membelenggu umat Islam pada hari ini dapat ditamatkan. Rujukan: [1] Al-Wa’ie, Hizbut Tahrir Indonesia, 1-30 Juni 2008 hlmn 69 [2]Mykhilafah/Krisis Obesiti Dunia Dan Kaitannya Dengan Sistem Ekonomi [3]voa-islam/news/indonesiana/2013/03/02/23455/indonesia-salah-satu-dari-5-negara-muslim-termiskin-di-dunia/ [4] Al-Wa’ie, Hizbut Tahrir Indonesia 1-31 Mei 2005 hlmn 23
Posted on: Mon, 29 Jul 2013 19:37:11 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015