PENDAHULUAN Tuan Yang di-Pertua, Saya mulakan lafaz ucapan - TopicsExpress



          

PENDAHULUAN Tuan Yang di-Pertua, Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2014 dengan mengungkap kalimah suci Bismillahirrahmanirrahim. Dipetik dengan penuh iktibar sepotong firman Allah Subhanahu Wa Taala dari Surah Al-Qasas, ayat ke-77, mafhumnya: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu daripada keperluan di dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu yakni di atas pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah”. Para pujangga pula sering bermadah-madah, bahawa: “Berpadu ialah satu permulaan, terus bersatu merupakan kemajuan, manakala bekerja secara ganding-berganding, bahu-membahu, itulah dia resepi kejayaan”. Tuan Yang di-Pertua, 1. Seawal dan seafdalnya, marilah kita merafakkan rasa syukur yang setulusnya ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala, kerana dengan izin dan kurnia-Nya jua, saya dan para Ahli Yang Berhormat sekalian, dapat berhimpun dalam Dewan Rakyat yang mulia ini, sebuah institusi simbol, serta menjadi satu perlambangan demokrasi yang segar, di bumi Malaysia yang berdaulat lagi merdeka. 2. Pertama-tamanya, saya, bagi pihak Kerajaan, merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih serta penghargaan kepada rakyat Malaysia, yang menyokong dan mendokong serta mewibawakan mandat ke atas Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum Ke-13 lalu untuk terus menerajui kepimpinan negara. Tuan Yang di-Pertua, 3. Ini membuktikan, biarpun kita berdepan dengan pelbagai rintangan, walaupun dilontar dengan segala bentuk tohmahan, sekalipun diasak dengan bermacam dugaan, namun Alhamdulillah, dengan kehendak Maha Berkuasa jua, kepimpinan Transformatif Barisan Nasional, terus kental, terus bertahan, terus teguh, sebagai parti pilihan rakyat bagi tempoh 5 tahun akan datang. 4. Sememangnya pun, kita telah melalui satu Pilihanraya Umum yang begitu mencabar dan penuh tantangan. Sekali apa jua, kita boleh berbangga kerana, semuanya itu, dilalui dengan teratur menurut batas dan lunas demokrasi, sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan sehingga diberi gelar oleh kawan dan lawan sebagai ibu segala pilihanraya. Tuan Yang di-Pertua, 5. Kerajaan amat sedar dan insaf di kala dunia berdepan dengan risiko ketidaktentuan iklim politik dan ekonomi global, jika kita tidak berwaspada dan berjaga-jaga tempiasnya boleh terpercik kepada kita. Maka, kita amat bersyukur kerana negara ini tidak terjebak atau terseret dalam kancah konflik dalaman yang boleh meranapkan negara bangsa. 6. Kita juga menghitung nikmat-Nya yang tidak terhingga-hingga kerana negara ini terus dipancuri rahmat pabila tiada dilanda malapetaka mahupun bencana alam melampau sepertimana yang berlaku di negara-negara lain. Moga-moga kita senantiasa diperlindung olehNya jua. Tuan Yang di-Pertua, 7. Jika disusuri, semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2011, sebanyak 10 Rancangan Malaysia dan tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang telah dilaksanakan. 8. Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010. Dalam pada itu, saya juga telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional atau DTN, semasa membentangkan Bajet tahun 2010, sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin untuk mencapai Wawasan 2020 kelak. 9. Di sini, ingin saya tegaskan sejelas-jelasnya, semuanya ini tidak akan terjelma, atau berlaku secara hentam keromo sahaja tanpa perancangan rapi dan strategi yang tuntas oleh Kerajaan yang ada. Bahkan, sejak puluhan tahun Kerajaan Barisan Nasional berusaha gigih, memeta, merencana dan membina negara daripada sebuah negara pertanian, menjadi negara perindustrian moden dan kemudian berkembang sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi. Kini, menuju pula gerbang sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Tuan Yang di-Pertua, 10. Pada 14 September 2013 yang lalu, di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk Universiti Teknologi MARA, saya telah membentangkan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Dalam ucapan tersebut, saya telah menzahirkan maklumat tentang demografi populasi negara berkhusus tentang Melayu dan Bumiputera. Tuan Yang Di-Pertua serta Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, 11. Pada hari ini pula, di peringkat nasional, kita lihat, demografi populasi yang bermula dari Arau Perlis, hingga ke Kudat dan Tawau di Sabah, membawa ke Bintulu hingga Batang Ai di Sarawak, menunjukkan bahawa, secara asasnya, orang-orang Melayu terdiri daripada 41 suku dengan 9 induk utama, Orang Cina 10 suku, kaum India 8 suku, Orang Asli 18 kategori, Bumiputera di Sabah jumlahnya lebih 60 etnik, manakala di Sarawak pula terdapat lebih 40 suku. 12. Hakikatnya, kita semua, sama ada orang Melayu, orang Cina, orang India, Kadazan, Murut, Dusun, Iban, Bidayuh, orang Ulu, orang Asli, orang Sikh, Serani, orang Siam, peranakan baba nyonya dan juga kaum Chetty serta lain-lainnya, kesemuanya orang Malaysia. Pendek kata, setiap kaum atau suku tidak kira peratusannya adalah mustahak dan penting dalam perjalanan negara menuju kejayaan. Tuan Yang di-Pertua, 13. Menurut bancian Penduduk dan Perumahan 2010, anggaran penduduk tahun 2013 menunjukkan jumlah warganegara Malaysia terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera, sama ada Islam mahupun bukan Islam adalah 18.6 juta atau 67.9%, kaum Cina 6.6 juta atau 24 peratus, kaum India 2 juta atau 7.2 peratus, manakala lain-lain kaum 259 ribu yang mewakili 0.9 peratus. Ini bererti perangkaan semasa jumlah warganegara Malaysia lebih 27.4 juta orang. 14. Kendatipun begitu, ini tidaklah termasuk 40,000 orang Bangladesh yang didakwa oleh pembangkang, dibawa masuk sebagai pengundi dalam pilihanraya umum ke-13 baru baru ini. Walhal, hinggalah hari ini, tiada siapapun yang pernah melihat kelibat, apatah lagi bayang mereka itu. Cukup-cukuplah pembohongan, beristighfarlah banyak-banyak, Astaghfirullah-Hal Azim. Tuan Yang di-Pertua, 15. Sesungguhnya, secara sedar ataupun tidak, segala gagasan mahupun prakarsa negara ini, sejak lebih lima dekad merdeka, telah dimeterai dan dipateri oleh bapa-bapa kepimpinan terdahulu hingga kini, dengan penuh bijaksana dan berhikmah, dipasak kepada realiti, data berangka, serta komposisi kemajmukan rakyat. Makanya, bersandarkan premis yang kukuh tersebut, naskhah penting ini kita bingkiskan. 16. Sepertimana saban tahun, waktu pembentangan dokumen besar nasional ini, dipilih dan jatuhnya pada petang hari Jumaat yang mulia lagi penuh sa’adah. Sesungguhnya, bajet ini adalah yang sulung dan yang julung, dipersembahkan kepada rakyat oleh Kerajaan Barisan Nasional sesudah sekali lagi diberikan amanah dan kepercayaan. Inilah juga, bajet kali ke-lima yang direncana dan diangkat oleh saya selaku Menteri Kewangan bagi pihak Kerajaan sejak 2009.
Posted on: Fri, 25 Oct 2013 12:43:13 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015