Tentera telah membajak cita-cita dan harapan anak muda. Tentera - TopicsExpress



          

Tentera telah membajak cita-cita dan harapan anak muda. Tentera telah membajak TAMAROD – gerakan anak muda yang mahu membuka ruang demokrasi di Mesir. Tentera telah menutup harapan 84 juta warga Mesir yang mahukan perubahan, mahukan agihan ekonomi yang adil dan keamanan. Tentera – sama ada di Thailand, Pakistan, Korea Selatan atau di Indonesia – satelah merampas kuasa – pasti akan terus menerus ingin berkuasa. Tentera dalam dunia ini tidak pernah dinobatkan sebagai pengembang keadilan, sebagai penyebar demokrasi atau sebagai pejuang hak asasi. Dari sejarah kita telah mengenali General Haji Ahamd Suharto, General Zia Ul Haq dan General Pak Chung Hee . Kita melihat apa yang telah dilakukan oleh tentera di Indonesia, di Pakistan dan di Korea Selatan. Suharto diburu oleh Tamrod anak muda Jakarta. Zia Ul Haq mati dalam letupan kapal terbang. Pak Chung Hee ditembak ketika mesyuarat kabinet. Kini kita sedang mula berkenalan dengan General Fattah al-Sisi. Persoalan hakiki timbul dan kita akan terus bertanya apa kesudahan pergolakan politik di Mesir ini? Untuk meramalkan apa yang akan berlaku bukan satu yang mudah. Justeru kita wajib memahami politik latar Mesir untuk membantu kita memahami apa kesudahan pergolakan ini. Mesir adalah negara Arab yang paling besar dan paling berpengaruh di benua Arab. Tentera Mesir adalah yang terbesar di Afrika dan Timur Tengah. Hampir satengah juta soldadu Mesir sedang bertugas dan satu juta lagi dalam simpanan. Ini bermakna ada 1.5 juta soldadu Mesir dibawa pimpianan General Fattah al-Sisi. Wajib diterangkan disini kerana Mesir memiliki sejarah berperang dengan Israel maka telah diwujudkan apa yang dipanggil Supreme Council of the Armed Forces (SCAF) atau Majlis Tertinggi Tentera. Majlis Tertinggi Tentera ini akan muncul apabila berlaku perang atau darurat. Ketika Revolusi Pertama 2011 dahulu, Majlis ini telah mengambil alih kuasa dari Mubarak dan mendirikan Kerajaan Sementara yang akhirnya menobatkan Morsi sebagai Presiden. Tentera memiliki 30% kepentingan ekonomi dalam negara. Tentera Mesir terlibat dalam gedung peniagaan, pembinaan, pemaju, perkilangan keperluan harian dan perkilangan senjata. Justeru struktur tentera Mesir tidak sama dengan peranan tentera yang biasa kita fahami. Apa yang berlaku di Mesir sekarang akan mempengaruhi babak babak politik di negara Arab. Limpahannya dari pergolakan ini pasti akan membasahi negara-negara yang penduduknya beragama Islam. Ini hakikat realpolitik hari ini. Justeru , kerana inilah maka Saudi Arabia, Kuwait, Qatar dengan cepat datang menaburkan berbilion dolar. Ini untuk memastikan Musim Bunga Arab akan berhenti di Cairo. Tamarod anak-anak muda di Mesir wajib dibendung agar tidak mempengaruhi anak-anak muda di Saudi Arabia dan Negara Telok. Tamarod pasti akan mengancam rejim-rejim feudal di Timur Tengah. Disini timbul satu persoalan hakiki. Dalam tulisan awal tentang Syria dan Timur Tengah saya telah cuba membawa pencerahan dengan menunjukan bahawa apa yang berlaku di Syria bukan perang antara Sunni dan Shiah. Sayangnya masih ramai lagi yang juling dan rabun hinggakan gagal melihat hakikat yang berlaku di Syria. Kerana ramai warga Malaysia yang