Operasi Tanggal Iklan Along Dilancarkan Di Bandaraya Kota - TopicsExpress



          

Operasi Tanggal Iklan Along Dilancarkan Di Bandaraya Kota Kinabalu KOTA KINABALU, 23 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah melalui Bahagian Pemberi Pinjaman Wang dan Pemegang Pajak Gadai Sabah melancarkan operasi menurunkan dan menanggalkan iklan haram pemberi pinjam wang tidak berlesen di sekitar bandaraya Kota Kinabalu. Ketua Unit Penguatkuasaan Bahagian Pemberi Pinjam Wang dan Pemegang Pajak Gadai Sabah Abdul Latif Ibrahim berkata operasi pada 19 Julai lepas itu bertujuan membuka serta menurunkan iklan haram yang ditampal atau diletakkan di tempat awam. "Operasi ini untuk meningkatkan kesedaran orang ramai secara amnya dan pemberi pinjaman tidak berlesen atau Along agar tidak sesuka hati mengiklankan perniagaan mereka tanpa mematuhi peruntukan undang-undang," katanya pada sidang media di sini hari ini. Abdul Latif berkata tiada sebarang iklan boleh dibuat oleh mana-mana pemberi pinjaman wang tanpa mendapat kelulusan (permit) daripada Pendaftar iaitu pegawai yang menandatangani lesen. "Setiap iklan yang dibuat hendaklah mengandungi nombor lesen pemberi pinjam wang dan tarikh kesahannya, nombor permit iklan, nama, alamat dan nombor telefon pemberi pinjam wang berlesen dan kadar faedah yang ditawarkan," katanya. Abdul Latif berkata mana-mana pemberi pinjam wang yang membuat iklan tanpa permit daripada pendaftar melakukan kesalahan mengikut seksyen 11 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali. Katanya iklan yang dirampas dipercayai tanpa lesen itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia negeri Sabah untuk tindakan mengikut seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) untuk tujuan membatalkan nombor talian telefon yang diiklankan. Menjelangnya Aidilfitri, Abdul Latif turut mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan iklan haram pemberi pinjaman wang ini apatah lagi mendapatkan khidmat pinjaman daripada mereka kerana syarikat ini mengenakan kadar faedah sangat tinggi yang boleh menyebabkan beban hutang kepada peminjam. "Pada masa akan datang, operasi ini bukan hanya dijalankan di sekitar Kota Kinabalu tetapi juga di Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama bersepadu dengan Pihak Berkuasa Tempatan di setiap daerah dari semasa ke semasa," katanya. -- BERNAMA
Posted on: Tue, 23 Jul 2013 22:50:50 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015