Wawasan 2020 ialah cetusan idea, pandangan atau saranan - TopicsExpress



          

Wawasan 2020 ialah cetusan idea, pandangan atau saranan Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir untuk membangun negara Malaysia dan corak negara Malaysia yang diingini pada tahun 2020. Pandangan ini telah dikemukakan di dalam kertas kerjanya yang berjodol "Malaysia: The Way Forward" yang diucapkan di persidangan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Feb 1991 dan merupakan huraian yang jelas tentang arah perkembangan masa depan negara ini. Pandangan dan saranan ini kini menjadi gagasan negara dan dikenali sebagai WAWASAN 2020. Matlamat Wawasan 2020 ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari segala segi iaitu ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Malaysia akan menjadi sebuah negara perindustrian yang maju tetapi mengekalkan nilai-nilai murni, menikmati taraf hidup yang tinggi, keamanan dan keadilan sosial serta bangga terhadap negara Petikan kertaskerja "Malaysia Melangkah Ke Hadapan" Matlamat utama yang patut kita tuju ialah Malaysia yang menjadi negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Adakah kita mahu menjadi seperti 19 negara sekarang yang digelar negara maju? Setiap daripada 19 buah negara ini mempunyai kekuatan tersendiri. Tetapi setiap negara itu juga mempunyai kelemahannya. Tanpa meniru salah satu daripada negara berkenaan, kita masih boleh membangun. Kita patut menjadi negara maju mengikut cita rasa kita. Malaysia tidak patut dibangunkan daripada segi ekonomi sahaja. la mesti menjadi negara maju sepenuhnya dalam semua bidang: ekonomi, sosial, kejiwaan, psikologi dan kebudayaan. Kita mesti maju dalam erti kata perpaduan nasional dan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kejiwaan, maruah bangsa dan keyakinan. Menjelang tahun 2020, Malaysia boleh menjadi negara bersatu dengan masyarakat Malaysia yang yakin, mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokrasi liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil daripada segi pengagihan ekonomi, progresif dan makmur, dan mempunyai penguasaan sepenuhnya dalam ekonomi yang bersaing dinamik, giat dan kental. Tidak akan wujud Malaysia yang maju sepenuhnya sehingga kita akhirnya mengatasi sembilan cabaran strategi yang kita hadapi sejak kelahiran kita sebagai negara merdeka. Dr. Mahathir Mohammad "Malaysia Melangkah Ke Hadapan" (kertaskerja) 28 Feb. 1994 KANDUNGAN 1. Cabaran Pertama Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu 2. Cabaran Kedua Membina masyarkat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan 3. Cabaran Ketiga Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang 4. Cabaran Keempat Mewujudkan sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika 5. Cabaran Kelima Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan toleransi 6. Cabaran Keenam Membina masyarakat yang maju dan saintifik 7. Cabaran Ketujuh Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang 8. Cabaran Kelapan Menjamin sebuah masyarakat yang adil dan saksama ekonominya 9. Cabaran Kesembilan Memupuk dan membina masyarakat makmur
Posted on: Thu, 04 Jul 2013 13:22:44 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015