PERJUANGAN ISLAM MEMERLUKAN NUSRAH ALLAH Allah menjanjikan - TopicsExpress



          

PERJUANGAN ISLAM MEMERLUKAN NUSRAH ALLAH Allah menjanjikan bantuannya bagi mereka yang berjuang demi agamanya. Firman Allah SWT: إِنَّا لَنَنصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الْأَشْهَادُ Sesungguhnya kami menolong rasul-rasul kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat). (Surah Mukmin: Ayat 51) Perjuangan Islam tidak akan menempa kemenangan jika tiada nusrah Allah. Sepanjang sejarah, kemenangan pejuang agama Allah sentiasa diwarnai oleh nusrah Allah SWT. Melalui nusrah Allah SWT, pasukan pejuang Islam menang walaupun jumlah mereka sedikit dan kelengkapan serba kekurangan. Tentera Talut yang sedikit dapat mengalahkan tentera Jalut yang lebih ramai berkali ganda. Allah menyebutkan perihal kemenangan tentera Talut tersebut sebagaimana firmanNya: كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah (Surah Al-Baqarah: Ayat 249) Perkara yang sama terjadi kepada tentera Islam di bawah kepimpinan Rasulullah SAW. Dalam perang badar, tentera Islam hanya 314 orang dapat mengalahkan tentera musyrikin yang berjumlah 1000 orang. Dalam perang Khandak, pasukan Ahzab yang berjumlah 10000 orang dikalahkan dengan pertolongan Allah SWT. Kita saksikan kemenangan Islam berlaku dalam situasi kontradiksi jumlah yang tidak berpihak kepada Islam. Ironinya, dalam perang Hunain, apabila tentera Islam lebih ramai daripada tentera kafir, tentera Islam pula dipukul kekalahan. Mengamati peristiwa kemenangan dan kekalahan Islam dalam sejarah, yakinlah kita bahawa Islam hanya boleh menang dengan nusrah Allah SWT. Justeru, para pejuang agama Allah hendaklah sentiasa berhati-hati dalam menggarap perjuangan agar nusrah Allah SWT tidak menyisih pergi. Para pejuang agama Allah hendaklah sentiasa memberi perhatian kepada aspek menjana nusrah di samping meneliti pembinaan tenaga manusia, kelengkapan serta strategi. Gabungan semua itu hanya akan berhasil menatijahkan kemenangan jika nusrah datang beriringan. LURUSKAN NIAT PERJUANGAN Menerjuni perjuangan perlu dipandu niat yang betul. Niat yang menyimpang membawa amal Islami bertukar menjadi amal insani. Ketika menyerahkan diri untuk menjadi soldadu perjuangan, tanyakan diri, apakah tujuannya. Adakah untuk mendapat ramai kawan? Nanti, bila berselisih faham dengan kawan, perjuangan akan ditinggalkan. Apakah untuk mengisi masa yang ketika itu lapang? Kelak bila sibuk, dengan perjuangan menjadi renggang. Apakah untuk mengejar habuan dunia? Bila habuan dunia tiada, perjuangan pun dilupa. Orang yang ikhlas disebut sebagai mukhlis. Memiliki sifat mukhlis akan membawa kepada digolongkan Allah SWT sebagai kalangan mukhlasin. Hanya orang mukhlas selamat daripada tipudaya syaitan. Untuk mendapat kedudukan mukhlas, dakilah tangga orang mukhlis. Hanya perjuangan yang dikendali oleh orang-orang yang ikhlas sahaja akan mendapat nusrah daripada Allah SWT. SABAR MENEMPUH MASA YANG PANJANG Perjuangan Islam akanmenempuh jalan panjang. Begitulah apa yang kita amati dalam sejarah. Dahulu, sebelum Kota Kostantinaple mahu ditawan tentera jihad Islam, beratus tahun rancangan diatur untuk menawannya. Tahun 1453,kota itu jatuh ke tangan khalifah Islam Muhammad Al-Fateh. Kisah gemilang ini hanya bertahan sekitar 471 tahun apabila pemerintahan Islam ranap diinjak sekularisma bikinan Mustapha Kamal Attarturk. Masa panjang mendaki kemenangan dan tempoh singkat menikmati buahnya adalah antara asam garam perjuangan Islam. Kepanjangan masa yang perlu ditempuh sebelum meraih kemenangan hendaklah dinilai secara