Berita penggulingan Presiden Mesir, Mohamed Morsi dari - TopicsExpress



          

Berita penggulingan Presiden Mesir, Mohamed Morsi dari kepemimpinannya oleh pihak tentera adalah “belangsungkawa” bagi negara ini. Ia menjadi bertambah pilu kepada kumpulan-kumpulan prihatin Palestin di negara ini kerana akan berhadapan dengan laluan sukar untuk masuk ke Gaza. Semasa saya dan rombongan Aman Palestin mengikut konvoi bantuan kemanusiaan, kami seperti tidak melalui sebarang sekatan dalam perjalanan memasuki pintu Rafah melalui padang pasir Sinai. Sudah tentu perjalanan akan datang melalui liku-liku sukar dengan sekatan dan persoalannya bagaimanakah bantuan hendak disalurkan sekarang? Rasanya kekuasaan di Mesir sekarang berada di tangan pihak junta tentera yang begitu komited mempertahankan kepentingan ekonomi golongan atasan dan mencapai matlamat geo-politik imperialisme Amerika dan Israel. Penyingkiran Morsi disahut penuh kegembiraan oleh penunjuk perasaan. Tetapi sejauh manakah mereka menyedari bahawa kuasa sekarang berada di tangan junta tentera dan bukannya di tampuk pemerintahan yang menang daripada proses pilihan raya. Morsi yang menggerakkan usaha ke arah membebaskan Mesir daripada cengkaman AS nampaknya tidak disukai pihak tentera dan elit kewangan serta perbankan antarabangsa. Sejak menduduki kerusi pemerintahan, Morsi mengambil pendirian “bebas” daripada cengkaman Barat dengan mengutamakan kepentingan nasional Mesir. Bersandarkan kepentingan nasional ini, ia telah membawa Morsi ke Tehran menyertai Sidang Kemuncak Negara Berkecuali di mana beliau telah mengumumkan sokongan kepada rakyat Syria menentang rejim Bashar Al Assad. Beliau juga mencadangkan pembentukan “Syria Quartet” yang terdiri daripada Mesir, Iran, Turki dan Arab Saudi. Bagaimanapun pihak Arab Saudi tidak pernah berminat dengan cadangan ini dan memboikot mesyuarat tersebut di Kaherah pada tahun lepas. Bahkan pihak Qatar juga tidak menyukai cadangan Morsi mengadakan mesyuarat melibatkan Tehran. Struktur junta tentera sekarang adalah gabungan menggerunkan kuasa-kuasa reaksioner, termasuk konco-konco bekas Presiden Hosni Mubarak, beberapa ahli politik Islam dan ahli politik liberal yang mempunyai hubungan rapat dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Tiada seorang pun daripada individu ini berlatar belakang kumpulan akar umbi atau punyai program sosial yang jelas. Selepas mengambil alih kuasa dari Ikhwan Muslimin, stesen-stesen televisyen dan menahan Morsi, ketua junta tentera, Jeneral Abdul Fatah Khalil Al-Sisi menggariskan peta politik masa depan, termasuk menggantung perlembagaan dan pembentukan kerajaan “teknokratik nasional”. Istilah “teknokratik” dianggap sebagai membawa imej politik berkecuali iaitu tidak terlibat dalam sebarang kumpulan atau pihak berkepentingan politik. Namun pada realitinya apa yang dinamakan teknokratik itu terbenam di dalam ruang-ruang reaksioner atau kumpulan anti-pembaharuan yang berhubung rapat dengan pihak-pihak kapitalis perban, kewangan dan perniagaan antarabangsa. Karakter kerajaan baru sudah dapat dibayangkan terdiri daripada mereka yang bersekongkol dan bersubahat dengan Mubarak. Ini termasuklah ahli politik pembangkang seperti pemimpin Barisan Penyelamat Nasional (Narional Salvation Front) dan bekas Ketua Pegawai Tenaga Atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mohamed El Baradei, pemimpin parti Salafi Al Nour, Mahamoud Badr dan gabungan pembangkang Arab atau Tamarod. Setiap daripada tokoh ini dipilih bagi menggambarkan tanggapan, mereka mendapat sokongan meluas pelbagai lapisan masyarakat di Mesir. Penyokongnya termasuklah El Baradei sendiri, bekas anggota Ikhwan dari Parti Islamic Strong Egypt Abdel Moneim Aboul Fotouh, pergerakan belia 6 April dan kumpulan kiri, Revolusi Sosialis. Walaupun Washington menyokong Morsi, pentadbiran Presiden Barrack Obama berunding dengan junta tentera dan diyakini bahawa kerajaan Morsi tidak dapat diselamatkan. Realitinya penggulingan Morsi adalah berita sedih bagi demokrasi Arab Spring dan masa depan yang gelap kepada Mesir yang kembali ke zaman Firaun.
Posted on: Wed, 10 Jul 2013 01:09:29 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015