Peranan Keluarga Di Dalam Kehidupan Insan Saudara-saudara - TopicsExpress



          

Peranan Keluarga Di Dalam Kehidupan Insan Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Di hari Jumaat yang penuh berkah ini, marilah kita kukuhkan lagi ikatan ketakwaan kita dengan Allah s.w.t. Marilah kita berusaha sedaya mungkin bagi melaksanakan segala titah perintah Allah, dan menjauhi perkara-perkara yang ditegah olehNya. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, Apakah perasaan kita apabila melihat senyuman dan mendengar tawa dan sorak riang ahli keluarga kita? Apakah yang kita rasakan ketika kita bersiar-siar ataupun bergurau dengan mereka? Apakah yang kita alami ketika kita mengadu kepada pasangan, orang tua mahupun anak-anak kita apabila kita menghadapi masalah? Jawapnya, ketenangan, kebahagiaan, keamanan dan kegembiraan. Itulah juga tujuan yang diinginkan Allah s.w.t. untuk kita tatkala kita mula membina mahligai pernikahan. Sepertimana yang difirmankan Allah s.w.t. di dalam surah Ar-Rum ayat 21, Allah s.w.t. berfirman: Yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu perasaan kasih sayang dan rahmah. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi kaum yang berfikir. Saudara hadirin yang dirahmati Allah, Keperluan kepada teman hidup merupakan keperluan asasi insan. Allah s.w.t. menciptakan manusia berpasangan. Diciptakan Hawa a.s. sebagai pasangan kepada Nabi Adam a.s. Dianugerahkan mereka dengan perasaan kasih dan sayang yang menjadi asas kepada pembentukan keluarga sakinah. Rumahtangga yang dibina oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. merupakan sebuah rumahtangga yang menjadi sumber kekuatan jiwa dan emosi. Suasana kekeluargaan yang dibina Baginda s.a.w merupakan persekitaran yang memberikan ketenteraman kepada hati dan minda. Lihat sahaja ketika mana Rasulullah s.a.w. pertama kali menerima wahyu langsung daripada Malaikat Jibril dan emosi Baginda ketika itu menjadi kacau dan kebingungan. Dalam keadaan itu, Nabi s.a.w. tidak berjumpa dengan teman rapatnya, akan tetapi Baginda s.a.w bergegas ke kediamannya untuk mendapatkan Saidatina Khadijah r.a. Beliau menceritakan kepada Saidatina Khadijah apa yang dihadapinya. Ini merupakan peringatan buat kita saudara, betapa pentingnya pasangan dan keluarga itu sebagai teman, penyokong dan penasihat kita ketika berhadapan masalah. Kini kita dapati bahawa orang lebih senang meluahkan masalah dan cabaran kita dengan kenalan-kenalan di Facebook atau Twitter sedangkan keluargalah seharusnya menjadi sumber utama rujukan dan kekuatan mereka. Dari episod ini juga kita melihat bagaimana Khadijah r.a. memberi sokongan kepada suaminya. Ini beliau lakukan dengan menenangkan fikiran dan emosi Baginda s.a.w. Beliau juga meyakinkan Baginda s.a.w. dengan memberi kata-kata perangsang, lalu berusaha bersama untuk mencari huraian kepada apa yang dihadapinya bersama. Inilah kepentingan dan keperluan institusi keluarga. Ketika kita berada pada saat-saat yang paling mencabar dalam kehidupan, amat sedikit teman dan taulan yang akan bersama. Keluargalah merupakan tiang sandaran utama kerana air yang dicincang tidak akan putus. Maka pastikanlah kita memelihara hubungan kekeluargaan kita sama ada antara pasangan, orang tua mahupun adik beradik meskipun kita telah membina keluarga sendiri. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Memiliki keluarga yang dihiasi dengan mawaddah dan rahmah sememangnya menjadi idaman setiap individu. Menjadi tanggungjawab kita khususnya sebagai suami dan bapa untuk menjadi pembimbing rumahtangga. Kita bertanggungjawab memastikan agar keluarga yang kita bina berada diatas landasan takwa dan ia kekal sebagai sistem sokongan dan sumber kebahagiaan. Banyakkanlah berdoa sepertimana yang dianjurkan Allah di dalam surah Al-Furqan, ayat 74: Yang bermaksud: Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. Ayat ini mengingatkan kita bahawa setiap anggota keluarga memainkan peranan penting dalam menjana kebahagian institusi keluarga. Kita harus memastikan bahawa anak-anak kita terus merasakan kehangatan kasih sayang dan kebahagiaan keluarga. Janganlah kita biarkan tekanan di tempat kerja dan di luar rumah itu menjejas suasana kemesraan di dalam hubungan kita dengan anak-anak. Lebih-lebih lagi kita ini sebagai bapa. Peranan bapa sebagai pembimbing yang mendisiplin anak, membangun keyakinan diri dan jati diri anak adalah antara resepi keluarga yang berdaya tahan. Al-Quran, banyak menyajikan kisah perbualan dan perbincangan antara seorang bapa dan anak. Lihat sahaja contoh seperti kisah Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s., Nabi Yaakob a.s. dan anaknya Nabi Yusuf a.s, dan antara Luqmanul Hakim dengan anaknya. Tidak kira sepenat mana pun kita sebagai bapa pastikan kita mempunyai masa untuk mengambil tahu perkembangan anak-anak kita. Apakah kita sebagai para bapa telah mengamalkan sunnah memberi pesanan dan peringatan kepada anak-anak kita? Ataupun kita ini masih sahaja membiarkan tugas ini dilaksanakan oleh isteri kita sahaja? Sebagai bapa, kita tidak harus segan di dalam melahirkan kasih sayang kita kepada anak-anak. Jika kita tidak terbiasa dengan kata-kata yang dilafazkan, kita boleh sahaja mulakan dalam bentuk SMS ataupun mesej. Kata-kata daripada seorang ayah itu adalah tidak kurang bernilai dan meninggalkan kesan kepada emosi dan pemikiran anak-anak kita secara psikologi. Pastikanlah juga saudara untuk mengekalkan kebahagiaan dalam keluarga, kita berlaku adil dan tidak berat sebelah di dalam kasih sayang kita terhadap anak-anak. Nabi s.a.w. pernah berpesan: Yang bermaksud: Bertakwalah kamu kepada Allah, dan berlaku adillah diantara anak-anakmu. ([Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim] Sesunguhnya zuriat yang dikurniakan kepada kita adalah amanah dari Allah s.w.t. Menjadi kewajipan kita untuk menyediakan persekitaran keluarga yang sakinah dan penuh ketenangan. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Kita bakal melangkah ke tahun 1435 hijriah, satu lagi lembaran baru yang bakal kita buka bersama, InsyaAllah. Oleh itu, marilah kita tanamkan iltizam agar tahun yang baru ini bakal memberikan kebahagian dan ketenteraman jiwa, minda dan emosi kepada keluarga kita. Mudah-mudahan Allah s.w.t. memperkukuhkan terus ikatan kekeluargaan kita sehingga mendapat keredhaanNya. Amin ya rabbal alamin.
Posted on: Fri, 01 Nov 2013 08:54:47 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015