Graduan TESL IPGM mampu tingkatkan kemahiran bahasa Inggeris - TopicsExpress



          

Graduan TESL IPGM mampu tingkatkan kemahiran bahasa Inggeris pelajar KUALA LUMPUR 18 Nov. - Para graduan jurusan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di seluruh negara diyakini mampu meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar selaras aspirasi dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Rektor IPGM, Sulaiman Wak berkata, melalui program kerjasama antara IPGM dengan universiti-universiti di luar negara membolehkan para pelajar institusi pendidikan tersebut menimba pengalaman dan menyerlahkan potensi diri dalam penguasaan berbahasa Inggeris ke tahap lebih cemerlang. Menurutnya, IPGM bekerjasama dengan lebih 10 pusat pendidikan di luar negara antaranya, United Kingdom (UK), Perancis, Australia dan New Zealand dalam program TESL. Tambahnya, program itu mengkehendaki pelajar mengharungi beberapa semester dalam negara dan selebihnya perlu ditamatkan di negara yang ditetapkan. Ketika di luar negara seperti UK misalnya, faktor keadaan dan perbezaan budaya menuntut pelajar terbabit lebih berdikari sehingga mereka dilatih menjadi guru terbaik dalam setiap perkara. Lebih-lebih lagi, banyak perkara dan pengalaman baharu yang boleh diperoleh mereka untuk menjadi lebih matang, katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen IPGM November 2013, di sini hari ini. Terdahulu, Sulaiman turut menyempurnakan majlis konvokesyen itu yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Serdang Malaysia (MAEPS), dekat sini. Konvokesyen yang berlangsung selama lima hari itu terbahagi kepada sembilan sesi bermula hari ini hingga 22 November ini dengan menyaksikan sebanyak 5,963 graduan berjaya menamatkan pengajian masing-masing di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda. Yang turut hadir, Naib Presiden Universiti St. Mark dan St. John Plymouth, UK, Prof. Cara Aitchison dan Presiden Universiti Franche-Comte, Perancis, Prof. Jacques Bahi. Menurutnya, selepas pelajar IPGM bekerja di sekolah-sekolah dalam negara, mereka terbukti menjadi guru yang lebih berani, yakin, berfikiran terbuka dan mempunyai banyak pengalaman untuk dikongsikan. Malah, ketika mengajar, mereka dapat memastikan pelajar menguasai kemahiran bahasa Inggeris dengan baik kerana sangat memahami tentang bahasa tersebut, katanya. Utusan.
Posted on: Mon, 18 Nov 2013 23:04:29 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015