[UCAPAN KETUA WANITA IKRAM KP 1 2013, 15 JUN] MEMBANGUN POTENSI - TopicsExpress



          

[UCAPAN KETUA WANITA IKRAM KP 1 2013, 15 JUN] MEMBANGUN POTENSI DIRI MENJAYAKAN WAWASAN DAKWAH السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah Rabb sekalian Alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Baginda Rasulullah s.w.a beserta para sahabat dan ahli keluarga baginda yang mulia. Akhawat yang dirahmati Allah sekalian, Segala kesyukuran dipanjatkan hanyalah ke hadrat Allah s.w.t. yang mempunyai kekuasaan, kekayaan dan kebesaran melebihi segala sesuatu, yang memberikan keizinan-Nya untuk kita semua berhimpun sekali lagi bagi menunai dan melaksanakan tanggungjawab bersama dalam mencorak strategi serta halatuju organisasi yang amat kita kasihi ini. Mesyuarat Agung Wanita Daerah adalah untuk menilai secara objektif dan jujur, sejauh mana pencapaian organisasi kita setakat ini di samping sama-sama menganalisa kekurangan dan kelemahan untuk kita perbaiki. Hanyalah dengan melalui satu system audit dan muhasabah yang efektif, kita akan dapat memperteguh dan memperkukuhkan kekuatan yang kita miliki, di samping memperbetulkan kesilapan yang telah dilakukan selama ini. Sebelum kita pergi jauh lagi, marilah kita sama-sama memperbetulkan niat dan membulatkan keazaman, bahawa hadirnya kita semua di dalam perhimpunan pada pagi yang berbahagia ini adalah sebagai satu usaha kerdil bagi mempertingkatkan ubudiyah dan perhambaan kita kepada Allah Azza Wa Jalla dan semoga kita akan dihimpunkan pula di Yaumul Mahsyar di dalam kelompok mereka yang digambarkan oleh Allah dalam firman-Nya yang mulia yang mafhumnya: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu, dalam keadaan merasa senang dan disenangi! Sebab itu masuklah dalam kelompok hamba-hamba-Ku! Dan masuklah ke dalam syurga-KU” Al-Fajr 89:27-30 Saya suka untuk memulakan ucapan ini dengan memberikan sedikit gambaran tentang senario semasa dunia dan persekitaran kita pada hari ini. Memandangkan IKRAM bertekad untuk membina masyarakat di sekelilingnya, ahli-ahli wanita IKRAM tidak harus sama sekali lupa bahawa masyarakat manusia ini adalah satu entiti yang dinamik dan tentu sekali tidak statik dan jumud. Akhawat yang dikasihi Allah sekalian, Tidak keterlaluan untuk saya nyatakan di sini bahawa dunia hari ini nampaknya semakin menjadi tidak sejahtera, tidak seimbang dan pincang. Ketidakseimbangan antara nilai-nilai material yang bersifat kebendaan dengan unsur-unsur yang bersifat lebih halus dan seni seperti naluri, perasaan, emosi dan spiritual, menjadikan manusia hilang pertimbangan. Keganasan terancang yang melanda umat Islam hari ini khususnya di Syiria dan Palestin ditambah kemelaratan akibat kemiskinan umat menyaksikan kepincangan yang cukup meruntun perasaan. Dari kacamata seorang wanita saya suka melihat bagaimana nasib kaum sejenis kita wanita. Di Syria, disebabkan ketamakan dan kesombongan Basyar Asad serta kuncu-kuncunya, mereka melakukan kekejaman di luar batasan kemanusian yang tidak terjangkau akal normal manusia. Mereka menyiksa dan membunuh umat Islam termasuk wanita dan anak-anak dengan cara yang begitu sadis sekali. Dengan kemudahan dan teknologi yang ada kita mendengar dan menyaksikan sendiri bagaimana umat Islam diperlakukan. Begitu juga apa yang berlaku di Palestin. Keganasan-keganasan terancang semasa peperangan menyebabkan puluhan ribu wanita dan anak-anak menderita. Di Malaysia, kita baru sahaja selesai PRU ke 13. Pengalaman dalam penglibatan pada kali ini memberi ruang dan peluang kepada kita untuk lebih mengenali masyarakat sekeliling di samping memahami system politik yang ada. Kita terdedah dengan segala kepincangan yang melanda ummah, sebaliknya pula kita belajar banyak perkara; menilai faktor kemenangan dan kekalahan, memahami erti kebersamaan, kasih sayang dan kesatuan hati di samping memahami hakikat sebenar perjuangan. Profesor Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya “Dimanakah Kerosakan Umat Islam Masa Kini” dengan lantang menyatakan umat Islam hari ini lupa diri, tidak punya semangat dan menyimpang dari matlamat asal dan telah tersesat jalan! Beliau menegaskan jika kita meneropong umat Islam hari ini dengan teropong Allah yang terdapat di dalam