Bab pertama - enam paragraf - dari novel Ibu. Belum dihantar ke - TopicsExpress



          

Bab pertama - enam paragraf - dari novel Ibu. Belum dihantar ke penerbit. PERTAMA kali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur – kota yang bagiku mempunyai citra yang sangat suram – sekurang-kurangnya itulah ingatan yang masih kekal tinggal dalam perasaan waktu itu dan dalam pemikiran waktu kini pun tidak juga hilang. Kuala Lumpur dengan wajahnya seperti sekeping wang – punya dua wajah – sebelahnya meriah dan ceria manakala sebelah lagi lain gambar dan imejnya. Tidak sahaja suram, malahan mengerikan kerana pelbagai sebab dan alasannya terutamanya kerana manusianya yang pelbagai – bangsa, etnik, kepercayaan, agama dan kerja atau profesi – suatu hal yang pada hakikatnya bagiku bukan sesuatu yang aneh kerana Kuala Lumpur adalah bandaraya yang sekaligus ibu negara – Ibu negara sebuah negara yang telah banyak kali bertukar namanya – Semenanjung Emas, Persekutuan Tanah Melayu, Malaya dan kini terkenal di seluruh dunia dengan nama Malaysia. Walaupun suram malahan ngeri dan menakutkan namun mengandung misteri yang apabila turun sahaja di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Stesen Bas MARA waktu itu, tahun 1969 dalam perjalananku untuk menghadiri satu seminar sastera peringkat Nusantara di Dewan Bahasa dan Pustaka, hatiku terus berdetik dengan begitu tegas menyatakan: Inilah tempat aku harus hidup. Inilah tempat aku harus hidup! Detik dan detak serta getar yang muncul dalam diriku itu adalah suatu gelombang yang muncul bergetar-getar dalam diri. Dan oleh getarnya yang kuat itu telah menimbulkan tanggapan yang pelbagai dari diriku. Aku menerima getaran itu secara yang serba salah – serba salah kerana apakah akan aku ceritakan kepada kawan-kawanku waktu itu atau pun lebih baik aku mendiamkannya sahaja tersembunyi dalam lubuk jiwaku. Berpendapat bahawa lebih baik aku tidak menyatakan kepada kawan-kawanku tentang getar yang aku terima itu, aku lalu menyimpannya begitu kemas dalam diriku dan tidak dinyatakan kepada sesiapapun, sama ada kepada kawan-kawan yang ikut sama dalam rombongan kecil itu mahupun yang menjadi kepala dalam kumpulan rombongan kecil itu. Hal yang sama juga tidak aku nyatakan kepada kawan-kawan yang lain kemudiannya.
Posted on: Wed, 07 Aug 2013 22:37:47 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015