masih juling dan rabun maka saya menimbulkan soalan untuk mereka: kenapa berlaku pergaduhan di Mesir walhal penyokong Morsi bermazhab Sunni. Tentera juga bermazhab Sunni. Anak-anak muda Tamarod juga Sunni. Kenapa Sunni dengan Sunni boleh bergaduh dan berbunuh-bunuhan di Mesir? Untuk merungkai dan menjawab persoalan ini saya mengambil pendekatan ekonomi dan kelas. Jika tidak diusik dan tidak digarap ekonomi dan kelas maka analisa terhadap apa yang berlaku di Mesir akan hanya menjadi ‘ sorak-sorakan politik’. Tuduhan gulungan penentang Mosri sebagai sekular dan menentang Islam menjadi ‘feshen’ tetapi gagal untuk menerangkan kenapa al-Sisi yang warak ini mengambil alih pentabiran. Juga kenapa berjuta juta warga Mesir Sunni yang tak tinggal sembahyang turut sama menentang Moris yang juga tidak tinggal sembahyang. Telah saya nyatakan bahawa tentera Mesir adalah sebahagian dari elit ekonomi negara. Para General dan pegawai tinggi tentera mendapat kehidupan mewah dari keterlibatan dalam pelbagai bentuk perniagaan. Kesampaian Morsi pada awalnya memang dialu-alukan. Tetapi semua beralih dua tahun kemudian. Dari menyokong Morsi dan kemudian menentang Morsi akan difahami melalui pandangan kelas. Parti Ikhwan Muslimin ini memiliki asas ekonomi sama saperti Parti Pas. National Democratic Party milik Mubarak sama saperti United Malays National Organistion milik Najib. Penyokong Ikhwan adalah dari kelas bawahan – kaum tani dan kaum buruh. Ini tidak jauh bezanya dari penyokong Pas. Peniaga kecil dan sederhana yang warak berpayung dibawah Ikhwan. Peniaga besar berpayung dibawah National Democratic Party. Towkay dan cukong bersama United Malays National Organisation. Tuan empunya warong dan kedai makan akan bersamna Pas. Dalam masa sama dalam Ikhwan juga ada taikon dan pemodal besar. Pemimpin kedua Ikhwan, Kahirat El-Shater yang mahu menjadi calon Presiden ialah billionair pemilik gedung perabut dan pasar raya diseluruh Mesir. Mereka menyokong Morsi dengan harapan peluang perniagaan mereka yang melonjak luas. Perniaga sederhana juga berharap Morsi akan membantu membuka peluang niaga yang lebih besar. Ini tidak ada bezanya dari apa yang kita lihat dalam Pas di Kelantan atau di Terangganu. Akhirnya kedatangan Morsi dan Ikhwan dilihat sebagai mengancam kepentingan ekonomi borjuis besar dan borjuis nasional. Peniaga besar borjuis nasional ini telah berjaya mengembang kepentingan ekonomi mereka dizaman Mubarak. Kini saingan telah sampai dari peniaga dan pemodal saf Ikhwan. Borjuis nasional, pemodal besar, borjuis pertengahan bersama dengan birokrat dan kaki tangan kerajaan yang dipilihara oleh Mubarak merasa kepentingan ekonomi dan gaya hidup mereka terancam. Morsi dan Ikhwan dianggap musuh. Semua hujah menentang Morsi ini dibantu dan diperkukuhkan pula oleh tindakan dan langkah kurang bijak politik Morsi. Morsi gagal menjadi Presiden Mesir tetapi menjadi Presiden Ikhwan Muslimin. Jika Haji Hadi menjadi Perdana Menteri Malaysia, maka Ananda, Syed Mokhtar, Vincent Tan , Yeoh Tiong Lay bersama dengan kaki tangan kerajaan - Kemas, BTN, Perkasa dan dan akan bersatu untuk menjatuhkan Haji Hadi. Ini bukan omong kosong. Ianya telah berlaku di Perak apabila Najib merampas kuasa pada 5hb Febuarari 2009. Analisa ekonomi dan kelas yang