PDRM BUKTIKAN KESUNGGUHAN SELEPAS TUMPASKAN KUMPULAN TERLIBAT - TopicsExpress



          

PDRM BUKTIKAN KESUNGGUHAN SELEPAS TUMPASKAN KUMPULAN TERLIBAT JENAYAH BERSENJATA API Kuala Lumpur, 19 Ogos - Kejayaan polis menumpaskan lima lelaki yang terlibat dalam beberapa kes jenayah bersenjata api di negara ini awal hari ini, membuktikan kesungguhan pasukan keselamatan itu memerangi jenayah habis-habisan. Sambil mengucapkan syabas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata kejayaan itu juga sekaligus membuka mata banyak pihak terutama masyarakat yang selama ini memandang rendah kredibiliti pasukan itu. "Ini membuktikan mereka memang berazam membanteras jenayah terutama melibatkan senjata api yang semakin berleluasa ketika ini. Ini juga membuktikan mereka menjalankan tugas dengan cekap dan teliti sehingga penjenayah berjaya ditumpaskan," katanya kepada Bernama. Lee mengulas kejadian di George Town, Pulau Pinang awal hari ini apabila polis menembak mati lima lelaki dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam beberapa jenayah senjata api. Serbuan yang dilakukan di Sungai Nibong, Pulau Pinang itu turut menemui tiga pucuk pistol yang digunakan penjenayah terbabit. Mengulas lanjut kejayaan berkenaan, Lee berkata ia juga membuktikan kepantasan dan kecekapan pasukan polis ketika membuat serbuan dan tindakan ke atas penjenayah. "Mereka (polis) tentunya telah membuat perancangan yang teliti, risikan yang memakan masa yang lama dan hasil maklumat orang ramai sebelum berjaya menumpaskan penjenayah, terutama mereka yang paling dikehendaki atau bersifat ganas," katanya. Sementara itu, Presiden Pertubuhan Anti Jenayah Bersatu Malaysia Datuk Dr A. Balakrishnan berkata kejadian itu membuktikan pasukan keselamatan itu amat prihatin dan peka dengan kebimbangan masyarakat terutama jenayah yang membabitkan senjata api. "Mereka sedar masyarakat amat berasa tergganggu dan takut dengan situasi jenayah yang berlaku ketika ini. Jadi, mereka bertekad dan bersungguh-sungguh mahu membanteras jenayah. Kejayaan ini sekaligus membuktikan apa yang mereka tekadkan selama ini tercapai," katanya. Sehubungan itu, pertubuhan itu berharap agar PDRM meneruskan kejayaannya dalam membanteras jenayah pada masa akan datang agar dapat meningkatkan imej pasukan itu di mata masyarakat dan membuka mata negara lain terhadap kecekapan PDRM. Mengulas mengenai kes itu, Balakrishan berkata kelima-lima lelaki terbabit berkemungkinan terlibat dalam beberapa kes tembak yang sering dilaporkan di media. "Namun, siasatan lanjut dan teliti perlu dilakukan agar dapat membuktikan perkara ini. Sekiranya benar mereka adalah antara individu yang dikehendaki dan terlibat dalam kes begitu, saya ucapkan tahniah dan syabas kerana berjaya menumpaskan penjenayah yang dianggap berbahaya dan ganas itu," katanya. Susulan banyak kes bunuh menggunakan senjata api dilaporkan sejak akhir-akhir ini, PDRM menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat secara rapi kes itu, termasuk pembunuh-pembunuh yang terlibat. - BERNAMA
Posted on: Mon, 19 Aug 2013 12:35:38 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015