Terkenang-kenang Pada tahun 2009 Saya menulis novel Mat Kilau - TopicsExpress



          

Terkenang-kenang Pada tahun 2009 Saya menulis novel Mat Kilau Pahlawan Pahang , sempat menziarahi kuburnya di Pulau Tawar , melihat bekas tapak rumahnya, melihat masjid tua tempat di mana Mat Kilau mendedahkan siapa dirinya dan akhirnya ke gua Gelangi tempat berkumpul Pahlawan Mat Kilau dengan rakan-rakan seperjuangannya. Kota Gelanggi merupakan kompleks yang mengandungi lebih 100 buah gua setiap gua disebut “kota” kerana bentuknya bagaikan sebuah kota. Cuma kira-kira 30 buah gua saja yang dibuka kepada orang ramai kerana faktor keselamatan antaranya Kota Tongkat, Kota Kepayang, Kota Bukit, Kota Rebut, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Papan, Kota Jin dan Kota Lena. Semua gua-gua tersebut dikenali dengan nama Kota Gelanggi. Sesiapa yang hendak memasuki gua-gua tersebut dinasihatkan membawa pemandu pelancong atau penduduk tempatan yang arif mengenai selok belok gua tersebut. Mereka juga dinasihatkan membawa lampu gasolin atau lampu limpah bukan lampu suluh biasa kerana keadaan di dalam gua itu PH kegelapannya terlalu pekat. Penduduk tempatan ramai yang percaya Kota Gelanggi dijaga oleh makhluk bunian (Jin). Ahli sejarah W.Cameron mengatakan Kota Gelanggi merupakan peninggalan sejarah yang telah bertukar menjadi batu. Tun Seri Lanang penulis Sejarah Melayu pula mengatakan Kota Gelanggi berasal dari sebuah kerajaan yang telah wujud sebelum Temasik (Singapura) dan Melaka. Nama kerajaan itu ialah Ganggayu dan pernah diperintah oleh Raja Chulan. Kerajaan ini dikalahkan oleh Raja Suran. Peperangan antara angkatan Raja Suran dengan angkatan Raja Chulan ini ada diceritakan dalam Sejarah Melayu. Pahang juga dikenali dengan nama Inderapura. Ketika sampai di Kota Gelanggi hari sudah petang. Waktu melawat Cuma dibenarkan sehingga jam 6 petang. Tetapi kerana saya datang dari jauh dan setelah merayu kepada petugas yang menjaga kawasan tersebut akhirnya dibenarkan juga melawat gua-gua itu dalam masa yang singkat. Keadaan dalam gua itu terlalu gelap pekat. Tambahan pula ketika itu hampir senja. Setelah bergambar di pintu gua itu saya beranikan diri melangkah masuk. Baru saja beberapa langkah masuk tiba-tiba badan berasa seram sejuk dan bulu roma tiba-tiba naik meremang. Ketika itu saya rasa seperti ada makhluk berdiri di sebelah kiri dan kanan. Dalam keadaan yang takut itu saya mengucapkan “Assalamualaikum” lalu segera keluar dari gua itu. Sepulangnya dari menziarahi Makam Mat Kilau dan Kota Gelangi saya kena demam yang agak teruk…Itu antara pengalaman menulis novel sejarah yang tidak dapat dilupakan,.
Posted on: Mon, 04 Nov 2013 10:03:19 +0000

Trending Topics




© 2015