Peruntukan Tambahan RM 1 Bilion Ganti Bangunan Sekolah Daif Di - TopicsExpress



          

Peruntukan Tambahan RM 1 Bilion Ganti Bangunan Sekolah Daif Di Sabah, Sarawak Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1 bilion sebagai peruntukan tambahan untuk membina bangunan baharu bagi menggantikan bangunan sekolah yang daif di Sabah dan Sarawak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata sebahagian besar daripada kira-kira 600 buah bangunan sekolah yang dikategorikan sebagai cukup daif di negara ini terletak di Sabah dan Sarawak. Kita sudah mengenal pasti (bangunan sekolah yang perlu dibina semula), cumanya kita memerlukan masa dan peruntukan yang lebih sedikit kerana untuk setiap sekolah kita perlu berbelanja di antara RM15 juta ke RM20 juta minimum dan jumlah ini agak besar, katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Kenduri Rakyat di perkarangan Masjid Darul Taqwa di sini, Jumaat. Sebelum itu Timbalan Perdana Menteri bersama-sama Menteri Tugas-Tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan. Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata kebanyakan bangunan sekolah ini hampir tumbang kerana kedudukannya yang berhampiran dengan sungai dan membahayakan keselamatan pelajar-pelajarnya. Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan perlu mengambil kira kesesuaian tapak untuk membina bangunan baharu sekolah yang terbabit selain mengadakan penempatan sementara pelajar yang terjejas. Beliau berkata kerajaan turut mengambil perhatian tentang keperluan bangunan asrama khususnya untuk pelajar di sekolah-sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak. Kita tidak boleh menampung (semua permintaan untuk pembinaan asrama) kecuali ada keperluan yang mendesak kerana mereka tinggal di tempat yang agak jauh dan perlu berjalan berjam-jam (untuk sampai ke sekolah), kata Muhyiddin. Beliau turut berharap lebih banyak lagi syarikat swasta akan tampil menunaikan tanggungjawab sosial korporat mereka untuk menyediakan kemudahan tempat tinggal untuk pelajar-pelajar miskin di luar bandar. Kalau ada pihak swasta yang sanggup melakukan begitu dapatlah juga meringankan beban (kerajaan untuk menyediakan kemudahan tempat tinggal untuk pelajar sekolah luar bandar), katanya. Terdahulu semasa menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Lundu di sini, Muhyiddin mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk membaik pulih bangunan Sekolah Kebangsaan Bumiputera Lundu di sini. Program beliau di sini merupakan sebahagian daripada lawatan kerja selama tiga hari ke Sarawak dari Rabu lepas. Semalam Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng mengurniakan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak kepada Muhyiddin yang membawa gelaran Datuk Patinggi. Selain itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengadakan perjumpaan khas tertutup dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional Sarawak selain mengadakan kunjungan mesra di sebuah pusat peruncitan di sini. Muhyiddin berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang ini.
Posted on: Fri, 14 Feb 2014 09:10:01 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015