Pembentukan budaya kerja mengikut cara Islam RUANG lingkup - TopicsExpress



          

Pembentukan budaya kerja mengikut cara Islam RUANG lingkup ibadat dalam Islam amat luas dan ia merangkumi setiap kegiatan kehidupan manusia. Setiap kegiatan yang dilakukan baik berkaitan individu mahupun masyarakat adalah ibadat menurut Islam selagi memenuhi syarat tertentu. Syarat itu ialah: Amalan yang dikerjakan hendaklah diakui Islam, bersesuaian dengan hukum syarak dan tidak bercanggah dengan hukum itu. Amalan yang melanggar syariat Islam dan ada hubungan dengan yang haram, tidaklah sekali-kali dianggap sebagai ibadat. Amalan itu dibuat dengan niat baik bagi memelihara kehormatan diri, menyenangkan keluarganya, memberi manfaat kepada umat seluruhnya dan memakmurkan bumi, sebagaimana dianjurkan Allah. Amalan itu dilaksanakan seelok-eloknya bagi menepati apa yang ditetapkan oleh Rasulullah. Sabda Baginda, yang bermaksud : Bahawa Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya. (Hadis riwayat Muslim) Amalan itu dilakukan dengan menurut hukum syarak dan ketentuan batasnya, seperti tidak menzalimi orang lain, tidak khianat, tidak menipu dan tidak menindas atau merampas hak orang. Amalan itu dikerjakan dengan tidak mencuaikan ibadat khusus seperti solat, zakat dan berpuasa wajib pada Ramadan. Ini dijelaskan dalam firman Allah, bermaksud : Wahai orang beriman, janganlah harta-harta dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah, barang siapa berbuat demikian, maka mereka sebenarnya orang yang rugi. (Surah al-Munafiqun, ayat 9). Oleh itu, apabila seseorang mukmin dapat menyempurnakan kelima-lima syarat di atas semasa mengendalikan segala pekerjaan dan urusan kehidupannya, dia akan dianggap sentiasa beribadat kepada Allah, meskipun tidak duduk dalam masjid ketika melakukan kerja itu. Secara umumnya, budaya kerja membicarakan mengenai aliran pemikiran, perasaan dan cara sesebuah masyarakat menjalankan kerja. Budaya kerja yang menepati falsafah dan nilai etika Islam akan melahirkan ciri-ciri berikut dalam susunan dan pelaksanaan tugas sesebuah masyarakat. Pertama, oleh sebab pekerjaan dianggap sebagai satu tuntutan keagamaan dan ibadat, maka organisasi dan pekerja Muslim sewajarnya sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti prestasi pekerjaannya. Kualiti prestasi pekerjaan adalah nilai positif yang sentiasa boleh dimajukan. Ia adalah usaha berterusan untuk semua lapisan masyarakat Islam. Budaya kerja Islam membina kekuatan melalui mekanisma dalaman (built-in mechanism) iaitu menjadikan usaha dan menjalankan pekerjaan sebagai satu tuntutan keagamaan. Dengan ini, jelas bahawa keimanan dan prestasi pekerjaan mempunyai hubungan yang rapat. Bagi seseorang pekerja Muslim yang menghayati Islam, dia seharusnya turut berusaha meningkatkan prestasi kerjaya dari semasa ke semasa. Mekanisma dalaman ini sepatutnya menjadi dorongan dan motivasi bagi setiap pekerja Muslim. Bagaimanapun, menurut realiti semasa, pekerja Muslim tidak memahami Islam secara menyeluruh dan melihat amalan bekerja sebagai sesuatu yang terpisah daripada agama. Kedua, menepati semangat tauhid yang menganjurkan supaya faktor dalam diri manusia disatukan. Ini bererti, setiap pekerja Muslim perlu menjaga dan meningkatkan akhlak dirinya dalam menjalankan amanah pekerjaannya. Peningkatan prestasi kerja seharusnya disusuli oleh peningkatan akhlak pekerja. Islam melihat tuntutan akhlak sebagai sesuatu yang bersifat positif dan dinamik. Akhlak membentuk sikap dan daya penggerak yang positif kepada kemajuan pekerjaan dari semua dimensi. Oleh itu, Islam menuntut umatnya supaya sentiasa bersifat kreatif dan bersikap proaktif. Tanpa akhlak yang mulia dan budi pekerti yang tinggi, prestasi kerja akan mengalami kemelesetan. Ketiga, budaya kerja Islam memberikan penekanan yang tinggi terhadap disiplin. Umat Islam sepatutnya melalui penghayatan ibadat khusus, seperti solat, puasa, zakat dan haji memiliki disiplin yang tinggi. Tanpa amalan disiplin yang tinggi, masyarakat akan menghadapi krisis kemanusiaan. Sebagai contoh, Islam memberikan perhatian khusus tentang pengurusan kuasa, masa dan sumber. Islam mengutuk dengan sekeras-kerasnya golongan yang tidak menggunakan kuasa dengan berkesan dan tidak menghormati masa (Surah al-`Asr). Begitu juga dengan penggunaan sumber alam yang lain. Allah menyamakan amalan manusia yang membazir dengan amalan syaitan. Keempat, budaya kerja Islam menepati semangat tauhid yang menganjurkan kesatuan dalam matlamat dan penghayatan syura dalam masyarakat. Sehubungan itu, Islam menganjurkan budaya kerja secara bermuafakat dan berpasukan. Keberkesanan dalam menjalani pekerjaan, akan tercapai melalui semangat bekerja secara bermuafakat dan berpasukan. Kesimpulannya, kita boleh katakan budaya kerja dalam Islam mempunyai kaitan yang rapat dengan semangat pengabdian manusia yang sepenuhnya kepada Penciptanya iaitu Allah. Asasnya ialah tauhid dan pendekatan ini sesuai dengan nilai kemanusiaan. Islam berkeyakinan bahawa semua urusan manusia termasuk menjalankan tugas atau pekerjaan akan membawa hasil cemerlang dan berkekalan jika menepati nilai kemanusiaan. Justeru, penghayatan nilai tauhid menepati nilai kemanusiaan. Fitrah kemanusiaan ialah nilai yang berkekalan selagi manusia tetap manusia. Jika perlu, penyusunan dan teknik menjalankan sesuatu pekerjaan yang dinamik dan bersesuaian dengan perubahan masa serta tempat perlu dipelajari dari bangsa yang maju serta diubahsuai menurut kaedah tempatan. Penghayatan nilai murni dan etika kerja dalam pekerjaan adalah pendekatan yang dinamik dan akan terus relevan dengan usaha manusia.
Posted on: Mon, 11 Nov 2013 03:13:06 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015