boleh merungkai kenapa Sunni dan Sunni berbunuhan di Mesir. Semua berpunca dari perebutan punca-punca ekonomi. Morsi memberi harapan kepada kelas bawahan yang menjadi penyokong tegar Ikhwan. Ekonomi Mesir yang menjunam jatuh dibawah Morsi menakutkan borjuis nasional dan pemodal besar – lalu mereka bertempur. Wajib diberitahu kepada pembaca bahawa dalam dunia ini ada dua buah negara yang mendapat sokongan ketenteraan besar dari Amerika Syarikat. Pertama – Israel dan kedua Mesir. Mesir mula mendapat 1.5 bilion dolar setiap tahun semenjak tahun 1979. Dana ini adalah sebahagian dari perjanjian yang telah dipersetujui oleh Amerika dengan Presiden Anwar Sadat. Tentera Mesir dibantu oleh Amerika kerana Sadat bersetuju untuk menandatangai Perjanjian Camp David. Antara lain Pejanjian Camp David ini membuka hubungan diplomatik antara Mesir dan Isreal. Juga, Mesir dan Isreal berdamai. Amat jelas disini bahawa kuasa imperial Amerika memainkan peranan mengemudi arah dan tuju tentera Mesir. Ketika al-Sisi mengambil alih kuasa dari Morsi , Rumah Puteh tidak menggunakan perkataan ‘rampas kuasa’. Apa yang digunakan oleh Obama hanyalah ‘tentera Mesir telah mencelah...’ untuk menerangkan tindakan al-Sisi. Ini dilakukan untuk memastikan Mesir akan terus menerima bantuan ketenteraan. Jika Rumah Puteh mengtakrif apa yang berlaku di Mesir sebagai rampasan kuasa maka semua bantuan ketenteraan akan dihentikan. Ini dasar pentabiran Amerika yang tidak menyokong rampasan kuasa. Jika bantuan ketenteraan berhenti maka Amerikan tidak dapat lagi menambat hidung tentera Mesir dan al-Sisi. Untuk meredakan keadaan dan menumpulkan kritikan, minggu lalu Amerika telah membatalkan penghantaran 4 buah kapal terbang penyerang F16 kepada Mesir. Ini kerana rakyat dunia semakin lantang menyuarakan tentangan terhadap rampasan kuasa al-Sisi. Malah ada elit politik Amerika yang tidak bersetuju dengan tindakan tentera. Pembantaian yang berlaku Jumaat lalu TIDAK akan meredakan keadaan. Dana dari Saudi, Qatar dan Kuwait boleh membantu ‘mengapongkan’ Mesir buat sementara dari tenggelam dalam kemelesetan ekonomi yang menjerut leher kaum miskin. Kacau bilau ini tidak akan reda malah akan membesar. Gerakan bersenjata di Sinai , yang bukan dari kumpulan Ikhwan telah mula melancarkan serangan ke atas balai polis. Perang saudara akan pecah. Maka disini timbul satu persoalan. Arah mana kepentingan kuasa imperial Anglo-Amerika menghala. Apakah perang saudara saperti di Syria akan menguntungkan Amerika. Jika perang saudara menguntungkan maka tidak dapat tidak kekacauan di Mesir akan merebak. Tetapi jika perang saudara Mesir ini akan mengancam kepentingan ekonomi Anglo-Amerika maka pasti Rumah Puteh akan bertindak untuk memastikan satu jalan penyelesaian timbul. Kita tunggu dan lihat. Pada ketika ini telah muncul satu lagi kumpulan yang memanggil diri mereka DATARAN KETIGA . Ini untuk membezakan diri mereka dari penentang Morsi di Dataran Tahrir dan penyokong Morsi di Dataran Rabia al-Adawiya. Dataran Ketiga ini sedang berhimpun di Dataran Sphinx. Kumpulan ini menentang Morsi dan juga menentang tentera. Apakah garis Tamarod di Dataran Ketiga ini akan bejaya? Hanya masa yang dapat menentukan.
Posted on: Wed, 31 Jul 2013 07:37:57 +0000

Recently Viewed Topics




© 2015