PKR menggesa Putrajaya menurunkan harga kereta kerana Malaysia - TopicsExpress



          

PKR menggesa Putrajaya menurunkan harga kereta kerana Malaysia adalah negara kedua tertinggi di dunia dengan harga kereta termahal dan mendakwa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) menambah bebanan rakyat dengan kenaikan harga minyak baru-baru ini. Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli (gambar), berkata kerajaan tidak adil kepada rakyat Malaysia kerana ketika ini harga kereta tinggi akibat cukai melampau dan pada masa sama rakyat terpaksa membayar harga minyak yang mahal. "Struktur cukai kereta yang melampau tingginya menyebabkan rakyat Malaysia terpaksa membayar harga lebih kurang satu kali ganda lebih mahal berbanding rakyat negara lain. "Sebab itu rakyat tidak boleh berkompromi apabila Barisan Nasional menaikkan harga minyak kerana ia tidak adil di kala cukai yang dikenakan ke atas kereta adalah antara yang tertinggi di dunia," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini. Ahli Parlimen Panda itu juga mengecam kerajaan kerana sering memberi alasan kononnya harga pasaran dunia yang tinggi sebagai punca menaikkan harga minyak tetapi enggan mengikut harga pasaran kereta dunia. "Barisan Nasional sering mengungkit kononnya rakyat Malaysia tidak membayar harga pasaran bagi seliter petrol atau diesel, lalu dijadikan alasan untuk menaikkan harga minyak. "Sebaliknya Barisan Nasional tidak pula mahu menurunkan harga kereta supaya rakyat Malaysia juga membayar harga pasaran bagi sebuah kereta, seperti mana rakyat negara lain," katanya. Rafizi berkata, sebanyak 70 peratus daripada keluarga di Malaysia yang berpendapatan bawah RM5,000 membayar lebih banyak cukai dan tol berbanding jumlah subsidi minyak yang diperolehi. "Barisan Nasional mencukai rakyat Malaysia dalam bentuk duti eksais kereta sebanyak RM300 sebulan sedangkan subsidi minyak yang diterima hanyalah RM189 sahaja bagi setiap isirumah purata," katanya yang mengganggarkan rakyat Malaysia terpaksa membayar duti eksais kereta dan bayaran faedah ke atas duti eksais kereta sebanyak RM3,565 setahun. Pada 2 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, bagi memastikan sasaran kerajaan untuk mencapai defisit fiskal dalam lingkungan 3% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 dan bajet berimbang menjelang 2020. Langkah itu mendapat sokongan pakar ekonomi yang menyifatkannya sebagai baik bagi menangani hutang kerajaan yang semakin meningkat, iaitu ketika ini berada pada paras 53.5 peratus berbanding KDNK pada hujung tahun lalu. Kali terakhir minyak petrol RON95 dan diesel dinaikkan adalah pada 2010, sebanyak 5 sen seliter.
Posted on: Sat, 14 Sep 2013 20:30:52 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015