Cabaran Kepimpinan Melayu Setelah penjajahan lebih 400 tahun - TopicsExpress



          

Cabaran Kepimpinan Melayu Setelah penjajahan lebih 400 tahun Tanah Melayu, kuasa imperialis mewariskan kepada orang Melayu dengan mentaliti kelas ketiga. Cengkaman penjajahan minda imperialis meresap sebati ke dalam jati diri orang Melayu sehingga kita keliru antara prioriti dan isu remeh-temah. Persoalan pokok seperti kerapuhan aqidah, penghakisan semangat patriotisme dan penularan budaya hedonisme dalam kalangan pelapis kepimpinan negara (remaja) dibayangi oleh isu-isu yang sengaja digembar-gemburkan oleh media massa. Sesetengah isu pula dimanupulasi semahunya sehingga memberi gambaran betapa ceteknya pemikiran orang Melayu. Sedangkan, masyarakat Melayu kini lebih terbuka dan ’advance’ dari sudut pemikiran dan tidak mudah diperkotak-katikkan oleh laporan dan putar-belit media. Namun, apa yang dibimbangkan adalah persepsi kaum lain terhadap orang Melayu. Tanggungjawab pemimpin Melayu kini adalah untuk mengemudi kembali bangsa jauh daripada penjajahan sikap dan minda penjajah. Pemimpin Melayu harus pandang ke hadapan dan fokus kepada isu-isu pokok. Pemimpin Melayu perlu memanfaatkan persamaan di samping menguruskan perbezaan sesama mereka. Kebijaksanaan Imam Hasan al-Banna dalam menyelesaian pertikaian antara dua puak Islam yang bertelagah boleh dijadikan tauladan. Beliau mengajar bahawa isu pokok (yang lebih besar) adalah perpaduan sedangkan perkara yang diperbalahkan (bilangan rakaat solat sunat tarawih) hanyalah isu ranting. Faktor utama bagi mencapai maksud ini adalah kesediaan membuat perubahan dalam diri iaitu minda dan sikap. Selain itu, enam langkah berikut juga menjadi pemangkin kepada kepimpinan berkualiti: 1. Memahami persekitaran. Pemimpin negara tidak dapat tidak perlu memahami dan berupaya menganalisis suasana semasa. Seterusnya, berdasarkan analisis tersebut, strategi yang bertepatan dijana dan dilaksanakan. 2. Daya saing dan pengantarabangsaan. Dalam dunia globalisasi hari ini, kita perlu bersaing. Seorang pemimpin yang hebat mampu mentransformasi rakyat jelatanya menjadi ‘world player’. Bahkan, bukan sekadar mampu bersaing tetapi menerajui persaingan. 3. Kreatif dan inovatif. Sudah tiba masanya, kita berhenti menjadi pengikut dan menggunakan hasil orang lain. Sebaliknya, negara perlu dipacu melalui budaya kreatif dan inovatif sebagaimana Jepun dan Korea Selatan. 4. Keprofesionalan (kualiti) dan akauntabiliti. Tiada siapa yang sukakan pemimpin yang retorik dan bercakap tidak serupa bikin. Seorang pemimpin yang boleh bekerja dan boleh dipercayai adalah harapan setiap rakyat. 5. Budaya berprestasi tinggi. Pemimpin yang berprestasi tinggi akan hasilkan rakyat yang berprestasi tinggi. Maka, menjadi satu tanggungjawab seorang pemimpin untuk memastikan dirinya mampu mencetus satu perubahan budaya dalam masyarakat jika ingin melihat negara berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. 6. Membangunkan pemimpin pelapis. Seorang pemimpin yang baik bukan sekadar membaiki diri, malah berupaya menambahbaik orang yang dipimpinnya. Namun, jarang sekali seorang pemimpin menghasilkan pemimpin pelapis yang lebih baik daripadanya. Inilah tahap kepimpinan yang terunggul.
Posted on: Sat, 12 Oct 2013 00:10:33 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015