Parti Perpaduan Sokong Pendirian BN Berhubung Chin Peng: KOTA - TopicsExpress



          

Parti Perpaduan Sokong Pendirian BN Berhubung Chin Peng: KOTA KINABALU, 23 Sept – Parti politik yang baharu didaftarkan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah hari ini menyatakan sokongan terhadap keputusan tegas kerajaan Barisan Nasional untuk tidak membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia. Presiden protem Jack Giau berkata ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani isu itu harus disokong oleh semua rakyat Malaysia kerana negara ini berhabis berbilion ringgit dalam perang gerila menentang Chin Peng dan komradnya daripada Parti Komunis Malaya. “Walaupun Sabah tidak pernah diancam secara langsung oleh komunis seperti Sarawak, apabila Sabah menyertai Malaya, Singapura dan Sarawak bagi membentuk Malaysia pada 1963, secara tidak langsung Sabah juga menyumbang kepada perjuangan menentang komunis,” katanya dalam kenyataan di sini. Katanya rakyat juga harus mengingati kematian ribuan anggota pasukan keselamatan termasuk anggota renjer dari Sarawak dalam serangan komunis di bawah Chin Peng. “Kegemilangan komunis di bawah pimpinan Chin Peng diingati sebagai zaman gelap dalam sejarah kita. Kita sebagai generasi muda jangan sesekali ambil mudah akan kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi,” katanya. Pada masa sama beliau berkata parti itu tidak bersetuju dengan cadangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) agar nama Chin Peng dipadamkan terus daripada sejarah. “Kita tidak boleh buat begitu. Kami mahu rakyat tahu sejarah sebenar mengenai Chin Peng,” katanya Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hwa, 90, dilapor meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok, Thailand pada 16 Sept lalu akibat sakit tua. Pada hari sama, Najib mengumumkan pendirian kerajaan untuk tidak membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke negara ini. dlvr.it/41PB66
Posted on: Mon, 23 Sep 2013 11:45:33 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015