positif. Tujuan meletakkan diri dalam perjuangan Islam bukanlah untuk mendakap titik akhir kemenangan. Kemenangan menewaskan musuh Islam bukanlah kemenangan yang sejati. Bagi pendokong perjuangan Islam, kemenangan yang sejati ialah apabila dia boleh istiqamah di atas perjuangan sehingga dia mati sementara dia kekal dengan perjuangan. Panjangnya masa sedangkan tidak juga menang hendaklah dilihat sebagai cara Allah memberikan limpah kurnia para pejuang agamanya meraih ganjaran sebanyak mungkin. Oleh itu, kesabaran menempuh jalan perjuangan akan membezakan pejuang sebenar dengan pejuang palsu. Pejuang sebenar akan bertahan, sementara pejuang palsu akan rebah tersungkur. Para Rasul Allah dan orang beriman yang terdahulu menempuh pelbagai dugaan dan cabaran dengan sabar sehingga sampai ke klimaks getir cobaan perjuangan. Allah berfirman: حَتَّى إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوا جاءَهُمْ نَصْرُنَا فَنُجِّيَ مَن نَّشَاءُ وَلا يُرَدُّ بَأْسُنَا عَنِ القَوْمِ المُجرِمِينَ Sehingga apabila para Rasul tidak mempunyai harapan lagi (tentang keimanan mereka) dan telah meyakini bahwa mereka telah didustakan, datanglah kepada para Rasul itu pertolongan kami, lalu diselamatkan orang-orang yang kami kehendaki. dan tidak dapat ditolak siksa kami dari pada orang-orang yang berdosa. (Surah Yusuf: Ayat 110) Justeru, kita para pemuda tidak perlu merintih kecewa dengan kekalahan dalam PRU13 baru-baru ini. Kita mungkin belum layak dikatakan sudah sampai ke klimaks getir cubaan perjuangan. Kita masih mampu tersenyum dan ketahanan untuk meneruskan perjuangan masih banyak. Biarlah liku-liku perjuangan panjang asalkan kita tetap istiqamah dan anggaplah kita diberi peluang oleh Allah untuk meraih pahala perjuangan berterusan dengan kekalahan tersebut. PELIHARA KETULINAN PERJUANGAN Ketulinan perjuangan hendaklah berdiri di atas manhaj perjuangan yang betul dan terpelihara daripada anasir yang merosakkannya. Semua anggota jamaah mesti peka dalam menilai antara manhaj perjuangan yang tulen berasaskan sirah perjalanan nabi kita Muhammad SAW atau manhaj perjuangan palsu yang meniti di atas jalur kepentingan politik dan peribadi. Ketulenan manhaj perjuangan dapat dikenal pasti melalui pengambilan skema amal tarbawi yang mantap melalui silibus perjuangan yang ditinggalkan oleh baginda Rasul SAW dan diperkemas kini oleh ulama al-a’milin al- mujahidin yang memimpin ummah. Suatu pencabulan terhadap manhaj perjuangan andai ia dipimpin atau digerakkan oleh individu atau mereka yang bukan sahaja jahil terhadap manhaj perjuangan an-nabawi tetapi juga bersikap negatif terhadap amal tarbawi. Lebih malang apabila perjuangan ini dipacu berlandaskan teori politik untuk mencapai matlamat tanpa berteraskan akhlak Islami. Demi memburu kemenangan dalam pilihan raya sebagai contoh, walaupun tiada siapa menafikan kemenangan itu penting namun sekali-kali kita tidak boleh meminggirkan akhlak Islami dalam percaturan politik. Tentu sahaja perjuangan Islam tidak sama dengan gerakan nasionalis atau lainnya yang tidak memiliki kamus dosa dan pahala dalam teori politik mahupun perjuangan mereka. Justeru itu kita jangan terjebak atau terpedaya dengan cara dan gaya mereka berpolitik. Politik Islam kaya dengan akhlak, moral dan prinsip yang tidak memungkinkan ia dibeli apalagi dirasuah lantaran paksinya ialah Iman dan Islam. Ketulenan manhaj perjuangan jua tidaklah dinilai semata-mata dipentas politik pilihan raya tetapi juga melihat bagaimana kita membuat keputusan jamaah, bagaimana kita memimpin jamaah dan menangani ahli, bagaimana kita beraksi