PUISI: Catatan Kembara (Sempena merentas tanah Hong Kong dalam - TopicsExpress



          

PUISI: Catatan Kembara (Sempena merentas tanah Hong Kong dalam keterasingan mencari diri) SMAHADZIR i Di Century Hotel, Steward Road, keasingan memagut, bergelut kepayahan yang padat, seharian di kota Hong Kong, tiada bertamu suara muadzin, (seperti di rumahku di Banting), di ruang lobi kutemui warganya – gila segala, keramahan berkubur sepi dalam lingkar diri, yang angkuh dan pongah, kalut menjengah, bersesak gelisah resah menyemarak gundah, di perut tram ke Ammar – aku merungut sendiri, jauhnya masjid di sini. Setiba langkah di Ammar – hati sedikit ria, ramai juga mukmin di sini, kendati tidak sebangsa, bersatu dalam saf yang padu, mengadap Khalik yang satu, satu kalimah berpadu dalam syahadah yang jitu. Osman Ramju Saddick: nama gemilang di tugu megah, membangun Ammar tidak berkubah, memeriah laungan hikmah, penyatuan sesama ummah. ii Di bawah sinar terik yang menyala segenap arah, Hong Kong lebih resah, membuak rusuh, kerana siang di Lei Tue Mun, warganya gagah mengaut rezeki, dari titis peluh hangat dibakar mentari, tanpa peduli. Wajah Tai Fu Tai – digarap indah, tanah liat polikrom di cucur atap, berbumbung sampan terserlah, 1865 tercatat sejarah. Tsim Sha Sui lebih meriah, taman inderaloka membeli belah; penawar jika berada, racun sebaliknya, sergahannya keras menyinggah, menggugah pasrah. Di Cheuk Lam Sim Yuan, jiwa dipeluk kagum, biara bambu hutan, tersergam di depan mata, Ngong Ping penyaksi diri, biara Poh Lin bersalut gangsa, aku bungkam tanpa suara, Tiger Balm terbina taman, Aw Boon Haw sarat ditandang, kelih pagoda dan patung buatan, legenda Tao-Buddha sejak berzaman. iii Malam siang sama saja, Hong Kong tidak berubah, penghuninya tetap gelisah, segenap langkah menerjah tidak berarah, bertandang ke Aberdeen, kecerahan malam terserlah, jutaan neon mendakap Shum Wan – seluruh juzuk, makanan terhidang membuka selera, alun air mencecah resah, tanah Hakka dan Tanka – jeluku menjelma, (di sini, sepi mendakap diri, kemeriahan dirasakan mati, rindu bertamu, terkenang anak isteri, yang jauh di tanah nusa tercinta, entah nasi berlauk apa, alangkah seronoknya jika mereka bersama, gesit pagi kutandangi Hermes House, Middle Road, sekeping poskad diutuskan, kuntuman bunga rindu terlerai di situ) iv Pulau Lamma – riang bertandang, pantainya panjang, pasir putih, menganjur tenang, hati sentosa, damai seiring Cheung Chau yang permai, di Hollywood Road – laman Man Mo kusinggah langkah, siling kanopi lingkaran dupa, atas terpaku nyata memukau pesona, Dewa Perang, Mo, Dewa Sastera – melayah depan mata. Cat Street cantik dan curious, dibuai gemalai seni ukiran, celah jalan bertangga, erat budaya bangsanya, nelayan Tai O Pulau Lantau, makan tidur atas sungai, puncak Lok Ma Chau kukelih indah, Sungai Shenzhen nampak berbalam, (wajah Victoria tiba-tiba menerpa menggayut di cepu kepala) Yau Ma Tei – sinar jed menggoda mata, Wong Tai Sin nama dewa – seni bina Cina paling popular, Teluk Repulse luar biasa, berdiri gagah penyelamat nyawa, Kwam Yum, Tin Hau – dewa pelindung di sini ada. v Berharian ini Hong Kong penyaksi langkahku, antara gundah dan meriah, antara rindu dan resah, dan Hong Kong tetap begitu, kota bercelaru. Hari akhir di Shelly Street, bersolat di sini, secebis keinsafan bermukim di hati. Century Hotel, Steward Road, Kowloon, Hong Kong Julai 1998
Posted on: Thu, 24 Oct 2013 21:28:21 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015