Sakit girdel pelvis Apakah yang berlaku kepada pelvis semasa - TopicsExpress



          

Sakit girdel pelvis Apakah yang berlaku kepada pelvis semasa hamil? Semasa hamil, badan anda menghasilkan sejenis hormon yang dipanggil relaksin (relaxin). Relaksin melembutkan ligamen-ligamen (tisu-tisu kuat dan fleksibel yang menyambungkan tulang-tulang anda) dalam pelvis dan sendi-sendi lain. Ini membantu bayi keluar daripada pelvis semasa dilahirkan. Akibatnya, sendi-sendi ini lebih banyak bergerak semasa hamil dan sejurus selepas melahirkan. Apakah yang menyebabkan kesakitan pelvis? Dikatakan bahawa pelembutan ini serta perubahan yang berlaku dalam badan anda boleh memberi terlalu banyak tekanan kepada sendi, ligamen dan otot pada pelvis anda. Perubahan-perubahan ini termasuklah perubahan postur, kekuatan otot dan cara sendi kanan dan kiri pelvis anda bekerja. Dalam keadaan normal, apabila anda berbaring, berdiri atau berjalan, pelvis anda berada dalam posisi terkunci atau stabil. Wanita yang mengalami kesakitan pelvis dikatakan melakukan aktiviti-aktiviti tersebut dengan pelvis yang kurang stabil atau tidak terkunci. Akibatnya, kesakitan atau bengkak akan berlaku. Kira-kira separuh daripada semua wanita hamil dan kira-kira satu perempat wanita yang pernah melahirkan dikatakan mengalami sakit belakang atau sakit pada bahagian pelvis semasa hamil. Apa itu sakit girdel pelvis (PGP)? Kesakitan yang berlaku pada belakang pelvis dikenali sebagai sakit girdel pelvis (pelvic girdle pain - PGP). Ia juga dikenali sebagai sakit sendi sakro-iliak (sacro-iliac joint - SIJ) kerana sakro-iliak ialah nama sendi di mana masalah ini bermula. PGP sering disalah diagnos sebagai skiatika (sciatica). Hanya sebilangan sahaja wanita, iaitu satu peratus sahaja, yang mengalami skiatika semasa hamil. Kini kita tahu bahawa kebanyakan sakit belakang atau kaki semasa hamil ialah PGP. Jika anda rasa sakit pada atau sekitar tulang pubis di bahagian hadapan, anda mungkin mengalami simfisis pubis disfungsi (SPD), iaitu masalah berkaitan ligamen pada bahagian lain di pelvis anda. Apakah simptom-simptom PGP? Kesakitan biasanya berlaku pada satu bahagian sahaja dan mungkin tertumpu pada bahagian punggung. Kesakitan ini mungkin beralih dari satu bahagian ke satu bahagian atau disertai dengan sakit belakang yang umum atau sakit pada bahagian hadapan pelvis. Anda mungkin rasa ngilu pada bahagian punggung atau belakang kaki. Anda juga mungkin rasa sakit pada bahagian paha. Satu atau kedua-dua kaki mungkin rasa lemah dan anda mungkin tidak dapat mengangkat kaki, terutamanya apabila sedang berbaring. Apakah yang membuatkan kesakitan itu bertambah teruk? Kesakitan ini biasanya bertambah teruk apabila anda berbaring menelentang, mengalihkan badan semasa di katil, berjalan dan berdiri daripada keadaan duduk. Ia biasanya lebih teruk pada waktu malam, lebih-lebih lagi jika anda sangat aktif pada waktu siang. Anda mungkin rasa sakit walaupun sekadar mahu meregangkan kaki, terutamanya jika anda sedang duduk atau berbaring. Dalam peringkat kehamilan manakah PGP biasanya berlaku? PGP boleh bermula seawal trimester pertama atau selewat beberapa hari terakhir sebelum anda bersalin. Jika kesakitan ini datang pada penghujung kehamilan, ia mungkin disebabkan oleh kepala bayi yang sudah terkunci atau turun masuk ke pelvis. Jika ini berlaku, biasanya anda tidak akan mengalami kesakitan selepas melahirkan. Jika anda mengalami PGP semasa hamil, anda mungkin akan mengalaminya lagi dalam kehamilan seterusnya, dan tanpa rawatan ia mungkin lebih teruk. Pakar-pakar kesihatan menasihatkan supaya menunggu sehingga simptom-simptom daripada satu kehamilan hilang sebelum cuba untuk hamil lagi. Bagaimanakah PGP didiagnos? Masalah PGP masih belum difahami secara meluas. Doktor atau ahli fisioterapi anda mungkin memberitahu bahawa anda mengalami skiatika. Jika anda berjumpa dengan ahli kiropraktik atau ostepathi, pastikan mereka berpengalaman merawat wanita hamil. Pakar perubatan perlu menilai kestabilan dan sebarang kerengsaan pada sendi-sendi pelvis anda, memeriksa belakang dan