di medan dakwah, bagaimana kita mendepani musuh, bagaimana kita bertahaaluf dan sebagainya. Pasti sahaja adab dan akhlak berjamaah seperti syura, dengar dan taat, thiqah, istiqamah, wala’, ukhuwwah, ikhlas dan lainnya mewarnai diri, sikap dan aksi kita sebagai seorang pejuang. Kita adalah “Sebuah Gerakan Islam”. Ini satu realiti yang mesti direalisasikan terutama kepada mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin jamaah walau di mana posisinya. Bahkan apa pun kepentingan yang kita mahu capai dalam strategi berpolitik dan bergerak memimpin perjuangan ini, kita tidak boleh mencairkan nilai atau nilai standard bagi sebuah gerakan Islam. Strategi itu benar dan wajar sebagaimana berpolitik itu adalah hak dan amanah perjuangan. Tetapi, ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara. Jangan kita abaikan ketulenannya semata-mata mahu melihat strategi kita berjaya dan politik kita menang. Menang tidak bererti benar dan kalah tidak bermakna salah. Justeru itu awas jangan palsukan manhaj perjuangan suci ini. Pemalsuan manhaj perjuangan adalah satu jenayah!Ia menghalau nusrah Allah SWT. JAGALAH MAIZAH (ميزة) SEORANG AHLI GERAKAN Maizah adalah ciri istimewa. Para pemuda gerakan Islam perlu mempunyai maizah kerana Rasulullah SAW sering menekankanpentingnya memiliki maizah. Maizahakan membezakan seorang muslim dengan seorang kafir. Dalam keluarga besar Islam, maizah gerakan akan membezakan antara seorang anggota gerakan dengan seorang muslim biasa yang menyisih dari gerakan. Seharusnya, seorang anggota gerakan memiliki ciri-ciri tersendiri yang tidak dimiliki oleh orang yang tidak terlibat dengan gerakan. Seorang pemuda gerakan akan menanggung amanah besar buat ummat ini. Selain tugasnya memperjuangkan Islam untuk diletakkan pada maqam yang tinggi, pemuda gerakan juga mempunyai tanggungjawab mempamirkan sifat seorang muslim sejati yang istimewa. Saya mencadangkan setiap anggota gerakan ini membina maizah diri dengan mempertingkatkan hal-hal berikut: 1) Mangamalkan zikir dan wirid ma’thur dari bimbingan sunnah baginda Rasulullah SAW. Dalam hal ini, ahli gerakan sudah lama diajar agar mengamalkan wirid-wirid ma’thurat yang disusun oleh As-Shahid Imam Hasan Al-Banna 2) Istiqamah menjaga solat lima waktu berjemaah. 3) Menjadi pendamping Al-Quran dengan selalu membacanya dan mentadabburnya. 4) Sentiasa bangun solat tahajjud. 5) Komited dengan agenda tarbiah Jemaah seperti usrah, tamrin, kuliah, jaulah dan sebagainya. 6) Mudawamah solat subuh berjemaah di masjid. 7) Menguasai ilmu-ilmu Islam melalui talaqqi, membaca, mendengar ceramah, berdiskusi dan sebagainya 8) Menjaga kesihatan jasmani untuk berjuang dengan tangkas. 9) Sentiasa peka dengan perkembangan semasa sama ada dalam Negara atau luar Negara. 10) Lemah lembut dalam tutur kata dan menjaga akhlak perilaku. 11) Memperkukuhkan ekonomi diri agar lahir sebagai anggotak gerakan yang mempunyai izzah melalui sumbangan kepada jemaah. 12) Menjalani gaya hidup orang soleh; berkawan dengan kawan yang soleh, jauhi perbuatan merokok, melepak berbual kosong dan individualistic. Banyak lagi maizah yang boleh kita tampilkan sebagai seorang anggota gerakan Islam. Apa yang penting, janganlah antara seorang ahli gerakan dilihat sama sahaja dengan yang tidak berada dalam gerakan. Paling malang kalau ahli gerakan Islam dilihat lebih lekeh dan leceh berbanding mereka yang tidak terlibat dalam jemaah dan gerakan. Apakah layak bahtera perjuangan dipacu oleh orang-orang yang lekeh?
Posted on: Fri, 06 Sep 2013 13:06:00 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015