PERUTUSAN YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUL - TopicsExpress



          

PERUTUSAN YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUL RASUL 1435H Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat meraikan sambutan Maulidul Rasul pada tahun 1435H bersamaan tahun masihi 2014. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang merupakan Penghulu segala Rasul dan pembawa rahmat ke seluruh alam. Sesungguhnya baginda Rasullullah adalah pemimpin ummah, pencetus perpaduan dan penyuluh kegelapan. Sambutan Maulidur Rasul merupakan salah satu cara umat Islam menunjukkan sanjungan serta kasih sayang terhadap perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW. Tidak pernah kenal erti penat, gentar jauh sekali dibelenggu rasa kecewa, Nabi Muhammad SAW berdakwah mengembangkan ajaran Islam dalam keadaan serba kekurangan. Jasa baginda tidak terbilang lantaran berjaya membawa sinar Islam ke seluruh pelusuk alam. Umat Islam kini berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk mengekalkan kemuliaan Islam berpandukan al-Quran dan Al-Sunnah. Banyak kekeliruan mengenai agama Islam termasuk dalam hal-hal berkaitan akidah tercetus sehingga menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam sendiri. Cabaran ini hanya dapat diatasi jika umat Islam mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, bersatu menguatkan barisan dan mengukuhkan keimanan serta ketakwaan kepada Allah S.W.T. Umat Islam mesti memiliki kekuatan iman dan takwa, ekonomi dan teknologi, sosial dan politik untuk menjadi umat yang berjaya di dunia dan akhirat. Contohilah sifat-sifat terpuji Rasulullah S.A.W yang sentiasa beriman dan bertakwa kepada Allah S.W.T serta cekal menghadapi cabaran dalam memartabatkan kemuliaan Islam. Sebab itu tema sambutan Maulidul Rasul 1435/2014 iaitu Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah menjadi pilihan supaya kita umat Islam menjadi umat yang terbaik dan adil. Usaha ini tentunya bukan sesuatu yang mustahil kerana Rasulullah S.A.W sendiri pernah berjaya membimbing masyarakat jahiliah sehingga menjadi umat yang terbaik. Resipinya tentulah tidak lain dan tidak bukan dengan menjadikan wahyu yang diturunkan Allah S.W.T menerusi Rasul-Nya sebagai panduan lantaran wahyu itu sentiasa menepati kehendak zaman biar pun diturunkan berkurun yang lalu. Pada hari kita menyambut Maulidur Rasul ini, maka peringatkanlah diri kita sejauh mana kita telah berpegang kepada ajaran Islam. Adakah kita telah menjadikan perjuangan Rasulullah S.A.W sebagai panduan hidup kita terutamanya dalam memelihara penyatuan ummah di negara ini dan juga dalam memastikan Islam menjadi agama yang dihormati. Jika kita sedar tanggungjawab kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W maka tentu sekali sambutan pada hari ini akan menjadi lebih bermakna. Akhir kata marilah kita manfaatkan kesempatan menyambut Maulidul Rasul ini untuk melipatgandakan usaha menjadi umat yang terbaik dan adil dalam apa jua yang kita laksanakan. Semoga usaha kita memartabatkan Islam ke kedudukan paling tinggi dan mulia akan membuahkan hasilnya dan penyatuan ummah dapat direalisasikan. TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN Timbalan Perdana Menteri Malaysia
Posted on: Mon, 13 Jan 2014 11:51:43 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015