Seludup: Penduduk enggan pindah 7 September 2013 PENGKALAN KUBOR - TopicsExpress



          

Seludup: Penduduk enggan pindah 7 September 2013 PENGKALAN KUBOR - Cadangan pemindahan penempatan pinggir Sungai Golok ke kawasan baru mendapat bantahan penduduk di sini yang merasakan tindakan itu tidak akan dapat menyelesaikan ancaman penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand. Penduduk, Arifin Awang Chik berkata, walaupun cadangan itu masih dalam peringkat kajian, tetapi lebih 5,000 penduduk tidak menyokong cadangan berkenaan. Menurutnya, cadangan itu akan melibatkan ramai penduduk dan perpindahan secara besar-besaran akan berlaku sedangkan mereka sudah sekian lama tinggal di kampung berkenaan. "Kami tinggal di sini sejak zaman nenek moyang kami lagi. Tiba-tiba nak bawa kami pindah ke kawasan lain. "Macam mana dengan punca rezeki penduduk, terutama yang meraih pendapatan sebagai nelayan dan bercucuk tanam di sini," kata yang berasal dari kampung Derdap, di sini. Semalam dilaporkan Polis Kelantan meminta kerjasama kerajaan negeri supaya mengkaji langkah memindahkan penduduk tempatan Sungai Golok dalam usaha mencegah ancaman penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand. Pemindahan itu wajar kerana penempatan penduduk sekarang terlalu hampir dengan sungai dan mendedahkan mereka kepada bahaya aktiviti penyeludupan termasuk senjata api, dadah dan manusia. Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman akan mengusulkan perkara itu pada Mesyuarat Tindakan Negeri untuk dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum kertas kerja dicadangkan kepada kerajaan negeri. Tambah Arifin, masalah penyeludupan akan selesai sekiranya agensi penguat kuasa bekerjasama dan turun padang menggempur aktiviti penyeludupan di sempadan. "Kita ada Pasukan Polis Marin, Unit Pencegahan Penyeludupan, Kastam, polis, tentera dan sebagainya. Sekiranya semua agensi terbabit berganding bahu turun padang, saya yakin penyeludupan dapat dibanteras dengan jayanya. Bukan dengan cara memindahkan penduduk di pinggir Sungai Golok ini," katanya. Sementara itu, Siti Bidah Bongsu, 80 juga tidak setuju dengan cadangan memindahkan penduduk ke kawasan baru, tambahan dia telah tinggal di situ seumur hidupnya dan bertegas tidak akan pindah walaupun kerajaan memberi tanah baru untuk didiami. "Ini tanah air kami. Sukar bagi kami untuk terima cadangan itu. Lagipun hubungan kekeluargaan telah terjalin di sini kerana ramai saudara mara di sempadan Thailand. "Sudah menjadi tradisi kami untuk kunjung mengunjung walaupun dipisahkan sempadan dua negara," katanya yang mempunyai tujuh anak dan lebih 30 cucu. -SH
Posted on: Sat, 07 Sep 2013 22:45:10 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015