baha anda untuk memastikan masalah ini tidak berpunca daripada sendi-sendi ini, dan melihat dengan teliti bagaimana otot-otot perut, belakang, pelvis dan paha anda berfungsi. Bagaimanakah PGP dirawat? Ada beberapa taktik yang boleh digunakan: Berhati-hati semasa melakukan aktiviti harian. Ahli fisioterapi boleh menunjukkan kepada anda bagaimana hendak mengunci pelvis semasa membuat pergerakan yang menyakitkan seperti berjalan atau berdiri. Anda mungkin diberi tali pinggang pelvis untuk sokongan. Bagi kira-kira lapan daripada 10 wanita, tali pinggang ini memberi kelegaan serta-merta dan selamat dipakai semasa hamil. Senaman, terutamanya untuk perut dan lantai pelvis, dapat memperbaiki kestabilan pelvis dan belakang anda. Senaman air juga dikatakan dapat membantu. Ahli fisioterapi boleh memanipulasi paha, belakang atau pelvis anda perlahan-lahan untuk melonggarkan bahagian yang tegang. Akupuntur juga boleh membantu, tetapi pastikan pengamal kaedah ini adalah terlatih dan berpengalaman dalam merawat wanita hamil. Adakah PGP menjejaskan proses kelahiran? Dengan nasihat yang betul, jarang bagi PGP menyebabkan masalah semasa kelahiran. Jika boleh, elakkan berbaring menelentang untuk melahirkan. Posisi menegak atau melutut dapat melindungi sendi-sendi pelvis anda dan secara amnya adalah lebih selesa. Jika anda perlu duduk di atas katil, duduklah dengan menegak supaya mudah untuk anda membuka kaki. Jika simptom-simptom yang anda alami membuatkan anda sukar untuk membuka kaki, mungkin perlu bagi anda berbincang dengan doktor mengenai posisi mana yang terbaik bagi kelahiran dibantu, sekiranya anda memerlukannya. Bacalah jawapan pakar kami mengenai SPD semasa kelahiran untuk maklumat lanjut. Bilakah PGP akan hilang? Dalam beberapa kes, PGP boleh terus berlaku selepas bersalin. Jika ini berlaku, penting bagi anda meneruskan rawatan. Sesetengah wanita mengalami kesakitan yang berpanjangan, tetapi ini jarang berlaku. Namun, agak biasa juga bagi rasa tidak selesa ini berlaku sejurus sebelum anda datang haid, kerana hormon yang dihasilkan pada ketika ini mempunyai kesan yang serupa dengan relaksin. Apakah yang boleh saya lakukan mengenainya? Ada beberapa langkah yang boleh anda ambil: Jika anda rasa sangat sakit ketika mengalihkan badan semasa di katil, cuba duduk serta-merta daripada posisi menelentang dengan menaikkan lutut serapat mungkin ke dada dan tolakkan badan. Ini dapat menggerakkan pelvis anda daripada posisi yang tidak stabil ke posisi terkunci. Ketatkan lantai pelvis dan otot-otot perut sebelum bergerak. Elakkan berbaring meneletang atau duduk membongkok, terutamanya dengan kaki yang diluruskan. Posisi ini biasa dilakukan apabila anda duduk di atas sofa atau mandi di dalam tab. Jika anda perlu baring menelentang, letakkan sehelai gulungan tuala di bawah belakang pinggang untuk menyokong belakang anda dan bengkokkan lutut. Jika anda rasa sakit ketika hendak bergerak, jangan teruskan kerana jika sakit itu berterusan, ia akan mengambil masa yang lama untuk surut. Apabila anda berjalan, bengkokkan badan ke belakang dan hayunkan tangan seolah-olah anda sedang berkawad. Dengan cara ini, pelvis anda terkunci dalam posisi yang stabil dan mengaktifkan otot-otot yang menegangkan sendi-sendi anda. Melakukan senaman lantai pelvis dengan kerap dapat membantu menguatkan sendi-sendi pelvis anda. Elakkan mengangkat atau menolak benda berat. Troli pasaraya boleh jadi menyakitkan. Sebagai alternatif, berbelanjalah dalam talian atau minta rakan atau jiran untuk membeli barang keperluan untuk anda. Berehatlah dengan kerap. Lebih baik jika anda dapat duduk di atas bola senaman besar atau berehat dalam posisi merangkak. Bergerak sedikit-sedikit tetapi kerap. Anda mungkin tidak merasa kesan daripada pergerakan ini sehinggalah ke penghujung hari. Kadang-kala, tidur di atas permukaan yang lembut dapat membantu. Cuba letakkan selimut tebal di bawah cadar anda. Ketika sedang berpakaian, duduk apabila anda menarik seluar dalam atau seluar panjang.
Posted on: Mon, 29 Jul 2013 05:40:14 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015