Rugi RM20,000 rumah dipecah masuk HULU TERENGGANU - Seorang - TopicsExpress



          

Rugi RM20,000 rumah dipecah masuk HULU TERENGGANU - Seorang peniaga di Kampung Bukit Tadok, Telemong berputih mata menanggung kerugian dianggarkan bernilai RM20,000 setelah rumahnya dipecah masuk pencuri dipercayai berlaku antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, kelmarin. Menurut sumber, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 44 tahun itu keluar membeli barang di Bukit Payung, Marang manakala isteri serta anaknya juga tiada di rumah. “Terdahulu, isteri mangsa keluar rumah sementara anaknya pula ke sekolah. Isteri mangsa terkejut sebaik pulang ke kediaman mereka apabila mendapati keadaan rumah berselerak selain terdapat kesan pintu yang dipecahkan. Isteri mangsa kemudiannya menghubungi mangsa memaklumkan kejadian berkenaan. Sebaik sampai di rumah, mangsa turut membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati pelbagai barang berharga seperti gelang tangan emas, komputer riba serta wang tunai lesap," katanya. Dalam kejadian itu, kerugian dianggarkan RM20,000. Siasatan awal mendapati, suspek memecah masuk rumah mangsa melalui pintu belakang ketika mangsa serta ahli keluarga tiada di rumah. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Telemong. “Malah, dipercayai suspek tersebut juga sanggup mengharungi sungai untuk ke rumah mangsa berbanding jalan darat bagi mengelak perbuatannya disedari penduduk kampung,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.
Posted on: Mon, 05 Aug 2013 08:11:17 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015