al-Quran, kita akan menemukan umat ini umat yang lain, bukannya umat al-Quran yang digambarkan oleh Allah sebagai umat yang terbaik. Sebagaimana Firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat ke 110 yang bermaksud: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, kamu menyeru berbuat makruf dan melarang daripada perbuatan mungkar, serta beriman kepada Allah.” Begitu juga menerusi ayat 143, Surah al-Baqarah Allah menggambarkan kehebatan umat Islam dengan mengatakan bahawa: Begitulah Kami menjadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi kepada manusia dan Rasul menjadi saksi terhadapmu” Namun realitinya, umat Islam kini telah jauh meninggalkan kaedah pertengahan dan posisi tengahnya yang melambangkan keseimbangan dan kestabilan. Malahan mereka hari ini lebih suka meniru dan mengambil cara hidup dan system orang lain yang dianggap lebih ‘maju’ dan ‘berdaya saing’. Profesor Dr. Yusof al-Qaradhawi juga menegaskan umat Islam hari ini adalah umat yang mensia-siakan lima kekuatan yang ada padanya, iaitu kekuatan akal, amal, ekonomi, tenaga dan spiritual. Hakikatnya Kemenangan dan kemuliaan tidak akan tercapai tanpa Islam. Tepat sekali ungkapan Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab r.a.: “Kita dahulu adalah kaum yang paling hina, lalu Allah memuliakan kita dengan Islam. Dan bagaimana besar perjuangan dan pengorbanan kita pun, tanpa Islam pastilah Allah s.w.t. akan menghina kita”. Membina Kekuatan Diri Merintis Kepemimpinan Ummah Akhawat yang mencintai perjuangan, Berlatarbelakangkan senario dan realiti semasa yang begitu mencabar, wanita IKRAM perlu mengorak langkah bagi menyusun strategi dalam usaha memartabatkan Islam sebagai ad-Deenul Haq yang mempunyai segala resepi dan ramuan untuk proses pengislahan dan pembaikan masyarakat. Dengan kata lain, Wanita IKRAM terpanggil untuk mengatur dan mengorak langkah mempersembahkan satu model penyelesaian masalah dari perspektif Islam, terutamanya bagi pembelaan terhadap nasib wanita yang begitu terumbang-ambing hari ini. Hal ini sejajar dengan KRA 6.1; Wanita IKRAM menjadi NGO Wanita terunggul dengan berpaksikan kepada Syariah sebagai landasan penyelesaian segala masalah kehidupan. Wanita IKRAM selaku sekelompok kecil wanita Islam yang prihatin dan peka, merasakan segala kerosakan dan kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat hari ini adalah berpunca daripada ketidakberksanan kepemimpinan yang tidak mampu membawa anggota masyarakat menggembleng tenaga mereka bagi mewujudkan satu komuniti yang sejahtera. Kepemimpinan adalah faktor terpenting yang menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu aspirasi atau harapan. Malah, kita hanya akan mengundang bahaya dan kehancuran jika tanggungjawab kepemimpinan dipegang oleh orang yang tidak berilmu, beramanah dan berwibawa. Kefahaman dan kesedaran yang mendalam terhadap peri pentingnya wanita memainkan peranan dalam memastikan Islam menjadi dustur atau perlembagaan hidup yang menjamin kesejahteraan ummah, mendorong kita menganalisa dan menilai faktor yang membelengu perkembangan dan kemajuan wanita. Hasilnya kita ketahui, akar umbi kepada kemelut dan permasalahan ini adalah kepincangan penghayatan Islam yang sebenar di semua peringkat dan lapisan masyarakat. Kepemimpinan wanita di Negara ini amnya, mempunyai tanggapan bahawa pemartabatan status wanita adalah dengan cara meningkatkan tahap ekonomi dan kekayaan materialistic. Hakikatnya kekuatan ekonomi semata-mata tidak akan berupaya menjana wanita berilmu yang prihatin dan peka serta berfungsi sebagai agen pembaikan terhadap persekitarannya. Akhawat yang dikasihi, Dalam menggalas tugas besar dan berat; amar makruf dan nahi mungkar memimpin ummah kita memerlukan persiapan dan kekuatan; Kekuatan zahiriah dan batiniah . Justeru itu mari kita islah diri kita dengan saranan berikut: 1. Menjadikan pentarbiahan sebagai agenda peribadi. Menguasai diri melalui tarbiyah zatiah – menjaga hubungan yang erat dengan Allah s.w.t juga sentiasa menyemak status dan kualiti taqwa yang merupakan bekalan utama. 2. Sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mempertingkatkan ilmu dalam diri. Menguasai ilmu Syariah sehingga mampu mengemukakan kepada umat dan masyarakat penyelesaian semua permasalahan berlandaskan Syariah dengan hujjah serta pendekatan yang meyakinkan. Saranan ini juga bermaksud menyeru akhawat yang bukan berada di bidang syariah untuk meningkatkan pengetahuan syariah sekurang-kurangnya di sekitar bidang masing-masing. 3. Menguasai kemahiran-kemahiran kepemimpinan seperti kemahiran memimpin, merancang, membuat keputusan, seni mendelegasi kerja, membina hubungan intrapersonal dan interpersonal dsb. 4. Mengikis perasaan kurang berkeyakinan kepada keupayaan diri sendiri, bersifat penakut dan pengecut, sentiasa memberi alasan demi alasan dan tidak mempunyai kekentalan semangat jihad yang tinggi. Sifat-sifat mazmumah inilah yang sebenarnya menghalang kemajuan dan peningkatan amal. 5. Menguasai kemahiran teknologi. Ayuh beramal Akhawat yang dikasii, Sesungguhnya segala perancangan, impian dan harapan akan tinggal terkurung di dalam dada atau terpahat di atas kertas selagi mana diri kita tidak bangkit untuk beramal demi mencapai impian dan melaksanakan perancangan tersebut. Kejayaan tidak diukur dengan susunan kata-kata yang cantik, peraturan-peraturan yang kemas, idea-idea yang bernas. Kejayaan yang sebenar terletak pada kesungguhan kita dalam merealisasikan idea sehingga terjelma di alam nyata; dilihat keindahannya, dirasai keadilannya, dinilai keberkesanannya. Asy-Syahid Hasan al-Banna menyatakan bahawa terdapat TIGA faktor yang menjamin kejayaan dakwah: 1. Misi yang dibawa adalah jelas dan sesuai dengan kehendak dan keperluan manusia 2. Pendukung yang ikhlas yang sanggup dan sentiasa bersedia untuk berkorban apa saja untuk dakwah 3. Bantuan serta pertolongan Allah ‘Azza wa Jalla Misi kita jelas iaitu memimpin ummah kepada Allah, mengabdikan diri dengan mematuhi segala titah perintah-Nya. Manakala pendukung yang ikhlas ialah mereka yang benar-benar berintima’ kepada dakwah. Berintima’ kepada dakwah menuntut kita supaya: 1. Menjadi insan rabbani 2. Berakhlak mulia di mana dan bila-bila masa 3. Seluruh jiwa raga diselubungi dakwah; tidak bercakap kecuali kerana dakwah, suka, duka, marah, benci, sayang, sedih, bimbang semuanya demi dakwah 4. Memahami dengan mendalam ciri-ciri dakwah; objektifnya, manhajnya, wasilah-wasilahnya, uslubnya serta langkah-langkahnya 5. Mengutamakan kepentingan dakwah dalam segala urusan kehidupan 6. Thiqah tehadap ikhwah dan akhawat, qiadah serta pertolongan dan bantuan Allah 7. Menjadi unsur penguat dakwah sama ada dari sudut peribadi atau tanzimi dengan memiliki 10 muwasofat dan menghayati rukun bai’ah 8. Sentiasa mengikuti wasail tarbiah dan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh agar kita menajadi orang yang mendukung dakwah, bukan didukung oleh dakwah 9. Menyedari bahawa kita adalah pemilik dakwah, bukan pengambil upah. Pemilik sesuatu pasti akan menyayanginya, memeliharanya dan memperkembangkannya dengan sebaik mungkin 10. Mengambil berat tentang bait muslim agar menjadi contoh dan menjadikannya sebagai pengkalan untuk memacu dakwah. Akhir kalam Akhawat, hadirnya kita dalam mesyuarat ini bukan hanya sekadar untuk berhimpun, bertanya khabar, mendengar ucapan, meneliti laporan, kemudian pulang. Kita berhimpun untuk saling ingat mengingati, membaharui bai’ah dan janji, muhasabah dan koreksi diri. Tiada kelebihan bagi yang berucap dan yang mendengar ucapan kecuali dengan taqwa dan amal. “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (At-Taubah :105) Akhawat, mari kita mensyukuri segala nikmat yang ada, menginsafi segala kelemahan diri serta mengkoreksi segala kekurangan dengan segala kekuatan anugerah-Nya. Justeru itu, mari kita ingat matlamat hidup yang telah digariskan Allah iaitu untuk mencapai kebaikan di dunia dan akhirat dengan menjadikan seluruh kegiatan hidup kita sebagai ibadah kepada Allah. Akhir kata, marilah sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah s.w.t. semoga hasrat dan wawasan kita mendapat restu dan hidayah daripada-Nya jua. Semoga kita akan dikembalikan kepada-Nya dalam keadaan kita berjihad, menyerahkan jiwa raga, tenaga dan fikiran ikhlas semata-mata buat-Nya. Wassalam. Al-Faqir ila Allah 15 JUN 2013/ 6 SYA’BAN 1434 (SRAZ, Jitra)
Posted on: Sun, 23 Jun 2013 07:23:45 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015