Nukilan Sahabat Gam-pc di Jordan.. Jom baca.. (^_^) Bila - TopicsExpress



          

Nukilan Sahabat Gam-pc di Jordan.. Jom baca.. (^_^) Bila mendekati satu Muharam, ramai antara kita sibuk memperkatakan tentang peristiwa hijrah yang yang berlaku keatas nabi Muhammad saw dan orang islam di awal kemunculan Islam dahulu. Namun yang menyedihkan, perbincangan itu lebih tertumpu pada perkara sampingan pada penghijrahan Nabi Muhammad saw,. Betulkah peristiwa hijrah itu berlaku di awal bulan Muharam? Berapa ramaikah merekaang terlibat dan beberapa perkara remeh lagi untuk di bincangkan. Tapi mereka atau kita sendiri seakan-akan terlupa pada objektif sebenar peristiwa hijrah itu. Yakni untuk melebarkan lagi agama Islam ke seluruh pelusuk dunia. Di samping itu, peristiwa penghijrahan ini juga banyak menyediakan seribu satu pengajaran dan perkongsian yang amat berguna bagi mereka yang berfikir. Visi misi, strategi dan pembahagian tugas yang tepat , merupakan antara intipati penting dalam menjayakan proses penghijrah ini. Visi dan Misi Seperti yang kita maklum, Visi hijrah nabi ini adalah untuk menegakkan kalimah tauhid di muka bumi Allah itu. Dan bagi mencapai tujuan yang besar ini, baginda telah menyusun beberapa misi yang khusus, antaranya adalah hijrah ini. Dengan adanya sebuah visi dan misi yang jelas, mudahlah untuk seseorang atau sesebuah organisasi itu melaksanakan gerak kerja bagi mencapai matlamat perjuangan mereka. Strategi yang mantap Pemilihan Abdullah bin Uraiqit sebagai penunjukkan sebelum memulakan perjalanan merupakan contoh awal yang menunjukkan betapa bijaknya Rasulullah saw. Seperti yang di catatkan oleh Dr Mustafa as-Syibaie dalam kitab Sirah Nabawiah durusu wal ibru “Abu Bakar mengupah Abdullah bin Uraiqit ad-Dhaili, seorang musyrik Mekah untuk menjadi penunjuk jalan ke Madinah. Dengan syarat dia mengelakkan jalan yang biasa di ketahui dan menggunakan jalan lain yang tidak di ketahui oleh kafir Quraisy” Meminta Ali r.a. sebagai pengganti tempat tidur Baginda saw sebagai contoh memberi gambaran betapa tersusun dan bijaksananya strategi yang guna pakai oleh Rasulullah saw sebelum memulakan episod sebuah penghijrahan. Selain dapat mengelirukan musuh-musuh Islam, baginda saw juga dapat menyelamatkan diri dari di bunuh oleh pakatan musyrikin Mekah ke atas baginda. Pemilihan teman yang bersefahaman atau sefikrah juga memainkan peranan penting untuk menjayakan proses penghijrahan ini. Contohnya sebaik sahaja Baginda saw meninggalkan rumahnya pada malam itu, baginda terus bergerak kerumah Abu Bakar ra bagi mengajaknya menjadi teman seperjalanan dalam hijrah tersebut. Kerana dengan tersilap membuat pemilihan dalam mengambil teman seperjuangan, strategi yang mantap boleh bertukar menjadi mimpi buruk dalam proses ini. Contohnya dalam filem “Ali Baba Bujang Lapok” pasti anda dapat lihat kebijaksanaan ketua penyamun mengatur strategi, namun dia gagal membawa bersamanya teman yang memahami kehendak bosnya. Maka apabila dia menyanyikan lagu, teman-temannya turut menyanyi, lalu rosaklah program dan strategi yang diatur. Pembahagian tugas yang tepat Pengagihan tugas kepada Aishah dan Asma’ sebagai penyedia makanan juga memainkan peranan penting dalam membantu proses penghijrahan ini. Dengan adanya kedua puteri Abu Bakar ini, beliau dan nabi Muhammad saw dapat meneruskan kelangsungan hidup semasa berada di gua selama 3 hari itu. Selain itu, semasa berada di dalam gua, bersama-sama Rasulullah saw dan Abu Bakar ra adalah Abdullah bin Abu Bakar. Beliau (Abdullah bin Abu Bakar) di tugaskan sebagai mata-mata di kalangan orang musyrikin Mekah bagi mendapatkan maklumat sekira terdapat perancangan buruk golongan ini terhadap nabi Muhammad saw. Ibrah Hijrah dalam kehidupan kini. Tanpa Visi dan misi yang jelas, strategi yang mantap dan pembahagian tugas yang tepat, sudah pasti akan mewujudkan seribu satu halangan dalam mencapai matlamat akhir yang di tetapkan oleh kita. Sama ada dalam kehidupan seharian, dalam perjuangan, dalam bidang dakwah dan apa-apa bidang sekali pun. Contoh yang penulis cuba bawakan adalah dalam kehidupan seorang dai’e, jika mereka tiada visi dan misi yang jelas dalam berdakwah, maka mereka akan menempuhi seribu satu kesulitan dalam berdakwah. Mereka mungkin akan cepat give-up bilamana mad’u yang menjadi sasaran mereka tidak menjadi seperti yang mereka harapkan. Begitu juga dalam mengatur strategi, tanpa strategi yang ampuh, pasti setiap perancangan kita akan menemui kegagalkan dalam pelaksanaanya. Contohnya dalam berjuang atau berpolitik. Bila terdapat kepincangan dalam strategi kita, mudah untuk musuh mematahkan setiap serangan kita, seperti yang di gambarkan dalam kata-kata Saidina Ali ra yang kita maklum: “Kebenaran tanpa perancangan akanditewaskan oleh kebatilan yang berperancangan.” Dan terakhir adalah dalam pembahagian tugas. Ini juga memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Contohnya, setiap manusia Allah tidak mengurniakan kelebihan yang sama. Mungkin ada yang pandai bercakap, tapi tidak pandai menulis, ada yang pandai mengatur strategi, tapi lemah dalam bercakap dan begitulah sebaliknya. Maka menjadi kezaliman bagi seseorang itu melantik Ronaldo sebagai pemain bola jarring. Persoalannya, adakah setiap kali kita menyambut awal muharam, 3 perkara ini (paling kurang) manjadi penghayatan kepada kita? Atau kita sememangnya lebih suka untuk membincangkan (berdebat) akan perkara sampingan yang tidak membantu kita menghayati hakikat sebenar sebuah penghijrahan yang di bawa oleh baginda besar Muhammad saw dan sahabat-sahabatnya ketia itu. Penulis yakin masing-masing sudah ada jawapannya. Jadi untuk lebih memaknakan lagi sambutan kita pada kali ini, marilah kita berazam untuk menjadi umat yang bijaksana (ulul albab) dalam menjalani hidup ini bersesuaian dengan kehendak Islam. Insaflah kalau sekiranya kehidupan kita hari ini tidak ubah sedikit pun dari kehidupan semalam. Marilah kita memulakan langkah perubahan ini, biarlah langkah awal kita ini di penuhi dengan seribu satu kecacatan, tapi percayalah tanpat langkah pertama, tidak akan lahir langkah kedua, ketiga mahupun seterusnya. Salam 1 Muharam 1435 Hijrah Hisyam Ahmad Mutah , Jordan Gabungan Mahasiswa/i Pengkalan Chepa
Posted on: Wed, 13 Nov 2013 15:04:55 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015